LONDON – BRITAIN – Penerima Hadiah Nobel, Malala Yousafzai akan mengemukakan rayuan kepada pemimpin dunia untuk memberi sumbangan sebanyak AS$1.4 bilion (RM5.82 bilion) bagi tabung pendidikan pelarian Syria.

Menurut laporan Tabung Malala, kira-kira 700,000 kanak-kanak Syria yang tinggal di kem pelarian di Jordan, Lubnan dan beberapa buah negara Timur Tengah kini tidak bersekolah.

“Saya telah bertemu dengan kebanyakan daripada mereka. Mereka beranggapan tidak mempunyai peluang langsung untuk ke sekolah. Kita masih boleh membantu mereka dengan menyediakan sekolah dan bantuan lain. Ini adalah satu-satunya jalan untuk melindungi masa depan Syria,” katanya.

Pemimpin daripada beberapa buah negara bakal menghadiri Persidangan Menyokong Syria dan Rantau Arab yang dijangka berlangsung di London pada Khamis ini bertujuan mengumpul dana untuk bantuan kemanusiaan di Syria. – Reuters