Home » Citra Yadim » Warga emas lumpuh disantuni YADIM Kelantan

Warga emas lumpuh disantuni YADIM Kelantan

KOTA BHARU – Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Terlantar dan amat sukar menguruskan diri akibat lumpuh separuh badan menyebabkan seorang warga emas di sini tinggal dalam keadaan amat menyedihkan.

Kediamannya yang daif dan uzur menambah lagi derita Ismail Mahmud, 76 dari Kampung Langgar di sini yang bergantung harap pada ihsan orang lain untuk menguruskan dirinya.

Prihatin dan atas rasa bertanggungjawab dengan nasib Ismail, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan pada 16 Januari tampil membantu warga emas ini.

Disertai lima kakitangan Bahagian Khidmat Bakti (Sukarelawan YADIM) YADIM, mereka meluangkan masa selama empat jam bermula jam 10 pagi  bergotong royong membersih dan membaik pulih kediaman Ismail.

Persekitaran luar dan bahagian dalam rumah telah dibersih dan disusun atur semula agar kelihatan lebih kemas.

Lantai rumah tersebut yang reput dan berlubang telah diganti dengan kayu yang baharu selain kini dipasang dengan tikar getah bagi memberi keselesaan.YADIM turut menyampaikan sumbangan tilam,katil, bantal, dan barangan dapur bagi kegunaan Ismail.

“Kami jarang terima kehadiran orang yang datang untuk membantu ayah seperti ini, bantuan yang dihulurkan YADIM ini kami rasa amat bersyukur, terima kasih banyak atas sumbangan ini,” kata Akhiramdzan Shahiran Ismail, anak kepada warga emas ini.

Menurut Akhiramdzan Shahiran, ayahnya itu terkena strok selepas terlibat dalam satu kemalangan kira kira lima tahun lepas. Tambahnya, selepas kejadian itu, kehidupan mereka menjadi cukup sukar.

“Saya cuba urus ayah apa yang terdaya, tapi, dua daripada tiga anak saya sendiri mengalami masalah kesihatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, antara yang turun padang ke program ini ialah Penolong Pengarah YADIM Kelantan, Yusnita Mohamed Yusof dan Penolong Pengarah Skuad Khidmat Bakti Al Rahmah YADIM, Abdul Qaiyum Aris.

Yusnita berkata, YADIM Kelantan akan membantu memohon bantuan bulanan dari dana zakat Majlis Agama Islam Kelantan selain kelulusan agihan dana untuk membina kediaman baharu untuk Ismail dan keluarganya.

Tambahnya, YADIM Kelantan juga akan membuat lawatan susulan ke kediaman Ismail selain membantu meninjau tapak kediaman baharunya nanti.

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *