Home » Langit Terbuka » Zuraini imam wanita masjid liberal di Jerman

Zuraini imam wanita masjid liberal di Jerman

BANGI,20 Jun – Tindakan anak perempuan kepada seorang bekas wakil rakyat Malaysia menjadi imam jemaah lelaki dan wanita di sebuah masjid liberal di Berlin, Jerman mendapat kecaman pelbagai pihak.

Ani Zonneveld atau Zuraini Tan Sri Abdul Khalid menjadi perhatian selepas namanya dilapor sebagai salah seorang imam di Masjid Ibnu Rushd-Goethe, yang baru dibuka di Berlin minggu lalu.

Tidak hanya setakat itu, Zuraini juga dilaporkan menjadi bilal di masjid tersebut ketika solat Jumaat pada 16 Jun lepas.

Akhbar Kosmo! hari ini menyiarkan laporan ‘Wanita Malaysia pimpin solat berjemaah lelaki, perempuan di Berlin, Jerman: Zuraini jadi imam masjid liberal’ di muka depan dan muka surat tiganya, mengejutkan ramai pihak.

Anak bekas Ahli Parlimen Kota Star Utara itu sememangnya aktif dalam gerakan aktivis liberal apabila menjadi Presiden Pertubuhan Muslims for Progressive Values di peringkat antarabangsa.

Zuraini yang pernah popular sebagai penerbit dan komposer lagu di Malaysia juga pernah menjadi imam untuk jemaah lelaki dan wanita di Amerika Syarikat.

Jumaat lalu, masjid itu membenarkan jemaah lelaki dan wanita bersolat bersebelahan selain berimamkan seorang wanita.

Diasaskan oleh tujuh individu, masjid ke-88 di ibu negara Jerman terletak di tingkat tiga sebuah bangunan gereja Protestan, lapor AFP.

Semua penganut mazhab Islam, termasuk Syiah, sufi dan Alawi, dibenarkan bersolat di sini. Golongan gay dan lesbian juga diizinkan bersolat.

Sebelum ini, aktivis Amina Wadud juga antara wanita yang menggemparkan dunia menjadi imam kepada jemaah lelaki pada 2005 di New York.- www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *