Home » Persuasif » Patah tumbuh hilang berganti?

Patah tumbuh hilang berganti?

Oleh ABDUL KHALEED RAYYANI

Masa beredar, pelbagai perubahan dirasai, tambahan pula dengan begitu banyak krisis dan cabaran termasuk kelembapan ekonomi, harga barangan yang mencanak naik selain hutang yang menimbun hingga membebankan sudah pasti memaksa manusia terutama golongan belia yang sedang mula mahu membina hidup terpaksa mengubah dan menyesuaikan perspektif hidup dalam usaha memenuhi keperluan sehari-hari.

Ironinya, Malaysia dilihat sebagai ‘lombong emas’ oleh tenaga buruh dari negara-negara jiran seperti Nepal, Sri Lanka, Bangladesh dan Indonesia sehingga sanggup bertarung nyawa untuk sampai ke bumi Malaysia tidak kira melalui jalan ‘halal,’ ‘jalan haram’ mahupun laluan tikus. Namun, lain pula yang berlaku di dalam negara sendiri apabila seorang demi seorang tenaga mahir Malaysia mula ‘angkat kaki’ meninggalkan negara ini demi memenuhi keperluan hidup dan meneruskan kelangsungan hidup yang lebih selesa.

Sebenarnya fenomena tirisan minda atau juga dikenali sebagai brain drain ini telah mula berlaku pasca Perang Dunia Kedua lagi, namun kini fenomena penghijrahan para belia berpelajaran tinggi, pekerja mahir dan berpendidikan ke luar negara semakin membarah dengan kira-kira lebih dua juta tenaga mahir ini telah meninggalkan negara semenjak negara mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. (Laporan Bank Dunia, 2016).

Laporan Ekonomi Bank Dunia tentang penghijrahan keluar rakyat Malaysia juga telah menganggarkan kira-kira satu juta individu yang lahir di Malaysia menetap di luar negara sebagai ekspatriat, penduduk tetap atau sebagai rakyat di negara tersebut. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan turut mengesahkan seramai 54,406 rakyat Malaysia melepaskan kerakyatan sejak 2010 sehingga kini. (Sinar Harian, “54,406 lepas kerakyatan Malaysia sejak 2010,” 14 Mac 2016).

Tahun 2011 mencatatkan jumlah paling ramai rakyat negara ini memilih melepaskan kerakyatan iaitu seramai 11,080 orang. Pada tahun ini sahaja, seramai 1,102 rakyat Malaysia telah memilih untuk melepaskan taraf kewarganegaraan mereka dengan jumlah sehingga 367 orang sebulan.

Menurut statistik KDN, seramai 8,076 rakyat Malaysia telah melepaskan kerakyatan mereka tahun lepas. Pada 2014, seramai 7,843 rakyat Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada negara ini, 6,678 pada tahun 2013; 8,983 pada tahun 2012; 11,080 pada 2011 dan 10,644 pada 2010.

 

Apakah Puncanya?

Keadaan sesebuah negara dan faktor individu juga boleh dilihat sebagai pencetus terjadinya brain drain ini. Dari segi faktor keadaan negara, persekitaran sosial (kekurangan peluang pekerjaan, gaji yang tidak setimpal dengan kelayakan, ketidakstabilan politik, kemelesetan ekonomi, risiko kesihatan, dan lain-lain) menjadi indikasi terpenting. Dalam hal ini, negara yang memiliki kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang baik sudah pasti menjadi pilihan.

Laporan Ekonomi Bank Dunia menyebut ketidakadilan sosial merupakan antara sebab utama rakyat Malaysia memilih untuk meninggalkan negara. Kira-kira 60 peratus daripada responden yang tersenarai meletakkannya antara tiga sebab utama mereka memutuskan untuk berhijrah. Selain itu, diskriminasi sama ada di dalam sektor awam mahupun swasta, serta jurang sosioekonomi yang melebar juga dikenalpasti merupakan antara sebab penghijrahan golongan cerdik pandai meninggalkan negara dan melepaskan status kerakyatan mereka.

Berdasarkan kajian lain yang dilakukan oleh tokoh akademik di Malaysia, 66 peratus rakyat negara ini hidup dan bekerja di luar negara kerana mahu mendapatkan pendapatan dan gaji yang lebih setimpal dengan kepakaran serta hasil kerja yang diberikan mereka berbanding bertugas di Malaysia.

Misalnya, seorang doktor gigi warganegara Malaysia berpendapatan sebanyak RM151,953 setahun (berdasarkan bayaran gaji bulanan sebanyak RM18,000 sebulan) boleh menikmati gaji dan pendapatan tahunan sebanyak RM292,924 setahun di China berbanding apa yang diperoleh di Malaysia.

Jurang perbezaan dalam jumlah pendapatan (RM140,971) inilah yang menyebabkan pekerja mahir ini lebih gemar memilih untuk berhijrah ke luar negara dengan hampir separuh daripadanya memilih negara jiran Singapura selain negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom (ASEAN Today, “Malaysia’s brain drain reaching critical stage”, 18 Mac 2016). Malaysia hari ini bukan sahaja kehilangan rakyat yang berkemahiran tinggi, tetapi Malaysia juga telah menggantikan pekerja asing yang berkemahiran rendah untuk berkhidmat di atas bumi Malaysia yang hanya menyumbang sedikit dalam ekonomi negara.

Dari segi faktor individu pula, pengaruh keluarga (saudara-mara di luar negara), belajar di luar negara dan keutamaan peribadi seperti meneroka prospek pekerjaan dan cita-cita untuk kerjaya yang lebih baik menjadi pendorong utama penghijrahan mereka ke luar negara.

Hakikatnya, walaupun pelbagai usaha telah diambil dan dirangka kerajaan untuk mengecilkan jurang brain drain ini antaranya penubuhan Talent Corporation (TalentCorp) pada Januari 2011, namun keberkesanan peranan yang dibawa masih tidak memperlihatkan kesan yang diingini selain kemampuannya turut dipersoal.

Dengan kesan-kesan negatif serta faktor pendorong dan penarik bagi fenomena brain drain ini, sewajarnya usaha yang lebih giat dan tersusun perlu dilakukan bagi mengatasi permasalahan ini.

Natijahnya, fenomena brain drain ini berlaku kerana pelbagai faktor. Namun isu mengenai gaji lebih terkesan kepada golongan cerdik pandai ini. Gaji yang tinggi sudah tentu penanda aras penting yang menunjukkan penghargaan kepada golongan seperti ini.

Harus diingatkan, bahawa fenomena brain drain ini menyentuh kepada modal insan yang menjadi pemangkin kemajuan sesuatu negara. Kehilangan para cerdik pandai tanpa ditangani dengan baik akhirnya pasti akan merencatkan kemajuan negara. Adakah kita ingin menjadi sebuah negara yang mundur hanya kerana gagal mencari formula merencatkan fenomena brain drain yang melanda negara ini?- MAJALAH DAKWAH

Penulis ialah Penterjemah bebas dan ahli seumur hidup Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM)

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *