TAUSIAH Bersama Yang Dipertua YADIM menjadi tradisi setiap kali bermulanya sesi pengkaderan daie di YADIM.
Untuk peserta Pondok Daie Muda YADIM (PDMY), sesi berkenaan diadakan pada 2 September di Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH) Hulu Langat, bersama Datuk Dr. Hasan Bahrom.
Dalam pertemuan kali pertama ini, Datuk Dr. Hasan telah menitipkan beberapa pesanan untuk mereka, antaranya termasuklah menjaga nama baik institusi pondok serta terus berusaha menimba ilmu walaupun selepas tamat PDMY nanti.
Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim ujarnya sudah menegaskan bahawa institusi pondok merupakan benteng utama dalam mempertahankan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islam selari perkembangan dan tuntutan semasa.
Justeru kepada peserta PDMY, Datuk Dr. Hasan menegaskan bahawa pondok tidak seharusnya dilihat sebagai tempat untuk meletakkan mereka yang tercicir atau tidak bersedia untuk mengikuti pendidikan arus perdana.
Para peserta katanya lagi, juga bertanggungjawab memberi pencerahan dan berdakwah khususnya kepada pelajar institusi pondok kelak kerana mereka lebih arif mengenai pendekatan terbaik untuk itu.
Turut diadakan ialah sesi soal jawab yang menyaksikan peserta berpeluang bertanya dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai PDMY itu sendiri serta kerjaya mereka.
Seramai 17 peserta menyertai PDMY dari seluruh negara untuk pengambilan kali pertama ini, termasuklah dari luar negara iaitu Yaman.
Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Du’at, Puan Rohaizah Jawahir, Pengarah INDAH, Ustaz Mohd Khairrul Fuad Samsuddin serta ahli-ahli jawatankuasa penyelaras PDMY.



KOMEN