PUTRAJAYA – Satu Lagi usaha memperkasa institusi pondok di negara ini berlangsung pada 14 April apabila Mesyuarat Syura Nasional Pondok MADANI telah diadakan di ibu pejabat YADIM di sini.
Mesyuarat ini dipengerusikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Senator Dr Zulkifli Hasan dan dihadiri oleh wakil pelbagai bidang seperti tokoh guru pondok, agensi agama, wakil universiti, aktivis dan lain-lain lagi.
Antara yang hadir ialah ulama terkemuka Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki, Mudir Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah, Kedah, Syeikh Haji Mohd Jamil Sadaqi Dato’ Mursyid Diraja Syeikh Tajuddin Al-Jarumi, Mudir Pondok Al-Islahiyyah, Bachok, Kelantan, Tuan Guru Haji Zulkarnain Harun (Baba Zulkarnain), Pengerusi Guru-Guru Pondok Terengganu, Tuan Guru Ustaz Ahmad Rakim An-Nuria, wakil Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pengurusan tertinggi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia serta wakil Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Tidak ketinggalan ialah Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Haji Amidi Dato’ Abdul Manan dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin.
Antara yang ditekankan dalam pertemuan ini ialah komitmen memperkasakan pondok tanpa menjejaskan autonomi tradisi institusi berkenaan serta inisiatif untuk mengadakan libat urus menyeluruh bersama pondok-pondok seluruh negara.
Senator Dr Zulkifli turut mencadangkan pada masa akan datang, supaya diadakan pertukaran pelajar dan guru-guru antara sekolah pondok dan institusi pengajian tinggi terpilih.
Beliau turut menegaskan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menyatakan komitmen tegas mengangkat institusi pondok di negara ini, semua usaha yang dilakukan ini bukanlah bersifat on off, sebaliknya dijadikan agenda nasional.
USIM pula dalam mesyuarat ini turut membentangkan draft Dasar Pendidikan Pondok Negara yang akan memandu hala tuju institusi pondok kelak.
YADIM merupakan penyelaras kepada pelbagai inisiatif memajukan instisusi pondok di negara ini yang telah terlibat bersama rakan-rakan agensi baik di peringkat persekutuan dan negeri dalam penganjuran pelbagai program bagi tujuan tersebut.
Antara yang telah dilaksanakan termasuklah Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2025 di Putrajaya, Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Machang, Kelantan serta penubuhan Sekretariat Pondok MADANI.



KOMEN