Home » Citra Yadim » MDN, MUIP anjur Multaqa Ilmuwan Dan Profesional Pahang

MDN, MUIP anjur Multaqa Ilmuwan Dan Profesional Pahang

KUANTAN 19 Ogos – Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini menganjur  Multaqa Ilmuwan Dan Profesional Pahang bertempat di Grand Darulmakmur Hotel, Kuantan, Pahang.

Program ini diadakan dengan tujuan menyatukan seluruh ilmuwan dan profesional Pahang termasuk yang bertugas di luar negeri Pahang, dalam sebuah wadah ilmiah yang dapat mencungkil pemikiran bernas dan seterusnya menyalurkan dalam tindakan yang berkesan di masa hadapan.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Pahang, Universiti Teknologi Mara Pahang,  dan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.

Pada program ini, Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan titah diraja dan seterusnya menyempurnakan perasmian program.

Seramai  enam  orang Panel Pakar  dalam pelbagai bidang dijemput untuk memberi pandangan di akhir persidangan sebagai rumusan kepada semua perbahasan sepanjang perjalanan multaqa.

Mereka ialah Mufti Pahang, Dato’ Dr Abdul Rahman Osman, Naib Presiden Universiti Islam Malaysia,  Prof. Dato’ Dr Muhamad Muda, Naib Presiden, Universiti Islam Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir Yaakub, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin, Rektor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Dato’ Yahya Zainal Abidin, Pengurus Besar, Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi dan Pengarah Urusan, Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd, Dato’ Sri Shariff Shamsuddin.

Multaqa ini membawa tema “Peranan Ilmuwan dan Profesional Pahang Dalam Memangkin Kelestarian Dakwah dan Pembangunan Ummah“ dan lebih 200 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang hadir.

Berikut adalah usul dan skop perbincangan Multaqa Multaqa Ilmuwan Dan Profesional Pahang:

Mengambil kira  tentang kepentingan perpaduan ummah dalam memangkin pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosio-budaya dalam masyarakat, khasnya di negeri Pahang:

Dan mengambil kira sebilangan anak-anak Pahang yang telah Berjaya mencapai tahap kecemerlangan keilmuan di beberapa buah institusi pengajian tinggi di Nagara ini sama ada sebagai tokoh pentadbir, tokoh agama, tokoh usahawan dan juga sebagai ahli profesional;

Bersesuaian dengan tema Multaqa ini iaitu“ Peranan Ilmuwan dan Profesional Pahang Dalam Memangkin Kelestarian Dakwah dan Pembangunan Ummah”;

Maka kami, para ilmuwan dan profesional Pahang sama ada yang menetap dan bertugas di negeri Pahang maupun yang berada di luar negeri Pahang yang bersidang dalam Multaqa pada hari ini, 19 Ogos 2017 bersamaan 26 Zulkaedah 1438, di Dewan Astana Grand Darul Makmur Hotel, Kuantan ingin mengemukakan Usul dan skop perbincangan seperti berikut;

PERTAMA

Panel Pemikir Profesional Negeri Pahang yang keanggotaannya terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran, akan bersama Kerajaan Negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, yang mana ianya berperanan untuk memberi pandangan bagi kerangka Pelan Strategik Kelestarian Pembangunan Ummah yang holistic. Di samping itu Panel Pemikir ini juga akan menghasilkan kajian-kajian lapangan yang praktikal untuk keperluan semasa di bidang ekonomi, pendidikan dan sosia-budaya.

KEDUA

Membantu memperkukuh ekonomi umat Islam di Negeri Pahang dengan memberi penum puan dan keutamaan untuk membangunkan ekonomi golongan yang tidak berkeupayaan dan yang memerlukan bagi menjadikan agenda ekonomi sebagai satuusaha kearah membasmi kemiskinan untuk jangka masa panjang dan lestari. Dalam erti kata lain bahawa ianya adalah satu Pelan Strategik bagi membangun ekonomi golongan asnaf agar mereka serta keluarga mereka di masa depan terkeluar daripada ketegori golongan asnaf dan mampu pula menjadi penyumbang iaitu pembayar cukai kepada kerajaan dan juga pengeluar zakat. Para ilmuwan dan profesional Pahang yang bersidang dalam Multaqa ini adalah disaran agar dapat menyumbang idea dan kepakaran dalam merangka pelan strategik yang boleh dilaksanakan untuk tujuan ini.

KETIGA

Memandangkan tugas dakwah ini bukan merupakan tanggungjawab satu-satu pihak semata-mata, tetapi tanggungjawab seluruh umat Islam baik pemerintah mahupun rakyat, pertubuhan atau orang perseorangan; maka semua pihak perlu terlibat dalam usaha ini mengikut peluang, peranan, bidang kuasa dan kemampuan masing-masing dengan bekerjasama dalam satu saf sebagai Rakan Strategik Dakwah yang merentasi fahaman politik, kepentingan kelompok dan individu bagi memperkasa kesatuan ummah serta mencipta kegemilangan tamadun di negeri Pahang.

Justeru, Multaqa pada hari ini ingin mengusulkan satu pelan strategik dakwah dan juga pembangunan ummah untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang dengan menghimpunkan para ilmuwan dan profesional Pahang ini dalam satu wadah yang mana ianya akan berperanan sebagai Rakan Strategik Dakwah kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang serta lain-lain agensi dan pertubuhan-pertubuhan Islam dalam memperkasa agenda pembangunan ummah di Pahang.

KEEMPAT

Mengambil kira Islam sebagai agama universal yang sesuai bagi setiap zaman dan tempat. Dan dengan mengambil kira hal seperti ini maka kami berkeyakinan bahawa dakwah dan juga pembangunan ummah di negeri Pahang ini perlu juga selari dan juga ada kelestariannya. Maka kami yang bersidang di Multaqa pada hari ini ingin menegaskan bahawa Ahli al-Sunnah Wal Jamaah merupakan satu konsep yang sangat sesuai untuk diamalkan di negeri Pahang dan telah diwartakan dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991. Malah ianya sesuai diamalkan di Negeri Pahang dan di seluruh Negara kerana dengan berpegang kepada konsep ini ianya dapat menyatupadukan umat Islam. Ini kerana Ahli al-Sunnah merupakan majoriti umat yang berpendirian sederhana berbanding dengan pandangan-pandangan yang terdapat dalam berbagai mazhab di luar tradisinya. Oleh yang demikian kami mencadangkan agar konsep Ahli al-Sunnah Wal Jamaah diperkasakan dalam aspek akidah dan amalannya.

KELIMA

Memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan yang mengendalikan atau memiliki pusat-pusat pengajian di peringkat pendidikan awal kanak-kanak, sekolah rendah dan menengah, pondok-pondok tahfiz dan juga di peringkat pangajian tinggi agar matlamat, falsafah dan kurikulum pendidikan yang dilaksanakan dapat diselaraskan dan diperkasakan. Modal insan yang hendak dilahirkan oleh pelbagai sistem dan aliran pendidikan di negeri Pahang ini sama ada menerusi sistem yang seimbang untuk pembangunan akal, jasmani, ruhani dan emosi yang akhirnya mampu melahirkan modal insan yang cemerlang kehidupan dunianya dan juga masa depan akhiratnya.

Justeru, Multaqa pada hariini ingin mengusulkan dan mencadangkan supaya ditubuhkan satu panel khas yang dinamakan Panel Pembangunan Pendidikan Ummah. Panel ini hendaklah diwakili oleh pihak-pihak yang menguruskan institusi pendidikan di semua peringkat dan juga pakar-pakar di bidang pendidikan daripada kalangan anak-anak negeri Pahang agar mereka boleh menyalurkan pandangan dan hasil kajian mereka kepada Jawatankuasa pendidikan yang telah ditubuhkan di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, yang di pengerusikan oleh SS Mufti Negeri Pahang, untuk pembangunan dan kelestarian pendidikan ummah di Pahang.

KEENAM

Memperkukuhkan jaringan masjid sebagai pusat memantapkan ibadah, menjana kesejahteraan keluarga, meningkatkan keupayaan belia dan menjalin kemesraan di kalangan anggota masyarakat, pembangunan ekonomi ummah dan pusat pendidikan, pembelejaran untuk menjana generasi berilmu melalui masjid yang berkonsepkan masjid sebagai sebuah pusatpengajian tinggi

terbuka sebagaimana institusi pengajian tinggi.

Justeru, Multaqa pada hari ini membuka ruang perbincangan yang luas dalam memberikan pemahaman kepada masyarakat betapa pentingnya peranan masjid untuk memartabatkan keunggulan sebagai institusi pembangunan modal insan. Usul ini dibentangkan kepada para ilmuwan dan profesional Pahang bagi merangka pelan strategik kelestarian masjid, juga akan menghasilkan kajian-kajian lapangan yang praktikal untuk keperluan masjid sebagai wahana transformasi ummah untuk membantu agensi yang terlibat dengan pengurusan masjid.

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *