Home » Persuasif » Doa mudah bangun malam

Doa mudah bangun malam

sumber

Agaknya kalau diminta menceritakan secara terperinci tentang jadual seharian kita dari bangun tidur hingga waktu tidur seterusnya, adakah terselit di dalamnya ibadah solat malam yang turut menjadi antara amalan yang amat digalakkan oleh Islam?

Kita tahu, qiyamullail atau bangun malam untuk mengerjakan ibadah seperti solat sunat tahajud, taubat, tasbih, hajat, membaca al-Quran, beristighfar dan berzikir sememangnya amat dituntut dalam Islam sebagai salah satu terapi diri yang amat berkesan. Selain dapat menjadikannya sebagai sesi ‘luahan perasaan’ kepada Allah SWT tentang segala perkara dan masalah yang mungkin membelenggu diri sepanjang hari tersebut.  Juga memohon supaya Allah SWT memberikan kekuatan untuk istiqamah dalam melakukan perkara-perkara kebaikan dan menjauhi segala keburukan.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan pada sebahagian malam, dirikanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” (al-Isra’17:79)

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan tartil.” (al-Muzammil 73: 1-4)

Antara hikmah qiyamulail adalah dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana waktu sunyi itu dijadikan waktu keemasan untuk mengadu dan memohon pertolongan daripada Allah. Selain mendidik jiwa menjadi hamba yang lebih bertaqwa, meningkatkan keimanan yang ada masa pasang surutnya, melatih dan mendisiplinkan diri untuk tekun mengerjakan ibadah sunat, selain mampu memberi ketenangan jiwa. Hakikatnya banyak lagi hikmahnya yang hanya boleh dirasai bagi orang yang istiqamah dan ikhlas melakukannya.

Ramai yang mengetahui fadhilat dan kaifiatnya tetapi ramai juga yang beralasan. Kepenatan kerana seharian bekerja, tidak mudah terjaga, bangun malam akan mengurangkan pula waktu tidur dan bimbang akan menjejaskan prestasi kerja keesokan harinya.

Selain daripada beberapa tips seperti cuba tidur awal supaya mudah bangun pada pertengahan malam, berniat dengan bersungguh-sungguh untuk bangun malam, boleh juga diamalkan bacaan doa-doa seperti ayat-ayat-al-Quran seperti Surah al-Qadr, dari ayat hingga 4. Kemudian ayat kelima diulang sebanyak 7 kali. Setelah itu, niat untuk bangun pada waktu yang diingini.

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ ﴿٥

1. “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadr) 2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? 3. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. 4. Pada malam itu turun para malaikat dan roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan 5. Sejahteralah (malam itu) sehingga terbit fajar.”                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     Di samping ayat tersebut, boleh juga mencuba dengan mengamalkan bacaan ayat 108 hingga 110 dari Surah al-Kahfi.

خَالِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا ﴿١٠٨﴾ قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا ﴿١٠٩﴾ قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا ﴿١

108. “Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin pindah daripada sana 109. Katakanlah (Muhammad), seandainya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat itu, meskipun Kami datangkan tambahan dengan lautan yang sebanding dengannya 110. Katakanlah (Muhammad), sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang telah menerima wahyu, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Maka sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan kebaikan dan jangan menyekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”

Orang yang mendirikan solat malam mendapat kebaikan dan kerahmatan, sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran, bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air. Mereka mengambil apa yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam. Dan pada akhir malam mereka memohon kemapunan kepada Allah.” (az-Zariyat 51:15-18)

Tips ini adalah antara bentuk amalan yang boleh diusahakan agar niat kita untuk bersujud kepada Allah SWT di sepertiga malam dimakbulkan. Yang paling penting adalah niat kita. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita.

Editor.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *