Home » Aspirasi » Ujian di bulan Ramadan

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali sedikit saja yang benar-benar lulus dan berjaya, iaitu mereka yang betul-betul bersedia. Samalah dengan latihan tentera, sedikit saja yang berjaya mendapat pangkat tinggi, ramai yang hanya dapat jadi tentera biasa. Apakah bentuk-bentuk ujian sepanjang sebulan Ramadan yang patut dinilai kembali oleh setiap orang yang berpuasa?

1. Menahan Diri Daripada Perkara Membatalkan Puasa

Puasa sebenarnya bukan saja berpuasa daripada makan, minum dan hubungan kelamin, tetapi juga puasa daripada bercakap perkara haram. Puasa mata daripada melihat perkara maksiat. Puasa telinga daripada mendengar perkara dosa. Puasa kaki daripada menghala ke tempat maksiat. Puasa fikiran daripada berfikiran jahat. Puasa hati daripada mengingati selain Allah. Itulah dia hakikat puasa. Kalau semua anggota tidak dilatih taat kepada Allah melalui ibadah puasa, maka akibatnya adalah buruk sekali.

Firman Allah s.w.t.:
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أفْوَهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ (65)

Ertinya:
“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah tangan-tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dulu mereka usahakan.” (Yasin: 65)

Adakah puasa yang dilakukan selama ini betul-betul menepati syarat itu? Selamatkah kita nanti di akhirat daripada didakwa oleh anggota-anggota tubuh badan kita sendiri? Demikianlah beratnya ujian puasa itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّ الْجُوْعِ وَالْعَطَشِ

Ertinya:
“Berapa ramai orang yang berpuasa tapi tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.”

2. Membaca Al-Quran

Ramadan adalah bulan awal turunnya Al-Quran. Maka kita dituntut memperbanyakkan membaca Al-Quran dalam bulan ini. Yakni mengambil didikan Al-Quran untuk membentuk diri, keluarga, jemaah dan masyarakat seluruhnya, hidup mengikut cara yang dikehendakinya. Al-Quran mengandungi tanzir, yakni ayat-ayat tentang neraka. Membacanya bererti kita dididik untuk rasa gerun terhadap neraka di akhirat. Oleh kerana itu, seseorang tidak lagi takut dengan kesusahan duniawi demi menegakkan hukum Allah dalam seluruh hidupnya. Terdapat juga ayat-ayat tabsyir, yakni khabar gembira tentang syurga di akhirat. Kita akan jadi ghairah dan rindu dengan keindahan dan kelazatan di dalamnya. Oleh kerana itu, kita tidak lagi memburu nikmat duniawi yang sementara ini, demi memburu kenikmatan abadi di akhirat.

Kita berlumba-lumba untuk memperbanyakkan amal soleh dan berjuang serta berkorban fi sabilillah, sambil meninggalkan segala yang haram dan dibenci oleh Allah. Al-Quran juga banyak mengatakan kebesaran dan keagungan Allah. Pembaca akan tenggelam dalam rasa kagum, hebat, gerun, cinta, kasih, rindu dan tawakal kepada Allah. Terasa hampirnya hati dengan Allah. Diri terasa kecil dan hina terhadap-Nya. Di dalam Al-Quran juga banyak diceritakan sejarah-sejarah nabi dan orang yang soleh. Tujuannya supaya pembaca Al-Quran terdorong untuk mencontohi jejak langkah hidup mereka itu. Al-Quran juga menceritakan kegigihan mereka menghadapi ujian, supaya kita turut bersemangat untuk tabah dalam ujian walaupun berat. Sebaliknya bila Al-Quran membawa kita kepada cerita-cerita orang-orang sombong seperti Namrud dan Firaun, kita jadi insaf dan takut, kalau-kalau kita juga bernasib begitu, semoga kita diselamatkan.

Al-Quran turut mengajar tentang hukum-hakam dan peraturan hidup, yang sepatutnya menjadi cara hidup dalam setiap aspek seperti mencari rezeki, bergaul, berekonomi, berpolitik dan lain-lain. Supaya hidup kita berjalan di atas syariat Allah seluruhnya. Apa kata Allah tentang kehebatan Al-Quran yang bermaksud: “Kalau sekiranya Kamı turunkan Al-Quran ini ke atas bukit-bukau, pasti kamu akan melihatnya berpecah belah disebabkan takutnya kepada Allah, demikianlah perumpamaan bagi manusia, semoga mereka berfikir ”

3. Zakat Fitrah

Bulan Ramadan kita diperintahkan supaya berlaku pemurah kepada fakir miskin. Yakni dengan mengeluarkan zakat fitrah dan memperbanyakkan sedekah. Ini bertepatan dengan kehendak Al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka secara diam-diam mahupun secara terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak merugikan.” (Fathir: 29)

Allah s.w.t. menghendaki kita memberi sebahagian hak kita kepada orang lain yang memerlukannya. Sama ada wang ringgit, makanan, pakaian, kemesraan dan kasih sayang. Sudahkah kita melakukannya? Ringankah sudah tangan kita untuk menghulur sebahagian milik kita kepada orang lain tanpa meminta apa-apa bayaran?

4. Ibadah Wajib dan Sunat

Solat tarawih, zikir, iktikaf, tafakur dan bertaubat, semua ibadah-ibadah ini digalakkan semasa bulan Ramadan dengan tujuan mendapat iman dan takwa yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Sekaligus menjamin terlepas dari neraka dunia dan akhirat. Allah memerintahkan berzikir dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (menyebut nama Allah), dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan para malaikat-Nya (sentiasa mendoakan kamu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.” (Al-Ahzab: 41-43)

Bagaimanakah zikir boleh menghasilkan iman dan takwa? Apabila diucapkan dengan lidah, difahami oleh akal dan dirasai oleh hati. Faham betapa agungnya Allah hingga hati terasa hebat. Rasa diawasi oleh Allah, dirahmati dan dimurkai kerana dosa-dosa kita. Hasilnya kita menyerah hidup dan mati untuk Allah. Allah menjadikan cinta agung, yang dipuja-puja, dirindu, dikenang-kenang.

Sudah berlakukah hal ini dalam diri kita? Bukankah susah untuk mendapatkannya?

5. Mujahadatun nafsi

Secara umum kıta boleh namakan bulan Ramadan ini sebagai bulan mujahadah, yakni bulan berperang dengan nafsu. Sebab perintah-perintah itu memang berat dan dibenci oleh nafsu. Hanya dengan mujahadah yang bersungguh-sungguh saja ibadah itu dapat dilakukan dengan sempurna. Allah menyuruh mujahadah dengan firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ مَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Ertinya:
“Barangsiapa bermujahadah pada jalan Kami, nescaya akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami itu. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Al-Ankabut: 69)

Kita hendaklah bermujahadah terhadap segala kejahatan yang ada dalam diri kita. Misalnya apabila mulut kita mula bercakap perkara-perkara yang dilarang oleh Allah atau kita memandang perkara yang haram, kita hentikan segera. Ucaplah ‘Astaghfirullah’ cepat-cepat, kita pejam mata atau tundukkan atau alihkan pandangan ke tempat lain. Bila tangan mula bergerak kepada yang haram, tarik kembali.
Demikianlah juga dengan kaki, telinga dan lain-lain anggota yang mahu menghala kepada maksiat, kita mujahadah daripada kemahuan jahat itu, hingga diri kita tidak melakukan kejahatan tersebut. Kekuatan mujahadah mesti mengatasi kekuatan nafsu. Kalau tidak tentu kita akan tewas.

Mujahadah yang lebih sukar dilakukan ialah membuang sifat sombong, hasad dengki, dendam, bakhil, marah, tamak, riak, ujub, gila dunia, pangkat, buruk sangka, mengenang jasa, menceritakan kebaikan dıri, menghina orang, degil dan lain-lain lagi. Dosa-dosa batin ini kalau tidak dibersihkan, akan membawa kita ke neraka. Tetapi terlalu payah sekali untuk mujahadah terhadapnya, kerana ia sangat jahat. Sekiranya dalam semua ujian berat sepanjang bulan Ramadan itu kita lulus, maka hadiah yang akan kita dapat ialah ganjaran maghfirah daripada Allah. Seseorang yang mendapat hadiah besar itu akan dapat dilihat pada watak dan akhlaknya.

Tidak ada lagi ciri-ciri sombong padanya. la kelihatan begitu merendah diri dan mengasihi semua manusia. Sifat pemarah tidak nampak lagi. Sebaliknya ia sangat peramah dan berkasih sayang. Kalau dulu ia bakhil, tapi kini pemurah sekali. Jadi ‘bank’ pada si miskin, seolah-olah dia tidak sayangkan harta lagi. Hidup matinya diserahkan bulat-bulat dan sepenuh masa kepada tugas sebagai khalifah di muka bumi, yakni dengan menegakkan kalimah-kalimah Allah melalui jihad fi sabilillah. Tidak ada lagi penyakit suka memfitnah, buat tohmah dan berbohong kerana telah diganti dengan cakap-cakap tentang kebenaran dan nasihat yang penuh hikmah.

Kaki tangan, mata, telinga, mulut dan lain-lain anggota tidak mahu lagi melakukan maksiat. Hukum Allah dijadikan peraturan hidup yang diamalkan dengan cinta dan fanatik sekali. Padanya memang tiada hukum melainkan hukum Allah seperti kehendak syariat. Dia sangat anti pembaziran. Hatinya zuhud, sangat bertimbang rasa, hormat menghormati dan adil sekali. Kemuncak daripada itu ialah dapat membawa manusia hidup bagaikan satu keluarga, kasihkan saudara seperti kasihkan diri sendiri. Masyarakatnya bersih darıpada noda dan dosa. Itulah dia orang yang bertakwa.

– Buku Roh Ramadan & Aidilfitri, terbitan al-Hidayah Publication

Artikel Berkaitan

Diyat sebagai instrumen keadilan syariah

Diyat merupakan satu bentuk pampasan kewangan dalam sistem perundangan Islam yang diberikan kepada waris mangsa sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa atau

3 Tingkatan Puasa

Imam Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat iaitu: 1. As-Saumul umum – puasa umum. 2. As-Saumul

5 sebab pentingnya berjemaah

Mengerjakan solat fardu lima kali sehari semalam merupakan salah satu rukun Islam dan diumpamakan sebagai tiang agama. Jika roboh tiang itu, maka

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *