Home » Analitis » Jangan semarakkan pergaduhan

Jangan semarakkan pergaduhan

sumber

Beberapa hari ini, ruang-ruang media sosial disemarakkan dengan isu pergaduhan di pusat beli belah elektronik, Plaza Low Yat. Penulis tidaklah mahu turut menghangatkan perdebatan maya dengan teori-teori baharu mengenai insiden tersebut kerana kes sedang disiasat pihak berwajib.

Namun melihat polemik ini di media-media sosial, sebenarnya amat meresahkan dan membimbangkan. Berita yang belum diketahui hujung pangkal begitu mudah bertukar menjadi bahan api menyemarakkan api kebencian antara kaum.

Malah ada yang sanggup bertindak di luar batasan hukum dengan melakukan tindakan tidak wajar hingga sanggup mengganas dan mencederakan mereka yang belum tentu bersalah.

Demikianlah hebatnya peranan media sosial yang pantas menyebarkan berita berupa fitnah hingga mencetuskan sentimen perkauman yang boleh memudaratkan.

Sebab itulah penulis beberapa kali menulis mengenai prinsip tabayyun atau keperluan menyelidik sesuatu berita secara tuntas sebelum menerima bulat-bulat maklumat alam siber sebagaimana firman Allah dalam ayat 6 Surah al-Hujurat yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu.”

Hakikatnya sentimen perkauman secara fitrahnya begitu mudah untuk dimanipulasi sehingga membawa kepada pergaduhan dan pertelingkahan kaum.

Teringat penulis kepada satu peristiwa pergaduhan antara kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Peristiwa ini dinukilkan dalam sebuah hadis sahih diriwayatkan oleh Bukhari: “Dalam kalangan orang-orang Muhajirin, terdapat seorang lelaki yang suka bergurau, kemudian dia telah menolak seorang Ansar, maka marahlah orang Ansar itu dengan marah yang amat sangat, sehinggakan kedua-dua mereka saling menyeru (kaum masing-masing untuk sama-sama terlibat dalam pergaduhan itu).

Orang Ansar itu berkata: “Wahai orang-orang Ansar (datanglah membantuku dalam sama-sama menewaskan orang Muhajirin ini). Dan orang Muhajirin itu pula berkata: “Wahai orang-orang Muhajirin, (datanglah membantuku dalam sama-sama mengalahkan orang Ansar ini).

Kemudian Nabi SAW keluar dan bertanya: “Apa hal seruan ahli jahiliah ini?” Kemudian Baginda bertanya lagi: “Apa keadaan mereka?” Kemudian Baginda diberitahu bahawa seorang Muhajirin telah menolak seorang Ansar. Maka Nabi SAW bersabda: “Tinggalkanlah seruan jahiliah itu, sesungguhnya seruan jahiliah itu adalah perkara yang keji.”

Dalam hal taksub kepada kumpulan ini juga, Nabi SAW bersabda:  “Sesiapa yang menyeru dengan seruan jahiliah, sesungguhnya dia adalah termasuk dalam bahan bakar neraka jahannam”. Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, walaupun dia solat dan puasa?”. Baginda menjawab: “Walaupun dia solat dan puasa. Serulah dengan seruan Allah yang menamakan kamu sebagai orang-orang Islam, orang-orang beriman, hamba-hamba Allah.” Hadis sahih Riwayat Imam at-Tirmizi.

Demikianlah perihal ketaksuban kaum yang memang menjadi fitrah dalam diri manusia yang begitu mudah untuk diapi-apikan hingga membawa kepada perlakuan yang zalim lagi memudaratkan.

Sebab itulah masyarakat Islam khususnya mesti kental berprinsip dengan tidak mudah dicanai sentimen perkauman apatah lagi mengambil undang-undang di tangan sendiri.

“Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. – Surah al-Mumtahanah ayat 8.

Sebagai orang yang beriman, kita diperintahkan untuk tidak mudah percaya apatah lagi menyebarkan maklumat-maklumat yang belum benar-benar dipastikan keabsahan mahupun kesahihannya terutamanya di zaman kecanggihan teknologi maklumat yang menggunakan aplikasi yang pelbagai di media-media sosial.

Berbalik kepada peristiwa Low Yat, adalah penting untuk setiap warga yang cintakan keamanan dan kelangsungan negara yang stabil agar bertenang dan tidak terburu-buru membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak.

Kita adalah sebuah negara yang mempunyai sistem hukum dan perundangan. Maka serahkanlah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak-pihak yang didapati bersalah.

Jika rakyat berterusan dicanang untuk mengambil tindakan sendiri secara melulu hingga membelakangi perundangan, negara sudah pastinya akan porak-peranda.

Namun untuk pihak berkuasa pula, seharusnya mengambil serius keresahan rakyat yang selama ini bagaikan api dalam sekam terhadap tindak-tanduk peniaga yang dikatakan sering menipu pelanggan.

Semacam mereka ini dilindungi dan kebal daripada sebarang tindakan perundangan walaupun sudah menjadi rahsia umum.

Mudah-mudahan Ramadhan ini menjadikan kita manusia yang lebih bersabar dan tidak mudah dirangsang kemarahan dan perlakuan yang tidak wajar.

Sumber daripada www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *