Home » Langit Terbuka » MAIWP belanja lebih RM700,000 wang zakat, manfaat kira-kira 170,000 individu

MAIWP belanja lebih RM700,000 wang zakat, manfaat kira-kira 170,000 individu

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah membelanjakan RM733,262,510 melalui wang zakat dikutip di Wilayah Persekutuan, yang memanfaatkan kira-kira 170,000 golongan asnaf fakir dan miskin setakat Oktober lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pada masa ini, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ), mengguna pakai kaedah had kifayah dalam penentuan jenis dan jumlah bantuan yang disalurkan kepada semua asnaf yang layak.

“Sehubungan itu, melalui pengenalpastian golongan sasar yang jelas serta kaedah had kifayah ini, agihan yang teratur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Sebarang isu yang timbul berkaitan kutipan dan agihan, akan sentiasa diteliti dan dibincangkan oleh semua MAIN/AMZ melalui dua mekanisme utama.

“Dua mekanisme itu iaitu menerusi platform Majlis Pengurusan Zakat Negeri-Negeri (MPZN) yang diurussetiakan sekretariat yang dilantik oleh MAIN/AMZ sendiri dan Mesyuarat Penyelarasan Program Zakat Bersama MAIN/AMZ yang diurussetiakan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya di Dewan Negara, yang mahu tahu usaha dilakukan kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan khususnya asnaf fakir dan miskin dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kenaikan harga barangan.

Mohd Naim berkata di Wilayah Persekutuan, MAIWP menawarkan 38 skim bantuan yang dipecahkan kepada Kluster Kebajikan, Kluster Perubatan, Kluster Pendidikan, Kluster Pelindungan/Perumahan, Kluster Ekonomi serta Kluster Dakwah dan Pembangunan Ummah.

Menjawab soalan asal Mohd Hisamudin yang mahu tahu usaha kerajaan dalam memastikan tidak berlakunya pertindihan agihan zakat kepada golongan sasar yang memerlukan, Mohd Naim berkata pihak MAIN atau AMZ membuat semakan silang antara data asnaf dan data penerima bantuan di antara MAIN/AMZ.

Beliau berkata pada masa ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang membangunkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), yang akan membolehkan pihak MAIN atau AMZ membuat semakan data secara masa sebenar atau hampir masa sebenar, bagi membantu mempercepatkan proses pengagihan bantuan zakat dengan teratur.

“JAWHAR bersama-sama MAIN/AMZ, amat menyambut baik usaha ini dan sedang menyediakan set data yang bersesuaian sebagaimana keperluan pihak DOSM,” katanya.

Mohd Naim berkata hasil daripada kerjasama strategik yang terjalin antara agensi Persekutuan bersama-sama pihak berkuasa MAIN atau AMZ yang diselaraskan oleh JAWHAR ini, perkongsian data antara agensi dapat dilaksanakan, sekali gus dapat membantu mengelakkan pertindihan dalam urusan agihan zakat kepada golongan asnaf.–AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *