Saya merujuk kepada reaksi sesetengah pihak berhubung teguran yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia mengenai penganjuran majlis melibatkan alkohol di premis awam dalam kawasan sekolah.
Saya berpandangan bahawa teguran Perdana Menteri adalah berasaskan prinsip moral dan tanggungjawab sosial, bukan bersifat menyentuh sensitiviti kaum atau agama mana pun. Teguran tersebut membawa pesanan kebaikan untuk seluruh rakyat, agar aktiviti sosial dijalankan dengan lebih berhemah dan selaras dengan nilai kemasyarakatan yang kita kongsi bersama.
Budaya melibatkan penggunaan alkohol di kawasan sekolah adalah sesuatu yang sangat tidak sesuai dan tidak wajar. Sekolah di negara kita berperanan memupuk nilai-nilai moral yang baik serta membentuk generasi berakhlak, yang pastinya menolak budaya negatif seperti alkohol, dadah, rokok, dan apa-apa jua yang membahayakan kesihatan dan merosakkan masyarakat.
Teguran terhadap hal seperti ini seharusnya disambut dengan keinsafan, bukan dengan kemarahan.
Justeru, tiada keperluan untuk membalas teguran sedemikian dengan kata-kata keras atau emosional. Dalam masyarakat majmuk, kita wajar bersikap terbuka terhadap nasihat yang membina, apatah lagi apabila ia datang daripada seorang Ketua Kerajaan yang memikul amanah menjaga kesejahteraan rakyat seluruhnya.
Islam dan semua agama mengajar kita untuk menghormati nasihat serta menerima teguran dengan hati terbuka. Budaya saling menasihati inilah asas kepada masyarakat Madani yang bersatu atas nilai moral dan kebaikan sejagat.
Pandangan menolak bahaya alkohol bukan hanya pandangan agama, bahkan turut diakui oleh tokoh-tokoh besar dunia.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh Abraham Lincoln (1842):
“The demon of intemperance ever seems to have delighted in sucking the blood of genius and of generosity.”
Iblis ketagihan arak seakan-akan gemar menghisap darah insan berilmu dan berhati mulia.
Dan menurut Dr. Benjamin Rush (1746–1813):
“A people corrupted with strong drink cannot long be a free people.”
Bangsa yang diracuni oleh minuman keras tidak akan kekal lama sebagai bangsa yang merdeka.
Kedua-dua pandangan ini membuktikan bahawa bahaya alkohol diakui lintas zaman dan budaya, justeru teguran Perdana Menteri harus dilihat sebagai langkah memperkukuh nilai moral dan maruah bangsa, bukan sebagai isu perkauman atau politik.
Menjaga kesucian ruang pendidikan dan dewan awam adalah tanggungjawab bersama — tanda hormat kita kepada nilai-nilai luhur dan keharmonian negara.
(Dr.) Bashir Mohamed Al-Azhari
Ahli Lembaga Pemegang Amanah
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Putrajaya
25 Oktober 2025



KOMEN