Home » Langit Terbuka » Tindakan pemimpin politik Sweden bakar al-Quran melampau – Idris

Tindakan pemimpin politik Sweden bakar al-Quran melampau – Idris

IDRIS: Jangan tiupkan perkara yang bersifat provokasi, kerana orang Islam juga ada sensitiviti dalam hal seperti ini. - Gambar fail

Kota Bharu – Tindakan ekstrem seorang pemimpin parti politik di Sweden yang membakar senaskah al-Quran, Khamis lalu disifatkan perbuatan melampau yang tidak sepatutnya berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, semua mereka yang beragama hendaklah sentiasa menghormati sesama agama, seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

“Ia perkara yang sepatutnya tidak berlaku. Kita sendiri pun tidak boleh, bukan setakat nak bakar kitab-kitab dia dan sebagainya, kita tak boleh hina sembahan dia, tuhan dia.

“Sepatutnya agama lain pun hormat. Jangan tiupkan perkara yang bersifat provokasi, kerana orang Islam juga ada sensitiviti dalam hal seperti ini. Dalam bab agama, orang Islam agak sensitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang pemimpin parti politik di Sweden yang membakar al-Quran.

Terdahulu, Idris hadir pada majlis Multaqa Murabbi Ummah peringkat Kelantan yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, malam tadi.

Turut hadir, mufti negeri Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Media semalam melaporkan, kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstrem seorang pemimpin parti politik berhaluan kanan anti-Islam di Sweden yang membakar senaskhah al-Quran, Khamis lalu.

Pemimpin kelahiran Denmark yang berusia 40 tahun itu pernah mencetuskan kemarahan umat Islam sebelum ini apabila membakar al-Quran di Malmo, sebuah kota di selatan Sweden pada 2020.

Menurut kenyataan Wisma Putra, perbuatan keji sedemikian sudah melampaui batasan dan garis norma hak kebebasan bersuara termasuk dalam isu pelaksanaan amalan beragama. – Astro Awani

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *