Home » Langit Terbuka » Zakat fitrah di WP melonjak naik 1,100 peratus

Zakat fitrah di WP melonjak naik 1,100 peratus

Kutipan zakat fitrah dan zakat harta oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sememangnya meningkat saban tahun. - Foto PPZ

PUTRAJAYA – Kutipan zakat fitrah oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan terus meningkat setiap tahun apabila melonjak naik sehingga 1,100.06 peratus pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagi zakat harta pula, kenaikannya adalah dan 8.05 peratus.

Beliau berjanji zakat itu akan dibelanjakan dengan penuh berhemah dan diserahkan seadilnya kepada lapan kelompok asnaf yang berhak.

“Kutipan zakat fitrah dan zakat harta oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sememangnya meningkat saban tahun. Alhamdulillah.

“Begitu juga kutipan zakat fitrah dan zakat harta oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan yang melonjak naik sehingga 1,100.06 peratus bagi zakat fitrah dan 8.05 peratus bagi zakat harta.

“Insya-Allah, zakat ini akan dibelanjakan dengan penuh berhemah dan diserahkan seadilnya kepada lapan kelompok asnaf yang berhak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Kad Laporan Mei 2020 & Pelancaran Web Rasmi Menteri di Kompleks Islam di sini hari ini (9 Jun).

Zulkifli memberitahu, kad laporan bulanan ini adalah salah satu usaha pihaknya untuk menampilkan bentuk transformasi baharu dalam institusi pentadbiran hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan.

Jelas beliau, masyarakat awam terutamanya umat Islam perlu tahu apa yang dilaksanakan bagi manfaat mereka.

“Setiap sen yang dibelanjakan adalah amanah rakyat. Setiap sen yang kami ada, di situ ada hak rakyat untuk dimanfaatkan bagi maslahah mereka.

“Inilah yang selalu saya tekankan kepada semua agensi di bawah kami,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *