PUTRAJAYA – “Saya mahu YADIM terus berdiri di pentas inovasi untuk manfaat ummah.”, demikian antara hasrat yang sering dizahirkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin dalam memastikan budaya inovasi terus dibugarkan di dalam organisasi.
Sejak beberapa hari lalu, Ibu Pejabat YADIM meriah dengan kehadiran pegawai-pegawai dari Sabah, Sarawak, Kelantan dan Pahang yang sanggup meninggalkan tugasan hakiki serta keluarga demi satu matlamat yang sama iaitu membawa nama YADIM ke pentas Pertandingan Anugerah Inovasi Peringkat Jabatan Perdana Menteri 2026.
Di sebalik pembentangan yang telah berlangsung pada 23 Jun 2026, tersimpan ratusan jam perbincangan, penyelidikan, penambahbaikan dan pengorbanan yang digerakkan oleh warga YADIM dari pelbagai latar belakang dan lokasi. Semuanya demi memastikan dakwah terus kekal relevan sesuai tuntutan zaman.
Bertempat di Kompleks Setia Perdana, empat kumpulan mewakili YADIM telah mempertaruhkan projek inovasi masing-masing yang merangkumi dua penyertaan dalam Trek Keselamatan dan Pentadbiran serta dua penyertaan dalam Trek Sosial.
Lebih membanggakan, penyertaan kali ini turut memperlihatkan kesinambungan legasi apabila barisan pegawai muda tampil mewarisi semangat, iltizam dan produktiviti generasi terdahulu untuk terus mengangkat agenda dakwah melalui pendekatan yang lebih kreatif.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengarah Bahagian Lonjakan Prestasi dan Inovasi, Encik Syahrir Azfar Saleh yang menjadi antara penggerak utama inovasi YADIM serta simbol komitmen berterusan agensi dalam membudayakan kecemerlangan dan pembaharuan.
Inilah semangat yang sedang disemai dalam jiwa warga YADIM agar tidak sekadar berhempas pulas melaksanakan amanah harian, bahkan sentiasa mencari ruang dan pendekatan baharu untuk mendekati ummah dengan lebih berkesan.
Selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat daya cipta dan kesejahteraan masyarakat agar dakwah terus hidup, berkembang dan menyentuh hati manusia merentasi zaman



KOMEN