Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias berkata, sifat keterbukaan dan saling menghormati juga perlu ada dalam menguruskan kepelbagaian pendapat itu.

“Selain itu, kena ada pihak ketiga yang menjadi golongan yang mahu memperbaiki pertelingkahan itu, bukan melaga-lagakannya lagi.

“Perbezaan pendapat berlaku sejak selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W lagi. Dalam menguruskan kepelbagaian ini, kita perlu lihat semula sejarah bagaimana ia diuruskan yang akhirnya telah memberi manfaat kepada umat hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Pentas Dakwah bertajuk Carik-Carik Bulu Ayam terbitan TV Al-Hijrah, malam ini.

Selain Mohd. Kazim, program itu turut menampilkan ahli panel, Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan moderator, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Kedua-dua tokoh tersebut baru-baru ini terlibat dalam polemik ekoran penyebaran sepucuk surat daripada Jabatan Mufti Perlis di laman-laman sosial yang tidak bersetuju beliau menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Hari Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-72.

Dalam surat tersebut Mohd. Asri mendakwa Mohd. Kazim ‘sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu’.

Kedua-dua mereka juga berbalas kenyataan dalam isu tersebut namun akhirnya bertemu bagi menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Asri dalam program berkenaan berkata, perbezaan pendapat dapat menyaring beberapa perkara yang akhirnya akan memberi manfaat kepada umat Islam.

“Percambahan minda akan berlaku apabila terdapat perbezaan pendapat. Apa yang penting kena jaga agama dulu daripada diri sendiri. Jangan fikir kita nak menang sahaja, agama yang kena menang.

“Bagaimanapun soal prinsip perlu dibezakan, kalau rasa salah kita perlu tegur. Walaupun agama itu boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk, asas atau faktanya tidak boleh lari,” katanya.