Home » Citra Yadim » YADIM perlu main peranan utama lahirkan pendakwah – Perdana Menteri

YADIM perlu main peranan utama lahirkan pendakwah – Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu memainkan peranan utama ke arah melahirkan pendakwah dan umat Islam yang menjadi model ikutan kepada keseluruhan masyarakat di Malaysia.

Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memberikan segala sokongan dan dokongan kepada YADIM untuk menggerakkan usaha dakwah melatih umat Islam di Malaysia supaya mampu membawa mesej Islam sebenar dengan akhlak terpuji.

Demikian harapan beliau, selepas diberi penerangan mengenai usaha YADIM dalam melahirkan pendakwah di negara ini, khusunya daripada golongan muda menerusi usaha perkaderannya.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) YADIM hari ini (9 Disember) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di sini selepas dipanggil beliau bagi membincangkan hala tuju YADIM selepas ini.

YADIM sebelum ini berkesempatan menyerahkan memorandum berhubung pelan gerak kerja badan dakwah ini dalam satu kunjungan ringkas. Susulan itu, pertemuan hari ini diadakan bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perancangan masa depan badan ini.

Seramai 10 ALPA YADIM menghadiri pertemuan ini yang diketuai Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai usaha perkaderan, Nik Omar telah memberi gambaran menyeluruh kepada Perdana Menteri tentang hala tuju latihan dan pengkaderan YADIM yang merangkumi setiap kumpulan melalui inisiatif Daie Muda YADIM dan Rakan Siswa YADIM.

Usaha ini jelas Nik Omar adalah ke arah melahirkan pendakwah yang mampu untuk menyampaikan ajaran Islam sebenar dan seterusnya menjadi model baik kepada dunia.

“Tumpuan akan diberikan terutamanya kepada pembangunan golongan muda yang akan menjadi penentu masa depan negara dengan melahirkan tekno daie yang mampu mengaplikasikan kelebihan teknologi dalam menyebarluaskan mesej Islam,” jelas Nik Omar.

Sementara itu Perdana Menteri melahirkan keprihatinan tentang keadaan masa kini umat Islam apabila berkata, kelemahan umat Islam pada hari ini adalah berpunca daripada kegagalan melaksanakan ajaran Islam sepertimana yang diturunkan oleh Allah SWT, bahkan umat Islam secara majoritinya di seluruh dunia ujarnya hari ini, dikenali sebagai golongan yang lemah, gemar berbalah, korup dan tidak berakhlak mulia .

Umat Islam pada zaman kegemilangannya kata beliau, berjaya membentuk tamadun yang disegani seluruh dunia oleh kerana mereka tidak sekadar mengetahui teks-teks ajaran Islam namun sebaliknya berjaya mengamal dan menonjolkan ajaran Islam dengan nilai-nilai yang positif dan membina.

Tun Dr Mahathir juga mengulangi penegasan beliau bahawa Islam bukan setakat agama semata mata, malah ia adalah sebuah cara hidup atau the way of life.

Menurutnya, di dalam al-Quran terdapat cukup banyak nasihat untuk memajukan umat Islam yang jika diturut, pasti akan membawa kejayaan

“Ramai orang Islam baca al-Quran, tapi kelihatannya ramai seolah-olah tidak mengutamakan makna kepada al-Quran yg dibacanya itu. Ini menjadikan kita jauh daripada menghayati ajaran al-Quran itu.

“Maka kita sepatutnya mesti mula berlatih membaca makna dan terjemahan al-Quran serentak apabila membaca kitab suci itu” jelasnya.

YADIM juga dalam pertemuan hari ini berkesempatan menyerahkan foto foto ketika Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 pada November baru-baru ini yang dirasmikan beliau sebagai tanda kenang-kenangan.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *