KOTA BHARU -Sebagai sebuah badan dakwah, YADIM turut terlibat sama dalam inisiatif menjayakan kempen anti buli di sekolah.
YADIM Negeri Kelantan umpamanya telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundor. Kota Bharu dalam menjayakan Program Kerangka Anti Buli Sekolah Untuk Pemerkasaan (SAFE) yang berlangsung di Dewan Bayu Lestari, di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Program yang diadakan bersempena dengan Program Dakwah Negara ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap kepentingan membanteras gejala buli serta membentuk sahsiah murid yang berakhlak mulia, berdisiplin dan saling menghormati.
Program tersebut turut menampilkan Zamalah YADIM, Encik Nik Tarmizi Nik Ab Rahman sebagai penceramah yang menyampaikan pengisian berkaitan pencegahan buli, pembentukan nilai murni serta tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan harmoni.
Melalui pendekatan dakwah dan pendidikan, murid-murid turut didedahkan dengan nilai hormat-menghormati, kasih sayang, kerjasama dan kepentingan membina hubungan positif sesama rakan.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen YADIM N egeri Kelantan dalam memperluas penglibatan dakwah di institusi pendidikan, khususnya dalam usaha melahirkan generasi muda yang berakhlak, berintegriti dan bertanggungjawab.
YADIM Kelantan berharap agar program seumpama ini dapat terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan sekolah menjadi ruang yang selamat, harmoni dan bebas daripada gejala buli, selaras dengan aspirasi pembangunan insan melalui Program Dakwah Negara 2026.



KOMEN