Home » Langit Terbuka » Jakim tunggu laporan Jawatankuasa Majlis Tertinggi

Jakim tunggu laporan Jawatankuasa Majlis Tertinggi

Jakim dan semua agensi agama di bawah JPM berfungsi seperti biasa, tetapi masih menunggu laporan penilaian daripada Jawatankuasa Majlis Tertinggi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih menunggu hasil atau keputusan penilaian penambahbaikan daripada Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam untuk diselaraskan dalam semua agensi berkaitan agama di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, penilaian itu termasuk untuk menambah baik fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya pentadbirannya lebih efektif dan efisien.

“Setakat ini Jakim dan semua agensi agama di bawah JPM berfungsi seperti biasa, tetapi kita masih menunggu laporan penilaian daripada Jawatankuasa Majlis Tertinggi yang mengambil masa lima bulan untuk disiapkan.

“Jawatankuasa ini yang diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid akan membuat penilaian dan penilaian itu akan dikemukakan terus kepada Majlis Raja-Raja,” katanya pada sidang media selepas Forum Bicara Ad-Deen, Amalan Hijau di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, JPM mempunyai 14 agensi berkaitan agama dan Jakim adalah salah satu daripadanya.

Kata Fuziah, kerajaan memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada jawatankuasa itu, yang akan melihat implikasi kerja, pertindihan tugas dan bagaimana untuk memperkemaskan tadbir urus yang baik dan sebagainya.

“Saya berkesempatan bertemu dengan Tun Ahmad Sarji semalam dan beliau mengatakan pihaknya menyediakan persiapan serta membahagi-bahagikan agensi berkenaan untuk dibuat penilaian.

“Kita tunggulah. Semetara ini kami (kerajaan) teruskan kerja kami untuk membawa arah dan hala tuju dalam pentadbiran kerajaan baharu, kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Ditanya bila jawatankuasa itu akan memberi keputusan kepada kerajaan, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, Jawatankuasa Majlis Tertinggi yang ditubuhkan pada 30 Julai lalu itu akanmenjawab terus kepada Majlis Raja-Raja. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *