Home » Citra Yadim » Delegasi dari Kemboja lawat YADIM

Delegasi dari Kemboja lawat YADIM

PUTRAJAYA 18 Ogos – Seramai 26 delegasi dari The Union Of Muslim Youth Of Cambodia telah mengadakan lawatan kunjung hormat ke Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 17 Ogos.

Lawatan berkenaan bertujuan untuk membolehkan ahli-ahli delegasi mempelajari pengalaman YADIM terutamanya dalam pembentukan generasi pemimpin masa akan datang melalui program-program kepimpinan muda yang dilaksanakan.

Menurut Presiden persatuan itu, Alfin Sles, pihaknya sangat berminat dengan program-program latihan kepimpinan muda yang diinisiatifkan oleh YADIM dan berhasrat mempelajari pengalaman yayasan ini sekaligus dapat diaplikasikan di negara mereka.

“Selain itu, kami juga amat kagum dengan Malaysia terutamanya dalam mengekalkan keharmonian kaum biarpun mempunyai pelbagai etnik dan pegangan agama di kalangan rakyatnya.

“Ini adalah sesuatu yang perlu dipelajari oleh rakyat Kemboja dan ia adalah antara resepi kejayaan Malaysia dalam memajukan negara mereka yang begitu pesat dan amat mengkagumkan ini,’’ katanya.

Delegasi berkenaan telah diberikan sambutan oleh Yang Dipertua YADIM, Dr. Yusri Muhammad dalam satu majlis ringkas.

Dalam majlis itu delegasi yang terdiri daripada pemimpin muda Kemboja yang beragama Islam dan bukan Islam turut diberi peluang bertanya pelbagai soalan kepada Yang Dipertua.

Para pemimpin muda berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kelulusan termasuk dari bidang kedoktoran, kejuruteraan, ekonomi, teknologi maklumat, pertanian dan perbankan.

Antara isu yang ditanya termasuk dari segi dakwah islamiah, ekonomi Islam dan kepimpinan belia.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *