Home » Langit Terbuka » TH terima deposit baharu hampir RM1 bilion

TH terima deposit baharu hampir RM1 bilion

Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu, kemasukan pendeposit baharu ini berjaya mengimbangi deposit keluar dan secara puratanya kewangan Tabung Haji berjaya dikawal. - Foto Utusan Malaysia

PASIR MAS – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat kemasukan deposit baharu berjumlah hampir RM1 bilion, selepas proses pemulihan dan penstrukturan semula institusi itu dilakukan di bawah kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata perkembangan positif itu menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap badan pemegang amanah itu tetap kukuh walaupun menerima pelbagai tohmahan.

“Jumlah pendeposit baharu ini berjaya mengimbangi deposit keluar dan secara puratanya kewangan TH berjaya dikawal.

Malah, maklumat terkini daripada pengurusan TH menyatakan bahawa TH kini berada pada landasan yang tepat dan prestasi kewangan TH akan bertambah baik pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pondok Raudhatul Ulum di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Mujahid turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Taqwa kepada Guru Pondok, Ali Ab Rahman Hassan bagi pembinaan pondok berkenaan yang akan dibina di atas tanah seluas hampir satu hektar, dengan kos keseluruhan berjumlah RM2 juta.

Mujahid berkata, kerajaan akan terus memastikan TH kekal sebagai pemegang amanah yang dipercayai bagi mengurus dan menjamin simpanan serta pelaburan pencarum di negara ini.

“Saya yakin bila kita telus keyakinan rakyat kepada kewibawaan TH akan bertambah kukuh. Kita mahu pencarum mendapat gambaran yang jelas dan menerima faedah dengan cara yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan terus menanggung subsidi jemaah haji tahun ini sebanyak RM400 juta bagi menampung kos keseluruhan sebenar bernilai RM12,400 bagi setiap jemaah.

Katanya, kerajaan juga akan memikirkan kaedah tertentu bagi mengekalkan kos perbelanjaan mengerjakan haji sedia ada, walaupun kos sebenar sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.

“Kerajaan PH komited memulihkan TH termasuk dengan memberi suntikan dana sebanyak RM17.8 bilion dan permulaan RM500 juta pada tahun hadapan,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *