Home » Citra Yadim » YADIM Sarawak Jalin Kerjasama Agih 16 Ekor Lembu Korban Di Parlimen Santubong

YADIM Sarawak Jalin Kerjasama Agih 16 Ekor Lembu Korban Di Parlimen Santubong

SANTUBONG – Sebanyak 16 ekor lembu korban berjaya diagihkan kepada penduduk di beberapa kawasan sekitar Parlimen Santubong menerusi Program Ibadah Korban yang dianjurkan oleh YADIM Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Parlimen Santubong.

Program pada 28 Mei yang berlangsung sempena sambutan Aidiladha itu merupakan komitmen YADIM dalam memperkukuh semangat kebersamaan selaras Aspirasi Malaysia MADANI, menyemarakkan amalan ibadah serta menyantuni golongan yang memerlukan melalui pengagihan daging korban kepada komuniti setempat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kejayaan mengagihkan sebanyak 16 ekor lembu korban membuktikan semangat kerjasama yang kukuh antara pelbagai pihak dalam memastikan manfaat ibadah korban dapat dirasai oleh masyarakat.

Menurut beliau, tiga ekor lembu telah disembelih pada majlis berkenaan sebelum daging korban diagihkan kepada penduduk di Zon Jakaseh yang melibatkan 15 kampung penerima.

Sementara itu, baki 13 ekor lembu korban telah diagihkan ke beberapa kawasan lain di bawah Parlimen Santubong melibatkan Zon Jakata dan Zon Jaksa di Dewan Undangan Negeri Pantai Damai serta Zon Bako dan Zon Tabuan di Dewan Undangan Negeri Demak Laut.

Hadir sama ke program ini ialah Pengarah YADIM Negeri Sarawak, Encik Awang Dulhadi Awang Mat.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada beberapa pihak yang menyumbang bagi menjayakan ibadah korban tahun ini, antaranya syarikat Ancom Nylex Berhad, Perdana Petroleum Sdn Bhd, Hyraxx Oil Sdn Bhd dan Shapadu Sdn Bhd melalui Yayasan Kebajikan Negara.

Melalui penganjuran program seumpama ini, YADIM terus memainkan peranan sebagai pemangkin kebajikan dan penghubung masyarakat dalam memperkukuh nilai kesukarelawanan, keprihatinan serta ukhuwah dalam kalangan rakyat.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *