Home » Langit Terbuka » Tiada sambutan hari guru peringkat sekolah, JAIS hargai guru pada sambutan peringkat negeri

Tiada sambutan hari guru peringkat sekolah, JAIS hargai guru pada sambutan peringkat negeri

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjelaskan keputusan tidak membenarkan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah tahun ini dibuat bagi menggalakkan budaya perbelanjaan berhemah.

Langkah itu juga bertujuan memanfaatkan sumber kewangan kepada peningkatan profesionalisme guru dan pelaksanaan program peningkatan kualiti dan sahsiah pelajar.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahma, berkata ketetapan itu dibuat selaras dengan saranan kerajaan dalam perbelanjaan berhemah serta bijak selain meminimumkan penggunaan bahan tenaga dalam menghadapi situasi geopolitik semasa yang tidak menentu dan berkemungkinan menjadi lebih buruk.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menitahkan agar rakyat jelata di Selangor melakukan perbelanjaan mengikut keperluan dan keutamaan, berhemah serta bijaksana.

“JAIS juga membuat keputusan ini berikutan wujudnya kesan kepada ibu bapa atau penjaga yang menjadi tradisi menyediakan hadiah-hadiah tertentu kepada guru atas permintaan anak-anak.

“JAIS melihat perkara ini perlu dihentikan dalam keadaan sekarang kerana ia memberi kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasa, sumbangan guru tetap dihargai

Beliau menegaskan bahawa, JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri sentiasa dan sangat menghargai jasa dan sumbangan guru JAIS dalam mendidik pelajar-pelajar di bawah kelolaannya.

Sebagai pengiktirafan besar kepada guru, majlis menghargai dan mengenang jasa guru tetap dilaksanakan di peringkat negeri iaitu pada 21 Mei ini.

“Majlis yang diadakan akan mengiktiraf sumbangan guru dan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai kategori dengan kos melebihi RM200,000 daripada peruntukan MAIS dan kerajaan negeri yang akan diberikan kepada tokoh guru dan sekolah cemerlang yang dipilih dalam bentuk tunai atau geran,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, JAIS akan mempertimbangkan untuk sambutan hari guru dibuat semula di peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan kembali seperti sedia kala.

Jelasnya, beberapa perkara dalam pelaksanaan sambutan Hari Guru juga akan dinilai semula atau dengan beberapa pengubahsuaian yang perlu membabitkan masa sambutan yang tidak mengganggu jadual dan proses pembelajaran dalam kelas, serta tentatif yang ringkas dan selaras untuk diguna pakai oleh semua sekolah di bawah seliaan JAIS.

Terdahulu tular satu surat edaran JAIS kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah seluruh Selangor bertarikh 7 Mei yang menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran JAIS tidak dibenarkan mengadakan sambutan hari guru di peringkat sekolah dan daerah.

Surat edaran itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk guru dan ibu bapa.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1550633/tiada-sambutan-hari-guru-peringkat-sekolah-jais-hargai-guru-pada

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *