Home » Lagenda » Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail – Bapa Perbankan Islam

Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail – Bapa Perbankan Islam

sumber

Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail menjadi rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam bersempena Forum Kewangan Islam Antarabangsa (GIFF) pada tahun 2014.

Pemilihan beliau sebagai penerima anugerah berprestij ini adalah tepat berdasarkan pencapaian dan jasa yang disumbangkan terhadap kemajuan industri kewangan Islam negara dan antarabangsa.

Berdasarkan sumbangan Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail dalam bidang kewangan Islam, beliau layak untuk dinobatkan sebagai Bapa Perbankan Islam di Malaysia kerana telah memainkan peranan penting dalam merangka penubuhan Bank Islam pertama di Malaysia pada tahun 1983.

Beliau juga telah dilantik sebagai Pengarah Urusan pertama Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam). Di bawah kepimpinannya, bank tersebut membangun pesat dan unggul di peringkat antarabangsa.

Dato’ Dr. Abdul Halim bin Ismail dilahirkan pada 28 Januari 1939 di Kedah Darul Aman. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Simpang Empat dan kemudian menyambung pelajarannya di Al-Maahad Al-Mahmud (Maktab Mahmud). Selepas itu, beliau bertukar ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star (SAHC) bagi meneruskan pengajiannya ke tingkatan enam pada tahun 1960 hingga 1961.

Pada tahun 1965, Dato’ Dr. Abdul Halim meneruskan pengajiannya di Universiti Malaya dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang ekonomi. Seterusnya pada tahun 1966, beliau berangkat ke England untuk mengikuti pengajian di University Of Oxford, England di dalam bidang Ekonomi sehingga memperolehi ijazah Doktor Falsafah.

Beliau merupakan anak Melayu pertama yang berjaya menjadi graduan Universiti Oxford, United Kingdom (UK) di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi pada tahun 1969.

Pengalaman berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1975, telah membawa kepada pelantikan beliau sebagai Ketua Unit Perancangan bagi Perunding Bersatu Bhd. sebelum berkhidmat di Bank Bumiputra Malaysia Bhd. sebagai Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Jabatan Perancangan dan Pembangunan.

Pada tahun 2001, beliau dianugerahkan penerima Anugerah Tokoh Kewangan Islam oleh Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) atas pencapaian yang berterusan dalam bidang kewangan Islam. Beliau uga merupakan Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun 2004.

Di samping mempunyai ilmu yang luas dalam bidang pengurusan ekonomi, beliau juga berkeupayaan dalam ilmu syariah yang mendorong banyak institusi kewangan Islam melantik beliau sebagai penasihat syariah termasuk pihak pengawal selia seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Selain menjadi Pengarah Urusan pertama Bank Islam, Dato’ Dr. Abdul Halim juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Syarikat Takaful Malaysia Bhd. iaitu syarikat takaful pertama di negara ini dan turut membantu menubuhkan BIMB Securities Bhd. (BIMB Securities), syarikat broker saham Islam pertama di Malaysia.

Di bawah bimbingan beliau, industri takaful dan institusi kewangan Islam berkembang pesat di negara ini yang kemudiannya menjadikan kewangan Islam sebagai alternatif yang semakin menarik dan pelengkap kepada kewangan konvensional.

Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail disifatkan sebagai adalah seorang yang budiman dan mudah didekati biarpun mempunyai pangkat dan status yang tinggi dalam industri kewangan Islam. Selain memiliki pemikiran yang sentiasa segar dan kontemporari meskipun dalam usia yang semakin lanjut.

Antara yang terbaharu yang dilontarkan, semasa syarahan perdana sempena penerimaan anugerah berprestij itu adalah penubuhan Rumah Sedekah yang beroperasi secara komersial sebagai pelengkap kepada kewujudan institusi kewangan Islam yang sedia ada di Malaysia.

Beliau adalah antara model terbaik yang mengadunkan kepakaran dalam bidang ekonomi, berpengalaman sebagai pemimpin tertinggi institusi kewangan Islam terkemuka dan kefahaman yang baik berkaitan prinsip-prinsip syariah dalam kewangan Islam.

Antara hasil kajian dan tulisan Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail yang telah diterbitkan adalah ‘BIMB: Penubuhan dan Operasi’ yang diterbitkan BIMB, ‘The Role of Islamic Instruments in Deepening Equity Markets pada tahun 1999 ‘dan ‘The Capital Market Masterplan: A Roadmap for Sustainable Growth & Development (2002)’.

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *