Home » Muamalah » Hidup Bahagia Dengan Memberi

Hidup Bahagia Dengan Memberi

Oleh Ibnu Yusof  Al-Labuwi

SUDAH tentu dalam kehidupan ini kita selalu dikongsikan dengan makna bahagia oleh orang-orang di sekeliling kita. Mungkin ramai juga yang bertanya tentang makna bahagia dalam hidup. Maka ramailah yang menakrifkan bahagia menurut pandangan atau pun ‘selera’ masing-masing.

Hukum bahagia itu bagi sesetengah orang adalah relatif dan sentiasa berubah menurut situasi. Namun, takrif bahagia bagi seorang Muslim haruslah tepat dan selari dengan pandangan Islam.Tiada kebahagian melainkan dengan ketenangan dalam agama-Nya, apatah jika kita mati menggenggam syahid.

Sebagai Muslim, mana mungkin sebuah kejayaan atau kebahagiaan itu perlu dikaitkan dengan unsur material dan duniawi. Benar, bagi sesetengah orang, kaya itu penting sebagai alat untuk mencapai matlamat, untuk dimanfaatkan buat kemudahan orang Islam yang lain, atau untuk bersedekah dan menginfaq hartanya di jalan Allah untuk menuai jariah di akhirat kelak, tetapi perlulah diingat juga bahawa material dan duniawi sentiasa menjadi alat pula oleh Iblis Laknatullah untuk menyesatkan manusia. Justeru, jauh dari lubuk hati, ada kebimbangan terhadap individu atau mereka yang meletakkan asas kebahagiaan itu pada material dan duniawi.

Kebimbangan ini berasas, kerana orang yang meletakkan takrif kebahagiaan pada dunia dan material, malah sentiasa mengulang-ulang prinsip yang sama pada setiap hari, maka sukarnya baginya untuk mengekang tipu daya syaitan yang sentiasa licik dan berstrategi. Syaitan tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia. Malah sejarah telah mengimbau pelbagai ibrah kepada kita umat Islam, bahawa ramai golongan manusia yang disesatkan oleh syaitan adalah yang berharta dan mengutamakan duniawi, seperti Qarun dan Firaun.

Keimanan kepada Hari Akhirat

Bagi Muslim yang kuat keimanannya kepada Hari Akhirat, maka dia tidak pernah merasakan dunia dan seisinya sangat penting, kerana dia sentiasa percaya bahawa Allahlah yang menetapkan rezeki buat hamba-hamba-Nya tanpa menidakkan usaha dan ikhtiar sendiri. Cukuplah baginya, Allah adalah segala-galanya dalam kehidupannya. Ingatan dan lidah dan ingatannya sentiasa basah dengan Zikrullah. Dia benar-benar mengamalkan firman Allah dalam al-Quran:

Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra’du : 28)

Ya, kunci kebahagiaan itu  adalah zikir dan fikir. Tidak cukup dengan zikir, kerana zikir biasanya adalah untuk diri sendiri, bermuhasabah dan menambah pahala diri sendiri, memelihara positifnya suara hati. Namun, zikir perlu dilengkapkan dengan fikir kerana fikir itu adalah dengan ilmu dan iman langsung menatijahkan kasih saying dalam hubungan sesama manusia melalui fikir untuk ummah dan fikir untuk selalu memberi.

Malah Allah menggesa hamba-Nya dalam surah An-Nahl ayat 97 supaya mereka memperolehi kehidupan yang baik dengan beriman dan beramal soleh. Tiada ganjaran yang lebih baik bagi orang yang beriman melainkan pahala di sisi-Nya. Ibnu ‘Abbas menakrifkan kehidupan yang baik itu sebagai kebahagiaan. Dan berbahagialah dengan ilmu pengetahuan di dada, kerana ilmu itu imam, dan amalan adalah makmumnya. Nah, bukankah ini semua hanya boleh direalisasikan dengan keimanan yang kukuh kepada Hari Akhirat?

Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama (orang yang berilmu).” (Faathir : 28)

Orang yang mengerjakan sesuatu untuk dunia hasilnya nampak, cepat dan boleh dikecapi hasilnya serta-merta, tetapi orang yang mengerjakan sesuatu untuk Akhirat, hasilnya tidak nampak, lambat, tetapi dia hanya percaya dalam cinta. Dan percaya dalam cinta itulah iman dan sebuah keyakinan.

Maka bukanlah yang diingini di sini kita meletakkan asas kaya dan bahagia itu adalah kaya material dan duniawi, tetapi yang dikehendaki adalah kaya hati dengan memberi, kerana orang yang suka memberi, adalah orang yang percaya dan yakin dengan hasil yang tidak nampak di dunia, tetapi akan nampak di Akhirat.

Saat Rasulullah mengumumkan Kota Konstantinopel akan dibuka oleh seorang sultan yang baik bersama tentera-tenteranya yang baik, sebagai mukmin kita percaya bahawa Konstantinopel bukan dibuka saat Sultan Muhammad al-Fateh menaklukinya, tetapi kota Konstantinopel telah ditakluk apabila Rasulullah SAW menuturkannya di hadapan para sahabat. Di atas kepercayaan itulah, para sahabat bekerja dan berusaha dengan apa yang mereka yakini dan percaya, kerana sabda baginda SAW hanya benar belaka, malah mereka berebut-rebut untuk mendapatkannya atas misi “fastabiqulkhairaat”.

 Hanya alat bukan matlamat

Abdul Rahman bin Auf antara sahabat baginda SAW yang kaya dan telah menginfaqkan seluruh kekayaannya fisabilillah pada permulaan Islam. Dia seorang peniaga yang pintar memiliki harta yang banyak ketika di Madinah. Beliau merupakan antara sahabat nabi yang paling awal memeluk Islam dan salah seorang daripada sepuluh sahabat yang diberi khabar gembira masuk syurga.

Dia menangis pada suatu ketika, kemudian ditanya kenapa dia menangis, dan dia membandingkan dirinya dengan para sahabat yang syahid terlebih dahulu seperti Mus’ab bin Umair, yang dahulunya seorang anak yang disayangi ibunya, pakaiannya cantik dan mahal, baunya sentiasa harum semerbak dengan minyak wangi, tetapi dia meninggalkan segalanya itu demi Islam. Mus’ab meninggal dunia dalam keadaan tidak cukup kain untuk menutupi jenazahnya. Begitu juga dia membandingkan dirinya dengan Asadullah Saidina Hamzah, seorang pahlawan yang lebih mulia daripadanya, dan juga tidak cukup kain kafan saat kembalinya kepangkuan Allah.

Dia bimbang jika dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang dipercepatkan untuk menikmati kebahagiaan di dunia, lalu akan tersisih daripada para sahabat dan Rasulullah di akhirat disebabkan kekayaan meskipun dia merupakan salah seorang para sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh baginda SAW. Ketika bersedekah, dia menangis kerana mengingatkan Rasulullah SAW yang tidak pernah kenyang dengan roti dan gandum.

Kebimbangan dan keimanan seperti Abdul Rahman bin Auf inilah yang perlu ada dalam jiwa mereka yang ingin menjadi kaya. Tanpa menafikan sumbangan umat Islam yang memiliki jiwa seperti sahabat Rasulullah yang agung ini, tapi sekadar memberikan peringatan, supaya kita sentiasa menjadikan dunia itu di tangan bukan di hati, menjadikan dunia dan segalanya itu hanyalah untuk menyemai benih-benih manfaat,  menuju Akhirat sebagai matlamat, insya-Allah.

Hidup bahagia bagi seorang Muslim bukan dengan menerima, tetapi dengan memberi sepenuh hati. Hati yang sepenuh hati, adalah hati yang sarat dengan kasih sayang, dan tidak pernah mementingkan diri sendiri.

Tidak sempurna iman seorang kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang telah kita beri hari ini?

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *