Home » Citra Yadim » YADIM perkenalkan Anugerah Dakwah Negara

YADIM perkenalkan Anugerah Dakwah Negara

 

KUALA LUMPUR – Buat julung-julung kalinya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan majlis Anugerah Dakwah Negara (ADN) bagi memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh dan organisasi yang terlibat dalam gerakan dakwah di negara ini.

Yang Dipertua YADIM, Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak enam kategori anugerah akan diberikan iaitu Anugerah Khas Pendakwah Negara, Anugerah Pendakwah Wanita, Anugerah Khas Dakwah NGO, Anugerah Pendakwah Saudara Kita, Anugerah Pendakwah Seni Hiburan dan Anugerah Pendakwah Muda.

Beliau berkata, majlis itu yang  turut mendapat kerjasama daripada Institut Wasatiyah Malaysia (IWM)  akan diadakan pada 6 Mac 2015 bertempat di Dewan Merak Kayangan Felda, Kuala Lumpur.

Menurutnya, majlis ini dan akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menyampaikan hadiah kepada tokoh-tokoh yang terpilih sebagai penerima anugerah itu nanti.

“Anugerah ini adalah julung-julung kali diadakan sebagai penutup kepada program dakwah negara yang dianjurkan oleh Yadim sepanjang tahun lepas dan dijangka dihadiri oleh wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam dari seluruh negara.

“Yadim berharap dengan adanya anugerah ini akan dapat memberi pengiktirafan kepada golongan pendakwah yang selama ini kurang diberikan pendedahan biarpun sumbangan mereka kepada negara sebenarnya amat besar sekali,’’ katanya.

Beliau berkata, orang ramai atau mana-mana organisasi yang berminat untuk mencalonkan penerima anugerah juga boleh berbuat demikian dengan mengisi borang yang boleh dimuat turun melalui laman web yadim iaitu www.yadim.com.my.

Jelasnya, Yadim sebagai payung kepada organisasi dakwah di negara ini, berusaha menjadikan bidang dakwah sebagai satu bidang yang sangat penting dalam masyarakat serta dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Majlis Anugerah Dakwah Negara ini adalah satu program untuk meraikan `orang-orang dakwah’ yang selama ini mungkin kurang dikenali walaupun mereka sebelum telah memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat melalui aktiviti dakwah mereka,’’ katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *