Home » Wacana » Kubur merah jambu

Kubur merah jambu

Isu gambar sebuah kubur dengan binaan di atasnya yang dihiasi dan diwarnakan dengan warna merah jambu mendapat perhatian ketika ini. Mengikut kepada bentuk nisan yang terdapat pada kubur tersebut, ia adalah kubur seorang perempuan. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kubur tersebut berada di Malaysia atau di luar negara.

Gambar kubur tersebut disebarkan di facebook dan di bawahnya terdapat ulasan yang menerangkan tentang tempahan yang dibuka untuk sesiapa yang ingin membuat binaan seperti itu. Antara pakej yang ditawarkan ialah warna dan lukisan mural binaan kubur boleh dipilih, sistem audio mp3 yang menyiarkan bacaan al-Quran 24 jam yang menggunakan bateri tenaga solar, bacaan Yasin automatik setiap malam Jumaat, bacaan tahlil automatik pada malam ketujuh, keempat puluh dan keseratus hari kematian, speaker luar, dan akhir sekali dinyatakan bahawa ia merupakan satu inovasi bid’ah hasanah.

Apa yang dapat dilihat, orang yang mengulas berkenaan kubur tersebut adalah orang yang tiada kaitan dengan kubur tersebut. Ulasannya hanyalah untuk menyindir orang yang menawar pakej binaan kubur tersebut dan segala amalan yang berkaitan dengan perkara kematian. Dengan kata lain, mereka adalah dua pihak yang berbeza. Sebenarnya, kedua-duanya berada pada hujung jalan yang berbeza yang menjauhi jalan lurus yang berada di tengah-tengah atau wasatiah.

Orang yang membuat binaan seperti itu adalah orang yang membuat bid’ah dhalalah atau bid’ah sesat yang termasuk dalam perkara haram. Manakala orang yang mengulas pula mengkategori semua bid’ah adalah sesat termasuklah bid’ah hasanah yang menjadi perkara-perkara khilaf dalam perbincangan para ulama.

Sebelum menjawab kekeliruan ini, adalah baik untuk kita memahami apa itu bid’ah dan pembahagian-pembahagiannya. Bid’ah dari segi bahasa adalah “sesuatu perkara yang baru”. Dari segi istilah, ia bermaksud sesuatu perkara yang baru yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. “Sesuatu perkara yang baru” ini bukanlah suatu hukum seperti haram, makruh, harus, sunat mahupun wajib.

Oleh itu, sesetengah ulama membahagikan bid’ah ini kepada dua iaitu bid’ah hasanah (perkara baru yang baik) dan bid’ah dhalalah (perkara baru yang sesat). Sesetengahnya pula membahagaikan bid’ah ini kepada tiga bahagian, iaitu bid’ah dhalalah, bid’ah hasanah dan bid’ah mubahah (harus). Manakala yang paling terperinci membahagikan bid’ah ini kepada lima hukum iaitu sama ada haram, makruh, harus, sunat mahupun wajib.

Manakala mereka yang tidak membahagikan bid’ah kepada bahagian-bahagian tersebut meletakkan semua bid’ah atau perkara baru yang tidak dibuat oleh Rasulullah SAW dan para sahabat adalah bid’ah dhalalah (perkara baru yang sesat). Ini adalah berdasarkan zahir hadis Rasulullah SAW:

وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ، وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ

“.. dan seburuk-buruk perkara adalah perkara-perkara baru, dan setiap perkara baru adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan itu berada dalam neraka”. Hadis riwayat Imam an-Nasai, dan al-Baihaqi. Imam al-Baihaqi dan al-Albani meletakkan hadith ini sebagai sahih.

Dalam hadith ini, Rasulullah SAW menyatakan bahawa setiap perkara baru itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu adalah sesat, dan setiap yang sesat itu berada dalam neraka. Oleh yang demikian, bila mana hadis itu secara zahir menyebutkan perkatan “setiap bid’ah adalah sesat”, maka tidak ada lagi pembahagian bid’ah kepada hasanah dan dhalalah.

Manakala ulama yang membahagikan bid’ah kepada pembahagian-pembahagian tersebut membahaskan lagi zahir perkataan “setiap” dalam hadis tersebut. Mereka mengatakan bahawa perkataan “setiap” itu bukanlah bermaksud merangkumi semua perkara tetapi lebih kepada kebanyakan dan melebihi. Ini adalah berdasarkan perkataan “setiap” yang terdapat dalam Surah Al-Ahqaf ayat 25:

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِأَمْرِ رَبِّه

“Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya..”

Ayat ini dan ayat sebelumnya menceritakan azab yang berupa angin yang diturunkan oleh Allah kepada kaum Nabi Hud yang membinasa dan menghancurkan kaum tersebut. Dalam ayat ini, disebut perkatan “kulla syai’” yang bermakna “setiap sesuatu” atau diterjemahkan dalam ayat tersebut dengan “segala-galanya”, walaupun hakikatnya bukanlah bermaksud setiap sesuatu benda itu hancur, kerana bumi tempat tinggal mereka masih ada.

Ayat yang lain adalah seperti ayat 79 surah al-Kahf:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

“Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut. Oleh itu aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap perahu (yang tidak cacat).”

Dalam ayat ini, dinyatakan bahawa raja tersebut akan merampas “tiap-tiap perahu”. Seolah-olah semua perahu akan dirampas. Akan tetapi, sebenarnya bukan semua perahu akan dirampas oleh raja itu, hanya perahu yang elok dan tidak cacat sahaja yang akan dirampas. Dalam terjemahan ayat di atas, dinyatakan sifat perahu tersebut dalam kurungan iaitu (yang tidak cacat) supaya jelas bahawa tidak kesemua perahu yang akan dirampas. Maka jelaslah bahawa perkataan “setiap” walaupun menunjukkan kepada semua, ia masih boleh diperbahaskan lagi sesuai mengikut konteks perkara tersebut.

 Dalam isu kuburan tersebut, hukum asal meletakkan batu nisan dan penanda adalah harus supaya kubur tersebut dapat dikenali dan dibezakan dengan kubur-kubur yang lain sebagaimana Rasulullah SAW pernah meletakkan sebuah batu besar di atas kubur Usman bin Maz’un di sisi kepalanya ketika Usman dikebumikan. Kemudian baginda saw bersabda:

أَتَعَلَّمُ بِهَا قَبْرَ أَخِي، وَأَدْفِنُ إِلَيْهِ مَنْ مَاتَ مِنْ أَهْلِي

“(Supaya) aku dapat mengenali dengan batu itu kubur saudaraku, dan (supaya) aku dapat menguburkan keluargaku yang meninggal dunia berdekatan dengannya”. Hadis riwayat Abu Daud. Imam An-Nawawi, Ibnu Hajar al-Asqalani, dan al-Albani meletakkan hadis ini sebagai hasan.

Namun, berlebih-lebihan menghiasi kubur yang menarik perhatian orang, ia bukanlah menjadi tujuan diletakkan batu nisan dan sebagainya. Malah perkara sedemikian sedikit pun tidak dapat memberi apa-apa manfaat kepada si mati yang berada dalam kubur tersebut. Ia merupakan perkara yang jelas bid’ah dhalalah yang sesat dan haram.

Manakala perkara-perkara seperti bacaan Yasin pada malam Jumaat, bacaan al-Quran kepada si mati, tahlil, dan sebagainya yang lain adalah termasuk dalam perkara khilafiyyah yang menjadi perbezaan pendapat dan pandangan dalam kalangan ulama.

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *