Home » Analitis » Maqasid haji membina kesatuan ummah

Maqasid haji membina kesatuan ummah

Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang menjadi tunjang dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah manifestasi ketaatan kepada Allah SWT dan menzahirkan kepatuhan kepadaNya. Selain memenuhi tuntutan peribadi dari sudut akidah dan penyucian jiwa, haji juga mengandungi pelbagai objektif sosial yang mendalam, selari dengan prinsip Maqasid al-Shariah. Dalam konteks sosial dan kemasyarakatan, haji berperanan besar dalam membentuk sebuah masyarakat Islam global yang bersatu, berdisiplin, adil, serta hidup dalam semangat tolong-menolong dan persaudaraan sejagat.
Salah satu aspek maqasid terpenting dalam haji adalah usaha untuk menyatukan umat Islam.

Perhimpunan jutaan jemaah dari seluruh pelosok dunia setiap tahun di tanah suci Makkah merupakan simbol agung kepada kesatuan ummah. Mereka datang daripada latar belakang bangsa, budaya, bahasa, dan status sosial yang berbeza, namun semua mengenakan pakaian ihram yang sama iaitu dua helai kain putih yang sederhana. Tanpa perbezaan pakaian atau pangkat, setiap Muslim menunaikan ibadah dalam keadaan sama, mengingatkan bahawa di sisi Allah SWT, manusia hanya dinilai berdasarkan taqwa mereka sebagaimana firmanNya dalam surah al-Hujurat ayat 13:

Maksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.”

Begitu juga haji berfungsi sebagai latihan membentuk kesedaran kolektif dalam kalangan umat Islam. Setiap amalan haji daripada wuquf di Arafah hingga melontar jamrah dilakukan secara berjemaah, melambangkan bahawa kejayaan individu bergantung kepada kerjasama dalam masyarakat. Ia penting untuk membina umat yang berpadu tenaga menghadapi cabaran bersama. Haji juga mendidik individu untuk meninggalkan sikap mementingkan diri sendiri dan menggantinya dengan rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan ummah. Nilai ini amat penting dalam membentuk masyarakat yang kuat, saling menjaga, dan bergerak ke arah kemajuan bersama.

Selain dari itu juga dari sudut praktikal, haji menjadi medan untuk melatih disiplin sosial. Ini bermakna menguruskan diri dalam perhimpunan jutaan manusia memerlukan tahap kesabaran, toleransi, dan kecekalan yang tinggi. Jemaah diajar untuk menjaga adab, mengawal kemarahan, berlemah-lembut, dan menghormati hak orang lain. Dalam suasana sesak dan serba kekurangan, setiap individu perlu lebih mengutamakan kesabaran serta berusaha menghindari sebarang pertelingkahan. Sikap ini jika dibawa pulang dan diamalkan dalam kehidupan seharian akan melahirkan masyarakat yang beradab, bertoleransi dan harmoni. Contohnya, peristiwa kesesakan di kawasan melontar jamrah mengajar umat Islam bahawa keutamaan dalam menjaga keselamatan bersama lebih penting daripada mengejar kesempurnaan peribadi dalam melaksanakan ibadah.

Seterusnya, hikmah terbesar dalam ibadah haji juga adalah menghapuskan diskriminasi sosial. Apabila semua manusia berpakaian seragam, tanpa harta duniawi yang membezakan mereka, mesej tentang kesamarataan menjadi nyata. Haji mendidik umat Islam untuk membina masyarakat yang adil, di mana semua individu dihargai atas dasar ketakwaan, bukan kedudukan atau kekayaan. Ini membawa kepada pengukuhan prinsip keadilan sosial, memperkukuh perpaduan dan mengurangkan jurang sosial dalam masyarakat. Sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW dalam khutbah Haji Wida‘ menegaskan:
“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu dan bapa kamu satu. Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang bukan Arab, dan orang bukan Arab atas orang Arab, atau orang putih atas orang hitam, atau orang hitam atas orang putih, melainkan dengan taqwa.”

Tanpa dinafikan juga haji membentuk budaya tolong-menolong dalam kalangan umat Islam. Ketika menunaikan ibadah haji, jemaah berdepan dengan pelbagai kesulitan keletihan, kehilangan arah, sakit, dan sebagainya. Dalam suasana sebegini, keperluan untuk saling membantu menjadi sangat ketara. Jemaah dididik untuk membantu sesama muslim tanpa mengira kenalan atau bangsa, berdasarkan prinsip kasih sayang sejagat yang dianjurkan oleh Islam. Nilai empati dan kerjasama yang terasuh dalam ibadah haji diharapkan terus subur selepas jemaah kembali ke negara masing-masing, menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih penyayang dan penyantun.

Sebagai kesimpulan, ibadah haji bukan sahaja menunaikan tuntutan rohani individu, tetapi juga memainkan peranan besar dalam membina masyarakat Islam yang bersatu, berdisiplin, adil dan berkasih sayang. Hikmah sosial yang terkandung dalam haji mendidik umat Islam agar menjadikan prinsip kesamarataan, tolong-menolong, empati dan persaudaraan sebagai asas kehidupan bermasyarakat. Jika nilai-nilai ini benar-benar dihayati dan diamalkan, ia mampu membawa kepada terbinanya sebuah tamadun Islam yang kuat, dihormati dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada dunia seluruhnya.

Ditulis oleh : Hasri Harun

Artikel Berkaitan

Ukuran haji mabrur

Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT

Syahristani tajam dalam ilmu perbadingan

  Syahristani adalah seorang ulama terkenal abad ke-21 khususnya di bidang teologi, sejarah dan agama. Ia juga dikenali sebagai ahli perbandingan agama.

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *