Home » Langit Terbuka » Umat Islam di Wilayah Persekutuan boleh solat Jumaat, berjemaah esok

Umat Islam di Wilayah Persekutuan boleh solat Jumaat, berjemaah esok

Keputusan bersyarat membenarkan pelaksanaan solat jemaah di masjid ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan pertemuan YB Senator Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan YAB Perdana Menteri pada 12 Mei 2020. - Foto Islamidia.com

PUTRAJAYA – Semua masjid, Surau Jumaat dan surau terpilih boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Wilayah Persekutuan mulai esok (15 Mei).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, lain-lain solat secara berjemaah di masjid, Surau Jumaat dan surau terpilih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat pada 15 Mei 2020.

“Mesyuarat memutuskan bahawa bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah tidak kurang dari 3 jemaah tidak termasuk imam dan tidak lebih dari 30 jemaah.

“Keputusan ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan YB Senator Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan YAB Perdana Menteri pada 12 Mei 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid sepanjang tempoh PKPB di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihak pengurusan perlu memastikan ada kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri.

“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Negara berhubung hal ini beliau bersetuju untuk memberi kerjasama penuh.

“Ahli jawatankuasa masjid Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya,” jelas beliau. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *