Home » Langit Terbuka » Bekalan barangan keperluan sambut Ramadan mencukupi

Bekalan barangan keperluan sambut Ramadan mencukupi

Bekalan barangan keperluan sehingga Aidilfitri dijamin cukup oleh Kementerian Pertanian dan Industri Tani. (gambar hiasan)

PUTRAJAYA – Bekalan barangan keperluan menjelang bulan Ramadan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri dijamin mencukupi bagi memenuhi permintaan orang ramai yang semakin meningkat.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, keyakinan itu berdasarkan pemerhatian pihaknya ke atas barangan keperluan utama termasuk barangan mentah seperti ayam, daging dan sayur-sayuran.

“Buat masa ini, barangan keperluan makanan menjelang bulan Ramadan hingga Hari Raya Aidilfitri adalah mencukupi, sekiranya ada permintaan yang bertambah mungkin kita akan import dari luar.

“Selain itu, kita juga telah mengadakan sekatan eksport ke atas ikan bermula bulan ini bagi memastikan keperluan barangan tersebut mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pasar Tani Ambang Ramadan di Pasar Tani  Putrajaya di sini hari ini.

Menurut Ismail, Pasar Tani Ambang Ramadan akan diadakan di 290 pasar tani terpilih di seluruh negara bermula 12 hingga 16 Mei ini di mana orang ramai berpeluang barangan keperluan dengan potongan harga antara lima hingga 20 peratus lebih murah.

“Operasi pasar tani ini mampu menjadi ruang alternatif kepada pengguna untuk memilih barangan seperti ayam, ikan, daging dan sayur segar serta berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, setakat ini harga barangan keperluan makanan adalah stabil memandangkan tiada laporan diterima berhubung peningkatan harga barangan.

“Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa melakukan pemantauan di seluruh pasar tani bagi memastikan penjual mematuhi harga barangan ditetapkan,” katanya

Turut hadir Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak. – KOSMO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *