Home » Persuasif » Cinta saja tidak cukup untuk selamatkan anak kita

Cinta saja tidak cukup untuk selamatkan anak kita

Oleh ABU FATTAH

Cinta ibu bapa kepada anak-anaknya melebihi cinta anak-anaknya kepada mereka. Bacalah kisah Nabi Nuh. Betapa pun anaknya menderhaka kepada Allah SWT dan membangkang seruan bapanya, cinta Nabi Nuh terhadap anaknya itu tidak pernah luntur. Sehingga detik-detik terakhir, Baginda masih mengajak anaknya, Kana’an untuk sama-sama menaiki bahteranya di tengah-tengah pukulan gelombang yang laksana gunung itu.

Meskipun Allah SWT telah berkali-kali memperingatkan dan melarang Nabi Nuh AS memohon perlindungan-Nya bagi menyelamatkan anaknya yang diperjelaskan di dalam firman-Nya bahawa anaknya itu tidak akan dapat diselamatkan kerana kekufurannya(Surah Hud: 45-46), namun hati seorang ayah, tidak sampai hati melihat anaknya binasa.

Keingkaran anaknya yang bernama Kana’an serta isterinya untuk beriman kepada Allah SWT menyebabkan mereka akhirnya ditenggelamkan oleh banjir besar. Betapa kecintaannya terhadap anaknya ketika Kana’an sedang berjuang menyelamatkan diri, Nabi Nuh tidak putus-putus mengajak anaknya naik ke atas kapal bersama-samanya, namun anaknya tidak menghiraukan seruan itu. Allah SWT telah menurunkan banjir yang besar dan telah menenggelamkan semua umat Nabi Nuh yang tidak beriman kecuali 70 orang pengikutnya yang setia.

Cerita Nabi Nuh AS telah mengingatkan bahawa anak daripada orang soleh tidak semestinya akan menjadi soleh seperti ibu bapanya. Nabi Muhammad SAW juga pernah mengingatkan anaknya yang bernama Fatimah bahawa jika dia mencuri, Rasulullah akan memotong tangannya. Kesolehan seperti mana juga kemuliaan seseorang, memang tidak boleh diperoleh melalui keturunan semata-mata tetapi ia perlu dicapai dengan adanya usaha individu itu sendiri, serta pilihan dan kehendak Allah.

Nabi Nuh AS menerima jawapan daripada Allah yang menjelaskan hakikat yang telah dilupai Baginda iaitu hubungan ‘kekeluargaan’ di sisi Allah juga dalam agama Allah dan neraca pertimbangan-Nya bukanlah hubungan darah, tetapi hubungan yang lebih utama iaitu hubungan akidah. Itulah hakikat agung dalam agama ini, iaitu hakikat hubungan akidah yang menjadi asas segala hubungan yang lain. Itulah tali hubungan yang mengikatkan individu Mukmin di antara satu sama lain. Itulah satu hubungan istimewa yang tidak dapat dilaksanakan oleh hubungan keturunan dan hubungan kekerabatan.

Hakikatnya, kehadiran seseorang anak dalam kehidupan kedua-dua ibu bapa adalah sesuatu yang amat berat, satu fitnah, satu ujian daripada Allah untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran, kadar keimanan dan tanggungjawab kita untuk membawanya ke jalan yang diredai Allah. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan suci maka pada ibu bapalah untuk mencoraknya.

Ibu bapa memikul tanggungjawab untuk menunjukkan contoh teladan yang baik bagi melahirkan anak-anak yang soleh. Suasana di rumah mempunyai peranan yang besar dalam membentuk anak-anak. Oleh demikian, suasana keislaman di dalam rumah hendaklah dihidupkan. Bagaimana Luqman Hakim mendidik anaknya boleh dijadikan panduan terutamanya dalam berkomunikasi. Beliau sentiasa berpesan kepada anaknya agar jangan mempersekutukan Allah, dirikanlah solat, berbuat baik dan banyak bersabar. Pesan-pesan tauhid itu harus sentiasa tertanam dalam jiwa dan kesedaran anak-anak kita.

Sesungguhnya solat itu satu-satunya bekal dan nilai-nilai amar maaruf nahi mungkar yang sangat-sangat relevan bagi anak-anak yang akan menghadapi zaman globalisasi yang serba pantas. Demikianlah juga dengan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Yaakub AS yang sempat memberikan wasiat kepada anak-anaknya seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 132 yang bermaksud, “Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.”

Ibu bapa hendaklah selalu memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak supaya sentiasa mentaati Allah dan menjaga perintah agama. Pesanan, teguran dan kata-kata nasihat dari ibu bapa merupakan mutiara-mutiara berharga untuk anak-anak kerana ibu bapa adalah orang yang paling hampir dengan anak-anak. Peranan ibu bapa sebagai pemberi nasihat dan pesanan tidak terhenti setakat anak-anak masih kecil, tetapi berterusan hingga bila-bila sekalipun mereka telah dewasa.

Hal ini kerana kebiasaan ketika masa kecilnya dengan kebaikan akan dituai pada masa dewasanya kebaikan itu. Begitu juga yang masa dewasanya sudah terbiasa dengan kebaikan, maka ia akan mati dalam kebaikan itu, dan barang siapa yang mati dengan penuh kebaikan maka ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan kebaikan tersebut, dan begitu juga sebaliknya.

Anak-anak yang gagal dididik dan dibekalkan dengan ajaran agama serta kurangnya perhatian dan hilangnya keteladanan yang baik daripada  ibu bapanya sejak dari kecil sebahagian besarnya akan melahirkan anak-anak yang gagal dan menderhaka terhadap kedua ibu bapanya. Oleh kerana itu, ajar dan didiklah anak-anak dengan adab dan perilaku yang telah digariskan oleh agama supaya dapat menghindarkan mereka daripada kesesatan lalu terjerumus ke dalam api neraka.

Sesungguhnya, anak adalah milik Allah SWT dan mesti dipersembahkan dan dipersiapkan sepenuhnya hanya untuk (jalan) Allah. Kita sebagai ibu bapa sekadar diberi amanah memelihara dan memberi ilmu. Waima ketika Allah memerintah Nabi Ibrahim AS agar menyembelih anaknya Ismail yang sangat disayanginya, Baginda dengan rela hati melaksanakan perintah tersebut.

Sebagaimana pengajaran dari kisah Nabi Nuh AS, kesolehan dan kemuliaan ibu bapa tidak dapat menyelamatkan anak-anak daripada pembalasan Allah SWT. Hanya bekalan didikan agama yang mencukupi sahaja yang dapat menyelamatkan mereka daripada balasan Allah SWT. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *