Home » Analitis » Tidak wajar bubar intitusi agama Islam

Tidak wajar bubar intitusi agama Islam

Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

Sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal agama Islam merupakan prerogatif negeri-negeri di bawah Raja-Raja Melayu, maka usaha mencari ‘titik persamaan dan tindakan khusus’ perlu dilakukan untuk mengelakkan berlakunya fenomena ‘one size fit all’. Fenomena itu bukan sahaja boleh memperlihatkan ‘ketidak harmonian’ peraturan bahkan boleh membawa imej buruk terhadap Islam keseluruhannya.

Di bawah kuasa yang diperuntukkan, terdapat 12 institusi Islam yang perlu dikawal selia.  Institusi-institusi itu ialah:

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM);
  2. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM);
  3. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM);
  4. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan;
  5. Lembaga Tabung Haji;
  6. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR);
  7. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI);
  8. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP);
  9. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM);
  10. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM);
  11. Yayasan Wakaf Malaysia ; dan
  12. Al-Hijrah Media Corporation.

Sejarah penubuhan JAKIM boleh ditelusuri sejak tahun 1968 apabila Raja-Raja Melayu telah mengesyorkan satu cadangan menubuhkan sebuah badan untuk menyelaraskan pentadbiran agama Islam di seluruh negara.

Keputusan itu dicapai dalam Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu ke-81 pada 17 Oktober 1968. Penubuhan sebuah badan itu menjadi realiti pada 1 Julai 1969 apabila ianya dilancarkan dengan nama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Barat (MKI) dan seterusnya melantik YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri sebagai Pengerusi manakala Tuan Haji Ismail Panjang Aris, mantan pegawai MCS (Malaysian Civil Services) sebagai Setiausaha. Pelantikan itu telah disahkan untuk tempoh tiga tahun oleh Raja-Raja Melayu dalam Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu ke-82 yang diadakan pada 24 Julai 1969.

Penubuhan MKI dan urusetia MKI telah menjadi titik tolak kepada penubuhan sebuah badan penyelarasan peringkat pusat mengenai hal ehwal Islam yang kemudiannya berkembang menjadi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (BAHEIS) pada 17 Jun 1971 selepas penyertaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia (1965).

BAHEIS kemudiannya mengalami penstrukturan semula pada 1 Januari 1997  menjadi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan tujuan yang lebih besar bagi memenuhi keperluan semasa permasalahan umat Islam yang berkembang dari segi populasi dan perubahan zaman. Walau bagaimanapun, menurut Peraturan 16 MKI, tugas dan tanggungjawab badan penyelarasan itu mestilah:

Tiadalah apa-apa jua perbuatan Majlis boleh menyentuh kedudukan, hak, kelebihan, hak kedaulatan dan kuasa-kuasa yang ada pada Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya dan sebagaimana yang ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan dalam Perlembagaan bagi negerinya.”

Hasilnya, akibat pertembungan ideologi politik dan kepelbagaian tujuan berpolitik, ada individu dan kumpulan yang berusaha untuk mendesak agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dimansuhkan dengan alasan ‘peranan dan fungsi’ bertindih dengan kuasa Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing pengembangan dan pemerkasaan aktiviti Islam di peringkat pusat oleh JAKIM telah ‘membebankan kewangan negara’ dan kuasa yang ada pada JAKIM adalah “tidak berperlembagaan”.

Pandangan sedemikian mula disuarakan oleh aktivis politik dan sosial yang mula merasa tertekan dengan kejayaan JAKIM dalam pemerkasaan aktiviti Islam dan mengekang pelbagai kemudaratan budaya hidup masyarakat yang semakin ghairah membentuk populariti tanpa merujuk kepada kerangka agama dan moral, hanya bertunjangkan kepada prinsip kebebasan dan hak asasi.

Mereka menyelar larangan ‘pesta arak’, ‘hiburan lalok’, ‘penerbitan buku-buku’ yang mencemar akidah dan juga larangan ‘penjualan buku’ berkaitan syiah, ideologi kekerasan dan pelampauan agama. Larangan itu dilakukan adalah bersesuaian dengan ketetapan bahawa hanya akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja yang dibenarkan berkembang dan dijadikan kerangka peradaban umat Islam.

Pertindihan kuasa dan peranan hanya dilihat dari perspektif kedudukan Raja atau Sultan Melayu sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat Melayu di peringkat negeri dengan mentafsirkan secara mudah Jadual Kesembilan Senarai II, Butiran 1 sebagai ‘Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membuat apa-apa tindakan mengenai agama Islam” sedangkan apa yang berlaku ialah bidang kuasa itu tidak ada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Tiga buah wilayah persekutuan itu berada dalam struktur pentadbiran kerajaan persekutuan dan permasalahan agama Islam dilaksanakan menerusi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Persekutuan (MAWIP).  Masih terdapat beberapa ‘kelompongan penguatkuasaan’ terhadap hal ehwal Islam di negeri-negeri terutama berkaitan dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Bank Islam 1983 (Akta 276), Akta Percetakan Teks Al-Qur’an 1986 (Akta 326), Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

JAKIM dipertanggungjawabkan untuk merancang pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam; merangka dasar bagi pembangunan hal ehwal Islam dan menjaga akidah dan ajaran Islam; membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan pentadbiran sedia ada bagi menyelesaikan masalah umat Islam; melaksanakan program pembangunan ummah dan penghayatan Islam dalam pengurusan negara; menyelaras mekanisme penguatkuasaan undang-undang serta peraturan pentadbiran hal ehwal Islam di seluruh negara; membuat penilaian program hal ehwal Islam; bertindak sebagai pengumpul, penyebar dan pusat rujukan maklumat mengenai hal ehwal Islam; dan melaksanakan usaha pembangunan ummah melalui kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa adalah selaras dengan budi bicara Majlis Raja-Raja Melayu mengikut Perkara 38(6)(d) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menjelaskan bahawa “mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh” .

Ia adalah satu perkara yang tidak boleh diabaikan, kerana kedaulatan negara adalah berkonsepkan Raja-Raja Melayu. Kedudukan kuasa Raja-Raja Melayu tetap abash dalam sistem politik yang diamalkan di Malaysia walaupun ada beberapa keinginan parti politik atau orang perseorangan untuk mengetepikan.

Kedudukannya telah diinstitusikan sejak perlembagaan dibentuk pada tahun 1957 dan terus terpelihara hingga kini dalam Perkara 181(1) “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogative, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan dibawah wilayah mereka masing-masing saperti yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.”

Itulah warisan sejarah yang terus kekal dalam perundangan negara dan sebarang usaha penolakannya dianggap bertentangan dengan semangat Perlembagaan, termasuklah mencetuskan pandangan bahawa penubuhan JAKIM adalah ‘tidak berperlembagaan’. Ia suatu pandangan yang boleh dianggap menghina dan mencabar budi bicara Raja-Raja Melayu kerana rentetan proses penubuhanya adalah absah dan masih dalam bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu secara mutlak.

Sekiranya tidak ada suatu badan penyelarasan mengenai hal ehwal Islam di peringkat pusat dilaksanakan, akan mewujudkan kelompongan yang boleh merugikan umat Islam sendiri, terutama dalam perkara-perkara yang bersifat nasional dan antara negeri dalam Malaysia. Kelompongan itulah yang ingin dipenuhi dan dilaksanakan oleh JAKIM bagi mengelakkan ‘musibah’ yang lebih besar misalnya mengenai tindakan ‘meminda al-Qur’an’ dan menterjemahkan al-Qur’an tanpa mencetak ayat-ayat asal yang berbahasa Arab.

Larangan itu dibuat berdasarkan keputusan Majlis Fatwa, ia adalah sesuatu yang boleh menyebabkan makna tidak tepat apabila berlakunya proses penterjemahan dari bahasa asal ke bahasa kedua. Ia adalah satu bentuk pencegahan kerana penterjemahan yang kurang tepat boleh membawa kepada pemesongan makna dan maksud. Ia perlu dielakkan bagi menjaga kesucian al-Qur’an sebagai kitab suci yang dipertahankan oleh umat Islam walaupun tujuannya untuk menyampaikan dakwah kepada bukan Islam yang tidak boleh berbahasa Arab.

Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang berkaitan pemesongan akidah, kerjasama antara negara dan pemasyarakatan etika berurusniaga, pematuhan syariah dan pengembangan aktiviti maqasid syariah.

Begitu juga dengan tindakan menolak hadis dengan alasan yang sama, ia dikumpulkan menerusi ingatan dan keupayaan memori umat Islam selepas puluhan tahun wafatnya Rasullullah SAW. Gerakan ‘menolak hadis’ sebagai sumber kedua atau pelengkap rujukan tingkah laku kehidupan yang ditinggalkan oleh Rasullullah SAW kembali diperkatakan apabila sebuah penerbit buku di Malaysia menterjemahkan buku-buku yang mentafsir semula makna kebebasan dalam Islam dengan kebebasan hak asasi yang berkembang sebagai gerakan humanisme sejagat.

Apa yang menarik ialah buku-buku tersebut turut mempertikaikan pandangan atau sikap Islam terhadap budaya songsang sapaerti homoseksual, perkahwinan sejenis, pertukaran jantina dan kecelaruan gender. Bagi mereka, apa pun boleh asalkan ‘tidak ada paksaan’ dan berlaku dalam situasai sama-sama rela. Gerakan ini terus berkembang dan lantang untuk mendapat pengiktirafan undang-undang sebagai ‘pasangan yang sah dan dibenarkan berkahwin’, diterima sebagai budaya hidup moden dan bertamadun.

Mereka secara beraninya menganjurkan perjumpaan ‘Seksualiti Merdeka’ (31 Ogos 2008), Pelangi Malam LBGT atau Pool Party, IFTAR Gay (2017), Majlis Perkahwinan Secara Terbuka (November 2017) dan sebagainya.

Dakwaan bahawa JAKIM ‘membazir wang pembayar cukai’ mula kedengaran apabila sekumpulan aktivis berfahaman liberal melihat setiap tahun JAKIM diperuntukkan sejumlah besar peruntukan pengurusan dan pembangunan hanya semata-mata untuk merealisasikan aktiviti keagamaan.

Bagi mereka, persoalan agama bukanlah perkara yang perlu ditangani di peringkat kerajaan, ia adalah perkara yang bersifat peribadi dan bukan secara institusi kerana penginstitusian agama adalah satu langkah pembaziran. Dakwaan sedemikian cuba melihat bahawa berlaku ‘diskriminasi agama’ sedangkan secara berperlembagaannya, Malaysia adalah sebuah negara yang menghormati kepelbagaian agama dan kepercayaan.

Pada pandangan mereka, jika agama perlu diinstitusikan, ia mestilah dilaksanakan secara adil kepada semua agama, bukannya terhad kepada agama Islam. Pandangan itu menjadi lantang apabila lahirnya parti politik yang berusaha merombak peruntukan Perlembagaan Malaysia mengenai penubuhan JAKIM yang dianggap telah menghalang cita-cita politik mereka untuk melahirkan kumpulan Islam liberal dan pluralisme agama.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *