Home » Langit Terbuka » Tiada larangan laksana ibadat korban di masjid, surau di Johor

Tiada larangan laksana ibadat korban di masjid, surau di Johor

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor tidak melarang mana-mana korban dibuat di dalam kawasan masjid dan surau di negeri Johor dengan syarat-syarat yang akan kita keluarkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor. - Foto duniakorban.com

JOHOR BAHRU – Larangan untuk melaksanakan ibadah korban di dalam kawasan semua masjid dan surau di negeri ini seperti yang tular dalam media sosial beberapa hari lepas adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Tosrin Jarvanthi berkata, satu garis panduan pelaksanaan ibadah korban diwujudkan bertujuan mematuhi tuntutan agama yang menegaskan kebersihan adalah sebahagian daripada iman dan untuk memelihara imej masjid dan surau agar sentiasa selesa dan disenangi masyarakat.

“Justeru, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor tidak melarang mana-mana korban dibuat di dalam kawasan masjid dan surau di negeri Johor dengan syarat-syarat yang akan kita keluarkan oleh pihak urus setia masjid dan surau melalui pejabat kadi daerah.

“Setakat ini, sebanyak 2,783 masjid dan surau di Johor dengan purata setiap masjid menguruskan 5 ekor haiwan korban dan seekor bagi setiap surau,”.

“Kesemuanya dianggarkan 6,115 ekor haiwan korban bagi setiap kali musim perayaan Aidiladha,” katanya kepada pemberita di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini (29 Julai).

Daripada jumlah itu, hanya 39 masjid dan 17 surau yang mempunyai tempat penyembelihan dan pengurusan haiwan korban yang khusus.

Tosrin berkata, bagi masjid dan surau yang tidak mempunyai kemudahan tempat penyembelihan dan pengurusan haiwan korban yang khusus, terdapat beberapa syarat lain yang perlu dipatuhi.

“Sebelum ini tular dakwaan yang menyatakan kononnya ibadah korban ini tidak lagi dibenarkan di dalam kawasan masjid dan surau di negeri Johor. Sebenarnya ia tidak benar.

“Walaupun ada keluar tular garis panduan mengenainya…ia baru di peringkat cadangan dan kita sedang menyiasat di peringkat dalaman mengenai bagaimana perkara itu (pekeliling tersebut) dikeluarkan di media sosial,” kata beliau.

Semua syarat yang perlu dipatuhi terkandung dalam Pekeliling Tempat Penyembelihan dan Pengurusan Haiwan Korban yang akan diedarkan menerusi pejabat kadi daerah mulai esok.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Mufti Negeri Johor Yahya Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Md Rofiki A Samsudin dan Pengarah Jabatan Veterinar Johor Dr Aida Muhid.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *