Home » Wacana » Kajian Isu-Isu Islam dan Kemodenan: Kes Perbankan dan Kewangan Islam

Kajian Isu-Isu Islam dan Kemodenan: Kes Perbankan dan Kewangan Islam

sumber

SEBAGAI satu agama yang benar dan relevan, Islam dan umatnya perlu memahami realiti semasa. Antaranya ialah cabaran dunia moden dengan tamadun Barat menguasai atau memimpin dunia semasa. Sebelum itu tamadun Islam ialah pencorak dan pemimpin tamadun dunia selepas mengambil alih daripada tamadun Yunani, Parsi, India, dan China.

Bagaimanapun, akibat kegagalan umat Islam memikul amanah kepimpinan dengan tamadun Barat menggantikan tamadun Islam. Walaupun begitu kisah umat Islam tidak berakhir begitu sahaja apabila kita dapati ulama Islam dan para pemikir tetap berjuang menegakkan kembali tamadun Islam dalam liputan sejarah sehingga hari ini. Ini kerana umat Islam tahu kebenaran di sebalik teori Ibn Khaldun tentang naik dan jatuh (rise and fall) sesuatu tamadun.

Artikel ini membincangkan beberapa pendekatan yang diambil dalam mendepani cabaran tamadun Barat dan usaha-usaha dalam memberi alternatif kepada kepimpinan dunia. Kita dapati pendekatan yang diambil ada yang bersifat menerima sepenuhnya tamadun Barat, ada yang menolaknya secara mutlak sepenuhnya dan ada mengambil pendekatan menerima yang baik dan menolak yang buruknya. Pendekatan ketiga boleh dianggap sebagai pendekatan yang agak baik  apabila mengambil pendekatan “adopting” dan “adapting”, iaitu kaedah untuk mengambil, menerima, mengamal, menganut, menyerap (adopting) yang baik dan menyesuaikan, memadankan, mengadaptasi dan menyadurkan (adapting) dengan konsep dan ajaran Islam. Kita akan mengambil institusi perbankan dan kewangan Islam sebagai contoh bagi melihat pendekatan yang diambil antara yang terpesona dengan kemilau tamadun semasa dan antara ketegangan dan pertentangan antara tamadun yang ada.

Barat dan dunia lain: Antara arus kemodenan dengan pemodenan

Istilah moden berasal dari perkataan Inggeris, “modern” bermaksud “dari masa sekarang, berkaitan dengan masa kini, yang terbaru, cara (kaeadah) baru, mutakhir. Sebagai  contohnya, bahasa moden, senjata moden dan alat kelengkapan moden. Kemodenan (modernity) pula bermaksud “perihal moden (baru), sifat (ciri dan sebagainya) moden.” Manakala pemodenan atau modenisasi  merujuk kepada “perihal (kegiatan, usaha, dan sebagainya) memodenkan, perihal menjadi moden, pembaruan.” (Kamus Dewan, 2005: 1039). Sememangnya arus kemodenan sebegini dapat diterima apabila hanya melibatkan kegiatan memajukan sebuah negara dan masyarakat.

Bagaimanapun istilah kemodenan atau “modernity” membawa maksud yang tertentu dan lebih berkait dengan tamadun Barat. Menurut Chris Barker (2005) dalam buku Cultural Studies: Theory and Practice, kemodenan “lazimnya merujuk kepada zaman pasca-tradisional dan pasca zaman pertengahan, lebih dikenali dengan perpindahan dari feudalisme, agrarianisme kepada kapitalisme, industrialisasi, sekularisasi, rasionalisasi, negara bangsa dan bentuk institusi serta corak pengawasannya.” Selain itu ada yang merujuk kemodenan hanya kepada perhubungan sosial berkaitan dengan kebangkitan kapitalisme. Manakala ada yang berpendapat kemodenan itu merujuk kepada kecenderungan dalam budaya intelektual, terutama gerakan-gerakan yang ada jalinan dengan proses sekularisasi dan kehidupan pasca industri seperti faham Marxisme, eksistentialisme, dan wujudnya sains sosial secara rasmi. (https://en.wikipedia.org/wiki/Modernity, akses pada 15/5/11).

Berdasarkan sejarah kebudayaan Eropah pula, dunia terbahagi kepada Barat dan Timur dengan Barat mewakili kekuasaan Kristian dan Timur selain daripada itu termasuk Islam dan Hindu-Buddha. Seterusnya, apabila kuasa barat menjajah dunia timur, pembahagian antara dunia Barat dan Timur mula diterima secara universal. Dari segi kemajuan material, dunia Barat digelar sebagai dunia maju, manakala dunia Timur sebagai dunia ketiga, negara mundur dan sedang membangun. Dengan sebab itu kita mendapati dunia Barat mendominasi dan melaksanakan hegemoni ke atas dunia Timur bermula dari era penjajahan dan selepasnya dalam bentuk penjajahan baru (neo-colonialism) dan sekarang dengan globalisasi untuk menguasai perdagangan dan kebudayaan. Antara sistem yang berasal daripada Barat dan mempengaruhi dunia Timur sekarang ialah sistem kapitalis dan demokrasi. Dengan itu, timbul reaksi negatif kepada aliran kemodenan dan permodenan.

Dengan gemerlapnya sistem komunisme, Marxisme dan sosialisme di Rusia dan China, budaya Barat mula mewarnai orde dunia dalam semua aspek pandangan hidup dan budaya semasa. Bagaimanapun, pandangan hidup Barat sekarang bukan lagi berpaksikan sepenuhnya kepada agama Kristian walaupun masih dikenali dengan tamadun Yahudi Kristian (Judeo-Christian civilization). Ini kerana apa yang mencorakkan Barat adalah aliran kemodenan dan sekularisasi seperti definisi di atas.

Secara umumnya, aliran kemodenan meletakkan pandangan hidup, nilai dan budaya berlawanan dengan ajaran agama dan secara spesifik agama Kristian. Pandangan kosmologi Barat ialah berdasarkan falsafah materialistik, naturalistik dan ateistik (materialistic naturalistic and atheistic philosophy). Mereka melihat alam tiada hubungan dengan Penciptanya lagi. Mereka meragui doktrin agama Kristian dengan menganggapnya sebagai mitos sahaja.

Seterusnya, pandangan moralnya bersandarkan faham utilitarianisme, iaitu “teori politik dan moral yang menyatakan bahawa matlamat semua peraturan hidup yang baik ialah untuk mencapai kebahagiaan hidup yang paling tinggi bagi seberapa ramai orang yang mungkin, dan tindakan yang dianggap benar atau salah adalah atas dasar sama ada tindakan itu membantu atau menghalang pencapaian matlamat ini. Setiap perbuatan dikira bermoral apabila dapat mencapai manfaat yang tinggi.” (Kamus Dewan. 2005: 1785). Fahaman sebegini akhirnya membawa kepada budaya hedonisme, iaitu “pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup.” (ibid, 523). Ia juga membawa kepada faham pragmatisme, iaitu “kepercayaan bahawa kebenaran atau nilai sesuatu teori, ajaran, doktrin dan sebagainya bergantung pada kegunaannya secara praktik” (ibid, 1129) atau disebut sebagai “cash values of idea.”

Aliran kemodenan Barat juga menganut faham relativisme, iaitu “faham bahawa kebenaran nilai moral dan sebagainya tidak semestinya mutlak tetapi mungkin berbeza antara individu atau kebudayaan.” (ibid,1307). Mereka tidak dapat menerima nilai yang mutlak dan tetap dalam mana-mana ajaran agama. Kesemua perlu berubah mengikut tempat dan masa. Seterusnya aliran kemodenan menganut faham “anthroposcentrism” iaitu suatu kecenderungan untuk manusia, walaupun tidak logik, menganggap diri mereka sebagai pusat dan entiti penting dalam alam atau mereka menilai realiti hanya menerusi perspektif manusia (https://en.wikipedia.org/wiki/Anthropocentrism, akses 18/5/11). Ini bertentangan dengan agama yang meletakkan tuhan sebagai pusat bagi semua perkara atau disebut sebagai “God-centres worldview”. Dengan itu, manusia bebas untuk menentu segala sesuatu. Ia juga berdasarkan pandangan Protogas, iaitu “Man is the measure of all things” yang dilihat bertentangan dengan ajaran agama termasuk Islam.

Seterusnya, menurut analisis falsafah dialektik tentang perubahan dan pembangunan, aliran kemodenan yang berdasarkan aliran kapitalisme juga menganut lawan-lawan dalam kesatuan dan perjuangan (the law of the unity and struggle of opposites). Sebagai contoh, ada pertentangan antara kelas pekerja dengan kelas kapitalis dalam kegiatan ekonomi. Dengan kata lain, aliran kemodenan melihat konflik dan pertentangan semata-mata antara kelompok manusia dengan satu sama lain tanpa perlu ada sifat tolong menolong dan kerjasama sesama sendiri dalam kehidupan bermasyarakat, atau konsep hidup bersama (co-existence). Ini berlaku dalam semua bidang termasuk ekonomi dan politik termasuk pandangan tentang pertentangan antara tamadun (the clash between civilizations).

Selain itu, aliran kemodenan juga menganut faham hegemoni, iaitu barat sebagai satu-satu kuasa yang dominan dan mutlak sekarang ini dengan kekuatan yang ada pada mereka dalam aspek politik, ekonomi, ideologi dan budaya mengenakan pengaruh mereka ke atas kumpulan lain. Banyak usaha dilakukan untuk membentuk pengaruh yang paling kuat atas satu-satu negara, kawasan, kumpulan berbanding orang atau orang-orang lain. Contohnya, globalisasi digunakan secara halus untuk menguasai negara-negara dunia secara tidak langsung terutama aspek ekonomi dan budaya.

Pendekatan Islam tentang kemodenan

Pemikir-pemikir Islam semasa sudah meneliti arus kemodenan yang dibawa Barat. Ada sesetengah yang menerimanya dan ada yang menolak. Di kalangan mereka yang menerima arus kemodenan Barat ini, mereka melihat ia sebagai kesinambungan daripada tamadun Islam. Dengan itu, tentangan ke atas arus atau aliran kemodenan tidak perlu bahkan perlu diraikan. Sebagai contoh, pandangan Rifa’a Rafi’ al-Tahtawi (1801-1873) di Mesir dan Sir Sayyid Ahmad Khan (1817-98) di India, melihat masyarakat dan negara Islam menganut faham kemodenan bagi membangunkan negara dan masyarakat masing-masing. Begitu juga kerajaan Turki Uthmaniyyah mula melaksanakan kaedah Barat dalam membangunkan negara sehinggalah Kamal Ataturk meniru Barat sepenuhnya dan aliran kemodenan dengan menghapuskan pengaruh Islam dengan negara Turki moden.

Seterusnya, terdapat pemikir Islam yang memperkenalkan aliran ‘moden Islam’ dan mereka ini termasuklah Jamaluddin al-Afghani (1838-97), Muhammad Abduh (1849-1905), Rashid Ridha (1869-1935) dan Muhammad iqbal (1877-1938). Pemikir-pemikir Islam ini mencuba untuk menterjemahkan Islam dalam keadaan semasa dengan melihat barat sebagai model kemodenan. Kesemua mereka menentang aliran taklid dalam agama dan tradisi. Aliran moden Islam ini banyak mempengaruhi aliran semasa Islam sekarang (lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Islam_and_modernity). Aliran semasa sekarang seperti Islam liberal dan sebagai cuba menafsirkan Islam dalam wajah kemodenan sehingga dilihat lebih kepada kebaratan. Mereka ini banyak menimbulkan konflik dalam masyarakat Islam semasa kerana dilihat lari atau terpesong daripada Islam yang sebenar.

Selain itu, golongan yang menolak aliran kemodenan Barat terbahagi kepada kumpulan ‘tradisionalis’ dan fundamentalis’. Secara umum mereka menentang aliran kemodenan Barat dengan melihat ia sebagai bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan melihat kepada perbincangan tentang pandangan hidup, nilai dan budaya aliran kemodenan Barat, penolakan golongan ini kepada aliran kemodenan ada kesahihannya dan relevan. Bagaimanapun, kumpulan ini tidak menyumbang secara langsung kepada kemajuan dan pembangunan material negara dan masyarakat. Dengan kata lain mereka hanya mampu mengkritik tanpa apa-apa sumbangan lahiriah. Dengan itu, mereka sebenarnya tidak mampu untuk berdepan dengan kemajuan dan hegemoni Barat. Lahir juga dari kalangan mereka ini “pejuang-pejuang jihad” sehingga dianggap sebagai pengganas pula dari kalangan masyarakat sendiri dan kuasa Barat. Contohnya, kumpulan Al-Qaeda yang diketuai oleh Osama ben Laden yang sudah mati ‘syahid’ kepada tentera komando Amerika.

Mungkin kita dapat mengatakan antara sumbangan positif kumpulan tradisionalis ialah dalam bidang spiritual dan rohani kerana kedahagaan masyarakat kepadanya akibat terikut-ikut dengan budaya hedonis Barat. Mereka ini akhirnya mencuba untuk mencapai kedamaian dalam agama bagi menebus dosa-dosa yang dilakukan. Bagaimanapun, sumbangan mereka dalam bidang rohani ini mendapat saingan daripada kumpulan spiritual baru seperti ESQ dan sebagainya yang lebih ‘kreatif’ kerana menggabungkan perkembangan moden seperti muzik dan sebagainya untuk membentuk kesedaran spiritual. Bagaimanapun, kumpulan baru ini seperti ini lebih bersifat ‘business’ dengan mengenakan bayaran tinggi dan ‘elitis’ pula kerana tidak bersifat massa.

Seterusnya, terdapat aliran Islamisasi dalam menangani dan mendepani tentangan aliran kemodenan Barat. Mereka ini dikira mengambil ‘pendekata pertengahan’ antara penolakan dan penerimaan terhadap aliran kemodenan. Secara umumnya, dalam aliran Islamisasi, ada yang bersifat tulen dan ada bersifat gunaan. Islamisasi tulen lebih menekankan kepada konsep, falsafah dan teori agama dalam bentuk amalan dan seterusnya menjadi institusi. Sebagai contoh, dalam teori ilmu, tulisan Profesor S.M.N al-Attas dalam Prolegomena to the Metaphysics of Islam (1995) dapat dikategorikan sebagai Islamisasi tulen manakala tulisan Ismail R.al-Faruqi dalam buku Islamization of Knowledge (1982) dalam kategori Islamisasi gunaan. Tulisan mereka ini terhad dalam bidang kepakaran dan pengkhususan tertentu, iaitu dalam teori ilmu dan pelaksanaan dalam institusi pendidikan.

Isu perbankan dan kewangan Islam

Bagaimanapun, Islamisasi sama ada dalam bentuk tulen dan gunaan yang paling menonjol sekarang ialah dalam bidang ekonomi dan muamalah Islam. Sebagai contoh, perkembangan dalam perbankan dan kewangan Islam berkembang pesat sekarang dengan penyertaan banyak pihak sama ada institusi Islam atau bukan Islam. Perbankan Islam ditakrifkan sebagai “perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam (Syariah), iaitu fiqh muamalat (peraturan Islam dalam transaksi) (https://www.bankinginfo.com.my/_system/media/downloadables/perbankan_islam.pdf).

Sebenarnya hasrat untuk merealisasikan ajaran Islam dalam institusi ekonomi terutama perbankan bermula apabila ahli ekonomi Islam mencari alternatif baru kepada institusi perbankan di Barat yang melibatkan riba (faedah). Dengan ini, banyak kajian dalam bidang perbankan dan ekonomi Islam termasuklah M.Nejatullah Siddiqui dalam Banking Without Interest (1968) dan Afzalur Rahman dalam bukunya Economic Doctrines of Islam (1974). Kajian ahli ekonomi Islam seperti Dr. Umer Chapra dalam Towards a Just Monetary System (1985), Islam and The Economic Challenge (1992), The Future of Economics: An Islamic Perspective (2000) dan The Islamic Vision of Development in the Light of Maqasid Sharia’h (2008), perlu ditelaah oleh semua pihak yang terlibat dalam industri perbankan dan kewangan Islam.

Penglibatan pakar-pakar syariah temasuk para ulama fuqaha dan cendekiawan Islam dalam industri perbankan dan kewangan agak lewat, iaitu awal tahun 2000. Sebelum ini pakar-pakar syariah ini banyak menumpukan kajian mereka dalam bidang ibadah, munakahat dan jenayah berbanding dengan bidang mualamah. Bagaimanpun, dengan perkembangan pesat industri perbankan dan kewangan Islam, pakar syariah mula terlibat dalam industri ini. Apa yang berlaku di Malaysia ialah kebanyakn mereka dilantik dalam jawatankuasa Syariah bagi membimbing mengenai hal-hal syariah dan memastikan bahawa fungsi bank tersebut adalah mematuhi kehendak syariah. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga menubuhkan Majlis Penasihat Syariah, iaitu badan syariah tertinggi bagi memastikan keseragaman dalam pendapat dan amalan dalam perbankan dan kewangan Islam.

Antara konsep asas syariah yang dilaksanakan dalam perbankan Islam ialah wadi’ah (simpanan), mudarabah (perkongsian keuntungan), murabahah (kos tambah), musyarakah (usahasama), ijarah thumma bai’ (sewa [kemudian] beli), wakalah (agensi), qard (kontrak hutang) dan hibah (ganjaran). Dengan pelaksanaan sebahagian daripada amalan tersebut dalam perbankan Islam, fiqah muamalat klasik mula mendapat tempat dalam perhubungan ekonomi dan kewangan masyarakat.

Penubuhan perbankan Islam memberi alternatif baru dengan slogan “banking without interest”. Bagaimanapun dalam keadaan semasa perbankan Islam dan skim perbankan Islam (SPI) yang ada tidaklah sempurna kerana belum berjaya menjadi alternatif terbaik dan seterusnya dapat menukar sistem ekonomi kapitalis kepada ekonomi Islam. Sememangnya asas muamalat Islam dilaksanakan tetapi kedudukannya di bawah Islamisasi ekonomi belum lagi terhasil sepenuhnya.

Malah ada kritikan termasuk tuduhan yang menyatakan ia tiada berbeza dengan sistem kapitalis, cuma akad dan istilah arab digunakan sebagai perbezaan dengan perbankan konvensional. Nampaknya institusi ini masih memerlukan pembaikan yang berterusan dalam mewujudkan persekitaran ekonomi yang adil dalam masyarakat. Dengan itu, kritik atas ekonomi kapitalis dengan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin diharap tidak berlaku dalam konteks ekonomi dan perbankan Islam. Seterusnya, jurang ekonomi dalam masyarakat dapat dirapatkan apabila kegiatan ekonomi Islam dilaksanakan.

Kesimpulan

Kajian lanjut tentang isu-isu Islam dan kemodenan terutama dalam bidang perbankan dan kewangan Islam termasuk takaful dapat memperbaiki kelemahan yang ada dan seterusnya dapat dijadikan contoh dalam pelaksanaan sistem ekonomi yang adil sebagaimana yang dicita-citakan sejak kebangkitan Islam di Mekah dan pelaksanaan di Madinah tidak dapat lari daripada konteks ekonomi dan perdagangan.

Oleh Abdul Salam Muhamad Shukri

Sumber daripada Majalah Dakwah keluaran Julai/Ogos 2011

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *