Penubuhan

    0
    1330

    Penubuhan

    Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ialah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab kepada YAB Perdana Menteri. Penubuhannya telah diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada 1 Muharam 1394, iaitu 25 Januari 1974. Beliau melihat peri pentingnya sebuah badan diwujudkan bagi berperanan sebagai penyelaras kepada aktiviti serta program dakwah yang pelbagai selain sebagai medium yang dapat menyelesaikan isu-isu khusus yang timbul. YADIM juga ditubuhkan sebagai suatu badan yang bertindak bagi menyelaras badan-badan agama khususnya badan bukan kerajaan yang dilihat tidak berkoordinasi dengan baik.

    Pada masa yang sama, Biro Agama UMNO pimpinan Dato’ Wan Abdul Kadir Ismail dalam mesyuaratnya pada 18 Julai 1971 telah sebulat suara mengambil keputusan untuk mendesak pihak kerajaan menubuhkan suatu badan yang diberi tanggungjawab menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah bagi maksud dakwah dan tabligh di samping menyaingi kegiatan-kegiatan mubaligh Kristian pada masa itu.

    Justeru, atas keprihatinan tersebut, Tun Abdul Razak Hussein telah mengarahkan pembentukan satu kumpulan pemikir untuk membincangkan penubuhan suatu badan dakwah. Hasilnya, dalam Kongres Ekonomi Islam Kedua  pada 7 April 1972 telah merumus dan mencadangkan penubuhan perbadanan Muslimin dengan nama Yayasan Sebaran Islam (Islamic Missionary Trust) dengan tujuan menjalankan dakwah islamiah dan menjalankan usaha-usaha kebajikan di seluruh negara.

    - advertisement -

    Berkesinambungan daripada itu, dalam persidangan kesepuluh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 6 Julai 1973, keputusan untuk menubuhkan suatu badan dakwah kebangsaan telah dipersetujui dengan nama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan mengarahkan Setiausaha Majlis tersebut, Dato’ Ismail Panjang Aris menyiapkan perlembagaannya.

    Pada 25 Jun 1974, Tun Abdul Razak Hussein mengisytiharkan penubuhannya mengambil sempena awal tahun hijrah 1 Muharam 1394 di majlis perjumpaan PERKIM Pahang. Dalam pengisytiharan tersebut beliau telah menamakan senarai anggota pemegang amanah YADIM seramai 12 orang. YB Tan Sri Syed Nasir Ismail (kini Tun) sebagai Yang Dipertua pertama dan YB Haji Hassan Adli Haji Mohd Arshad (kini Dato’) sebagai timbalannya.

    Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia mula beroperasi pada Ogos 1975 di tingkat 11 bangunan Wisma Batik, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Kemudian, pada 1 Januari 1980, kerajaan telah memperuntukkan sebuang ruang milik Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan ledang dengan keluasan kira-kira 3 setengah hektar bagi dijadikan pejabat baru YADIM. Lapan tahun selepas itu iaitu pada tahun 1988, YADIM berpindah pula ke Pusat Islam berhampiran Masjid Negara.

    Selama lebih kurang 40 tahun penubuhannya, YADIM telah ditadbir oleh 9 orang Yang Dipertua yang berkaliber termasuklah Allahyarham YABhg. Tun  Syed Nasir Ismail, Allahyarham YBhg. Dato’ Sri Kamaruddin Mat Isa, YBhg. Tan Sri Dr Mohd Yusuf Noor,  YBhg. Allahyarham Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid, YBhg. Dato’ Dusuki Ahmad, YBhg. Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, YBhg. Datuk Mohd. Nakhaie Haji Ahmad dan YB. Dato’ Seri Mejar Jeneral Jamil Khir Baharom (B) dan YBhg. Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd. Tahir. Pada masa ini, YADIM diterajui oleh YB Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

    Setiap Yang Dipertua mempunyai idea, pendekatan visi dan misi yang tersendiri dalam menjadikan YADIM rakan pembinaan negara yang sentiasa mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kebaikan dan masa depan agama, ummah dan negara.

     

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here