Home » Citra Yadim » Guna pendekatan sosial atasi beban psikologi anak tak sah taraf

Guna pendekatan sosial atasi beban psikologi anak tak sah taraf

BANGI, 14 Ogos – Masyarakat tidak sepatutnya menyalahkan anak tidak sah taraf sehingga ada di kalangan mereka yang terpaksa menanggung beban psikologi, kata Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Beliau yang juga PresidenI nternational Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) berkata, sememangnya ada anak tidak sah taraf yang terpaksa menanggung beban disebabkan kesalahan yang dilakukan ibu bapa mereka.

“Namun kes-kes seperti itu tidak seharusnya ditangani melalui pendekatan undang-undang dengan membenarkan mereka dinasabkan kepada ayah biologi.

“Sebaliknya kita perlu menggunakan pendekatan sosial yang lain seperti pemahaman kepada masyarakat bahawa anak-anak ini tidak berdosa.

“Kita lihat pendekatan undang-undang sekarang adalah bersifat pencegahan dan memartabatkan institusi keluarga,” katanya ketika menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Kesan Kemusnahan Struktur Kekeluargaan kepada Kesihatan Mental dan Sosial Masyarakat’ pada Sidang Meja Bulat Bicara Ilmiah Anak Tak Sah Taraf, semalam.

Program berkenaan adalah anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN).

Isu penasaban anak tidak sah taraf timbul selepas Mahkamah Rayuan membenarkan anak yang dilahirkan di luar nikah dibin atau dibintikan dengan nama bapa biologi, sedangkan amalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak sedemikian, sebaliknya mereka dibinkan atau dibintikan kepada Abdullah.

Tiga panel hakim yang bersidang juga memutuskan, Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.

JPN yang mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagaimanapun, membuat pendirian untuk mengekalkan peraturan sedia ada berhubung penasaban anak luar nikah atau anak tak sah taraf orang Islam, selain mengikut ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan. – www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *