KUALA LUMPUR – Memperkukuh jaringan strategik dan melestari gerakan dakwah bersama semua golongan sentiasa menjadi keutamaan YADIM.
Atas semangat itu, Bahagian Pelaburan dan Penajaan YADIM bersama Bahagian Penyelarasan NGO serta Bahagian Penerbitan Kreatif telah mengadakan sesi kunjung hormat ke Affin Islamic Bank Berhad bagi membincangkan pelbagai potensi kerjasama yang mampu memberikan impak lebih besar kepada masyarakat pada 3 Jun.
Delegasi YADIM diketuai oleh Pengarah Bahagian Pelaburan dan Penajaan, Puan Ummu Hani Husna Abdul Aziz bersama Penolong Pengarahnya, Encik Mohd Syarifudeen Suleiman, Penolong Pengarah Bahagian Penyelarasan NGO, Encik Luqman Hakimi Abdul Rahman, Puan Syahirah Nabilah Muhammad Sabri, Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan Kreatif Encik Muhammad Muzzammil Musbah dan Puan Anis Zurain Che Ab. Rahim.
Sementara itu, pihak Affin Islamic Bank Berhad diketuai oleh Ketua Jabatan Syariah, Ustaz Syed Muhammad Syed Mohd Nasir bersama Encik Wan Ahmad Nadzir Wan Nasir serta beberapa pegawai bank.
Antara perkara yang dibincangkan ialah potensi kerjasama dan penajaan bagi penganjuran Majlis Sama’ Hadith 2026, pelaksanaan Program Gold Camp 6.0 yang menyediakan sistem sokongan kepada peserta dalam proses penghijrahan ke arah kehidupan yang lebih baik dan penganjuran program Layar Dakwah YADIM.
Turut dibincangkan ialah selain kerjasama bersama Bahagian Penerbitan Kreatif YADIM melibatkan semakan kandungan penerbitan, pengesahan autoriti YADIM terhadap bahan terbitan luar serta pembelian produk-produk penerbitan YADIM bagi tujuan program tanggungjawab sosial korporat, perpustakaan dan pembekalan bahan bacaan Islam.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam membina sinergi yang lebih kukuh demi memperluas manfaat kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kerjasama, kesejahteraan dan pembangunan insan.
Semoga perbincangan ini menjadi titik permulaan kepada pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang mampu memperkasakan gerakan dakwah, menyantuni masyarakat dan terus menjayakan semangat MADANI Membantu.



KOMEN