Home » Citra Yadim » Yadim berbakti di bumi Kemboja

Yadim berbakti di bumi Kemboja

Dr Yusri Mohamad mengajar Iqra kepada salah seorang murid sekolah agama Kg Chenang

KEMBOJA, 28 Januari – Dalam dunia yang serba moden kini, tanpa kita sedari masih ada lagi masyarakat yang jauh ketinggalan dari mengecapi arus pembangunan. Mereka ini masih belum menikmati kemudahan asas seperti bekalan air paip dan elektrik. Begitu juga dengan kemudahan pendidikan seperti kekurangan guru agama, bahan bacaan Iqra dan Mashaf Al- Quran.

Atas rasa prihatin dan mahu melunaskan tanggungjawab terhadap saudara Islam di Kemboja, Sukarekawan Al- Falah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Pejabat Mufti Kemboja dan Sukarelawan Al-Falah Negeri Sembilan, telah menganjurkan Program Khidmat Bakti di Kg Chenang, Kemboja bermula pada 26 Januari hingga 28 Januari.

Yang Dipertua Yadim, Dr Yusri Mohamad turut bersama delegasi Yadim menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat. Antara sumbangan yang diberikan ialah tiga ekor lembu aqiqah, 10 buah wakaf perigi, kerusi dan meja sekolah bernilai RM6000, buku Iqra 200 naskhah, sumbangan beras kepada fakir miskin dan juga sumbangan kecil kepada guru-guru agama.

Menurut En. Shahrizal Mat, Penyelaras Program, hasil daripada lembu aqiqah yang disumbangkan, telah dimasak oleh penduduk Islam di kampung tersebut secara bergotong-royong. Beliau bersama Yang Dipertua Yadim dan Ustaz Abd Latif Hj Mohd Yunos, wakil Sukarelawan Al-Falah Negeri Sembilan sempat meluangkan masa bersama lebih kurang 400 orang penduduk menikmati juadah yang telah disediakan.

Kehadiran Yadim ternyata menggembirakan penduduk Kg Chenang dan mereka melahirkan rasa terharu dan bersyukur di atas sumbangan dan kunjungan Yadim ke kampung mereka.

Misi kali ini merupakan misi ketiga Yadim di bumi Kemboja selepas menjayakan program khidmat bakti seumpamanya pada tahun 2010 dan 2012.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *