Home » Wacana » Jika ingin memperoleh keberkatan hidup, berbaktilah kepada ibu bapa

Jika ingin memperoleh keberkatan hidup, berbaktilah kepada ibu bapa

sumber

Di dalam hati kita, di manakah letaknya kedudukan ibu dan bapa kita? Adakah nama mereka bertakhta di senarai paling atas atau sebaliknya? Adakah kita memiliki rasa kasih dan cinta yang mendalam terhadap mereka? Adakah kita sedang dan sudah melunaskan tanggungjawab kepada mereka?

Ibu adalah insan yang melahirkan kita. Bapa adalah penjaga dan pelindung total kita. Ibu bapa adalah dua insan paling penting dalam dunia ini. Ibu bapa adalah dua insan yang telah membawa kita ke dunia ini dengan izin Allah SWT. Merekalah insan paling layak untuk kita tumpahkan dan limpahkan segala kasih sayang terutamanya ketika mereka menginjak hari-hari tua mereka. Jangan biarkan mereka melalui kehidupan yang sepi dan kosong tanpa perhatian anak-anak.

Para ulama Islam bersepakat menyatakan bahawa hukum berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah wajib. Syariat Islam meletakkan kewajipan berbakti kepada ibu bapa di tangga kedua selepas kewajipan beribadah kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia untuk berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan menanggung kesulitan…” (Al-Ahqaf 46:15)

 “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).“. (Al Isra’ 17: 23).

Merekalah insan yang telah berkorban keringat, tenaga dan wang ringgit dalam memastikan keselesaan dan kesenangan anak-anak. Dari dalam kandungan sehinggalah dewasa. Mereka bersengkang mata menjaga kita ketika sakit, menyediakan makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pelajaran untuk kita dan yang paling penting adalah mereka sesekali tidak lokek untuk mendoakan kesejahteraan kita. Doa mereka sudah pastinya agar Allah SWT memberi kehidupan yang terbaik kita. Juga moga kita menjadi anak soleh,  anak yang menyejukkan hati, anak yang mampu berbakti kepada mereka di saat mereka memerlukan kita dan insan berjaya dunia akhirat.

Banyak kisah tauladan yang telah kita dengar tentang orang yang derhaka kepada ibu bapa. Kisah dongeng si Tanggang yang tidak mengaku ibunya dan kisah Alqamah yang hidup pada zaman Rasulullah SAW, yang tidak mampu mengucap di saat-saat akhir nafasnya kerana meminggirkan ibunya setelah berkahwin adalah kisah yang sering disebut sebagai suri teladan kita. Itu hanya segelintir. Hakikatnya, dalam dunia moden ini ramai anak yang menganggap ibu bapa sebagai beban dan mengambil keputusan untuk menghantar mereka ke rumah orang-orang tua.

Namun, kalau bertujuan untuk belajar ilmu agama, elok juga kalau ibu bapa diletakkan di situ secara harian bagi memberi peluang kepada mereka bersosial dengan rakan sebaya mereka dan belajar ilmu-ilmu agama yang disediakan di situ. Sekurang-kurangnya masa mereka dimanfaatkan dengan amal ibadah untuk saham akhirat mereka kelak.

Menyentuh tentang keberkatan hidup, apakah yang dimaksudkan dengan keberkatan hidup? Keberkatan hidup adalah apabila kita merasakan hidup kita tenang, bahagia, mudah dan sentiasa cukup dengan rezeki yang Allah SWT berikan walaupun sedikit. Kita sering mendengar kisah tentang anak-anak yang takut mengirimkan wang belanja kepada ibu bapa kerana bimbang perbelanjaan harian tidak mencukupi. Walaupun kita tahu, bukan itu yang diharapkan oleh mereka. Namun, sekurang-kurangnya dengan pemberian wang tersebut mereka boleh melunaskan hajat mereka. Sebagai contoh, seorang ibu mengakui, duit pemberian anak-anak setiap bulan dikumpul untuk menunaikan ibadah umrah suatu hari nanti.

Apakah cara yang boleh dilakukan sebagai cara untuk berbakti kepada ibu bapa? Cara pertama adalah sering bertanya khabar mereka sama ada melalui telefon ataupun pulang menziarahi mereka.  Mereka seronok apabila dapat mendengar suara kita dan paling membahagiakan adalah melihat anak-anak yang jarang ditemui kerana terikat dengan komitmen kerjaya berada di hadapan mata. Seorang lelaki muda ini memang mengkagumkan. Setiap hari dia akan ‘bergayut’ dengan ibunya setiap pukul 6 petang sebaik sahaja tiba dari pejabat. Mereka akan bertanya khabar dan aktiviti yang dilakukan sepanjang hari tersebut. Dan cara dia menyatakan betapa dia rindukan ibunya amat menyentuh perasaan. Terasa kejujuran, yang dia amat akrab dengan ibunya.

Inilah yang seharusnya diamalkan oleh setiap anak. Menjadikan ibu bapa sebagai kawan dan sahabat. Namun, tidak melebihi daripada batasan yang sepatutnya iaitu bercakap dengan hormat dan lemah-lembut. Peredaran masa telah mengubah cara perbualan anak-anak yang lahir selepas 1980-an berbeza dengan anak-anak yang lahir sebelumnya. Anak-anak sekarang berbual dengan ibu bapa seperti bercakap dengan kawan-kawan biasa. Berbanding anak-anak dahulu yang sangat menghormati dan takut kepada ibu bapa. Mereka tidak berani memberi komen atau menyangkal kata-kata orang tua.

Bagi anak-anak yang tinggal bersama ibu bapa, mungkin menghadapi situasi yang berbeza. Ini merupakan bonus kerana mereka boleh berbuat baik kepada ibu bapa setiap hari. Mereka akan menjadi orang paling awal menghantar ibu atau bapa ke klinik sekiranya mereka sakit atau memerlukan apa-apa rawatan. Kisah seorang lelaki tua yang masih belum mendirikan rumahtangga tetapi sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga ibunya yang sudah lumpuh dan hanya terbaring di atas katil wajar diambil iktibar oleh semua anak. Ajaibnya, menurut beliau, dia mampu menunaikan umrah dan haji apabila mula mengambil keputusan menjaga ibu sepenuh masa. Berbeza ketika dia makan gaji. Wang gaji sering tidak cukup untuk menampung kehidupan seharian. Indahnya, apabila melihat wajahnya yang ceria dan cerah dengan tugasannya.

Doa yang merupakan senjata ampuh umat Islam adalah mesej yang boleh digunakan sebagai perlambangan kasih dan sayang kita kepada ibu bapa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan bagimu.”

Setiap kali selesai solat, panjatkanlah doa: “Ya Allah ya Tuhanku! Ampunkanlah dosaku dan kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihani aku dari kecil.”

Malah bacaan Surah Al-Fatihah juga boleh ditujukan untuk mereka. Ummul Kitab  ini bukan sahaja doa buat ibu dan bapa yang telah pergi menemui Yang Maha Pencipta, tetapi juga kepada ibu dan bapa yang masih ada. Niatkanlah yang terbaik buat mereka dan juga kepada kita supaya dapat berbakti kepada mereka dengan seikhlasnya.

Kisah Khulafa’ Ar-Rasyidin, Abu Bakar As Siddiq ra. patut dicontohi.  Beliau sentiasa melayan bapanya dengan lemah lembut dan tidak pernah putus asa untuk mengajak ayahnya beriman kepada Allah. Kesabarannya beliau terbayar apabila akhirnya ayahnya mahu beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW kesan akhlak terpuji yang dipamerkan oleh beliau.

Siapa kita sebenarnya tanpa ibu bapa? Usah mendongak langit dan mengatakan aku boleh hidup tanpa ibu dan bapa di dunia ini. Aku cukup segala-galanya. Bagi anak-anak yang masih ada ibu dan bapa, bersyukurlah kerana mereka masih ada untuk kita curahkan bakti dengan keringat yang masih ada. Selagi ada nyawa di jasad yang Allah pinjamkan ini, curahkanlah segala bakti buat mereka. Kasihilah mereka. Sayangilah mereka. Ini merupakan tuntutan yang wajib dilunaskan oleh setiap individu yang bernama anak. Jenguklah mereka apabila ada kelapangan. Usah biarkan mereka melalui hari-hari tua mereka tanpa perhatian daripada anak-anak.

Ayah dan ibu

Itulah permulaan kami

Dapatlah melihat bulan dan

Matahari

Yang dikurniakan dari Ilahi

Ayah dan ibu lah

Mesti dihormati

Ayah dan ibu

Wali dan juga keramat

Pada mereka kita beri hormat

Bagilah tunjuk ajar dan

Nasihat

Supaya hidup

Supaya hidup kita akan selamat

Semoga kita menjadi anak soleh yang menyejukkan hati ibu dan bapa. Sempena Syawal yang bakal menjelang, pulanglah ke kampung halaman. Menjenguk mereka dan meraikan hari kemenangan bersama mereka selepas sebulan berjuang dalam Madrasah Ramadhan.

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *