Home » Ensiklopedia » Muqadimah Ibn Khaldun dan peradaban ilmu Islam

Muqadimah Ibn Khaldun dan peradaban ilmu Islam

muqadimahibnkhaldun

Nama Ibnu Khaldun atau nama sebenarnya Abdurrahman Khaldun rahimahullah (Wafat: 808H), bukan sesuatu nama yang asing dalam dunia pemikiran Islam. Pemikiran Ibnu Khaldun sangat terkenal tentang sosiologi, ilmu sejarah dan politik. Ia menjadi bahan kajian penting para pemikir dan ahli ilmu muslim di Timur dan Barat.

Pemikiran Ibnu Khaldun terus dimanfaatkan ke dalam pelbagai bidang kajian ilmu, sosial, ekonomi, kajian sejarah, peradaban, pemerintahan, dan bidang-bidang pentadbiran kepolitikan. Dimanfaatkan oleh sama ada dari kalangan ilmuan muslim mahupun yang kafir.

Ibnu Khaldun turut dikenali sebagai bapa sosiologi dan ahli sejarah yang banyak membuka lembaran baru corak berfikir dalam dunia kepolitikan. Tatkala menyelami pemikiran Ibnu Khaldun, maka kita akan ditarik untuk mengimbas ke belakang, iaitu pada abad 14 masihi.

Pada ketika itu kebudayaan Arab-Islam sedang dilanda kemunduran. Krisis ini kemudian merebak ke jaringan-jaringan politik sebagai kesan dan akibat atas pecahnya imperium Islam menjadi negara-negara kecil yang dikendalikan oleh penguasa lemah dan tidak memiliki wawasan kerakyatan.

Bermula dari pengalaman dan penelitiannya yang tajam, Ibnu Khaldun mengutarakan idea-idea kritis tentang isu berkaitan kemasyarakatan dan kenegaraan. Akhirnya lahirlah karya besarnya, Muqaddimah. Sebuah karya yang merupakan pengantar dari kitab Al-‘Ibar yang diselesaikannya pada usia beliau 45 tahun.

Muqaddimah, Ibnu Khaldun membahaskan fungsi dan peranan besar ilmu sejarah. Beliau memuatkan di dalamnya tentang makna dan hakikat sejarah serta method beberapa mazhab atau aliran pembukuan sejarah.

Lalu kemudian beliau mengkritis beberapa perkara lalu membentangkan pula kecerobohan, kesilapan-kesilapan, dan kesalahfahaman para periwayat dan penulis kitab-kitab sejarah di dalam menukil peristiwa-peristiwa sejarah secara semberono. Beliau jabarkan antara periwayatan sejarah yang boleh diterima pakai dan yang tidak.

Sejarah menurut Ibnu Khaldun memiliki fungsi yang besar dan tujuan yang mulia. Kerana melalui sejarah kita mengenal asal keadaan bangsa-bangsa terdahulu dari sudut tamadun, moral, akhlak, budaya, pentadbiran, dan tokoh-tokoh yang berjasa. Mereka yang mahu melakukan pelbagai kajian dan membuat tindakan dalam sesuatu perkara, dia pasti akan merasakan perlunya merujuk dan meneliti informasi dalam sejarah.

Menurut Ibnu Khaldun, pembukuan sejarah bukanlah sekadar mengetahui kisah-kisah, dokumentasi, mengenal penguasa dan tokoh, atau meraih ilmu, tetapi lebih lagi dari itu iaitu demi mengenal peristiwa-peristiwa masa lampau dalam rangka memahami dan membina masa depan yang lebih baik.

Selain itu, Ibnu Khaldun juga membahaskan topik kepolitikan, kekuasaan, penaklukan, dan tanggungjawab dalam pemerintahan. Kekuasaan dan politik menurut Ibnu Khaldun memiliki kedudukan dan tujuan yang seharusnya diformalasikan untuk kemanusiaan dalam menjalankan amanahnya kepada Allah. Kerana keduanya secara naluri berkait dengan fitrah manusia dan pola fikirnya yang condong meraih kemaslahatan. Dalam rangkuman maksud ini, keperluan manusia terhadap keamanan, perlindungan, kesejahteraan, kestabilan, dan selainnya yang seumpama adalah termasuk dalam bahagian tanggungjawab pemerintahan dan kekuasaan.

Terlalu banyak untuk disebutkan di sini tentang gagasan Ibnu Khaldun melalui Muqaddimah-nya yang cukup masyhur ini. Di antara lain di dalam buku ini, beliau mengupas tentang ashabiyah, kemasyarakat, budaya dan negara, pembinaan bangsa dan negara, kependidikan, ilmu-ilmu dan sumbernya, peradaban, ketamadunan, kekhilafahan serta kerajaan-kerajaan dan pemerintahan silam, penjanaan ekonomi dan sumbernya serta banyak lagi.

Beliau, hidup di keadaan politik dan kesukuan yang rumit. Ketika itu, Ibn Khaldun berpindah-randah antara Morocco (Maghribi), Andalusia dan Mesir tempat kewafatannya. Beliau adalah individu bernama besar yang muncul tatkala dunia Islam sedang bergolak dan berpecah-belah menjadi negeri-negeri kecil.

Beliau adalah tokoh yang amat mencintai ilmu sejak usia kecil lagi. Beliau menguasai al-Qur’an, ilmu hadis, ushul fiqh, sastera, sejarah, dan ilmu mantiq. Ketika usia beliau mencecah 45 tahun, beliau mengasingkan diri dari hiruk-pikuk dan kesibukan manusia lalu berkomitmen terhadap bidang penulisan dan sejarah. Sehinggalah akhirnya beliau berjaya menyelesaikan sebuat karya penting yang memiliki kedudukan istimewa oleh ramai kalangan ilmuan, iaitu buku Al-‘Ibar Diwanul Mubtada’ wal Khabar bersama Al-Muqaddimah yang cukup masyhur hingga hari ini. – Sumber Atsar Ent

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *