Home » Langit Terbuka » UPKK, IKP 2026 dilaksana ikut jadual

UPKK, IKP 2026 dilaksana ikut jadual

PUTRAJAYA: Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) dan Ithbat KAFA Pratahfiz (IKP) Tahun 2026 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan di seluruh negara.

Bagi Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dan Amali Solat, ujian akan bermula pada 29 Jun hingga 28 September ini mengikut waktu persekolahan.

Pentaksiran Al-Quran pula bermula 28 September hingga 16 Oktober manakala ITHBAT KAFA Pratahfiz (IKP) – Hifz Al-Quran pada 3 hingga 6 Ogos, masing-masing mengikut waktu persekolahan.

Peperiksaan Bertulis UPKK akan diadakan pada 2 hingga 5 November ini, mengikut jadual peperiksaan yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata pelaksanaan ujian itu membabitkan komponen pentaksiran berterusan, peperiksaan bertulis dan pentaksiran hifz al-Quran yang akan dilaksanakan secara serentak mengikut tarikh yang ditetapkan oleh JAKIM.

“UPKK adalah mekanisme pentaksiran kebangsaan yang dilaksanakan oleh JAKIM bagi menilai tahap penguasaan, kefahaman dan penghayatan murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) terhadap pendidikan Islam secara menyeluruh.

“Selaras dengan usaha memperkukuh kualiti pendidikan KAFA, pendekatan pentaksiran yang dilaksanakan turut memberi penekanan kepada aspek pengetahuan, kemahiran dan penghayatan nilai Islam dalam kehidupan seharian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata, semua calon yang berdaftar untuk menduduki UPKK adalah wajib mengikuti Pentaksiran Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dan Amali Solat sebagai sebahagian daripada komponen penilaian keseluruhan.

Sehubungan itu, kerjasama dan sokongan semua pihak berkaitan amat dihargai bagi memastikan pelaksanaan UPKK dan IKP Tahun 2026 dapat berjalan dengan lancar, teratur serta mencapai matlamat yang ditetapkan.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/06/1577050/upkk-ikp-2026-dilaksana-ikut-jadual

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *