Home » Citra Yadim » Menyatuni warga Pusat Jagaan al-Fikrah.

Menyatuni warga Pusat Jagaan al-Fikrah.

KAJANG – Aktiviti dakwah yang dilaksanakan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tidak terhad kepada program berbentuk ceramah sahaja tetapi turut melibatkan program berbentuk kebajikan bagi menyantuni pelbagai pihak terutama golongan kurang bernasib baik.

Justeru, pada 10 Julai, YADIM melalui Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (MPWIM) telah mengadakan sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2018 bersama warga Pusat Jagaan al-Fikrah, di sini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Ummah YADIM, Norhayati Azmi berkata, program itu diadakan sebagai satu usaha menyantuni golongan warga tua dan kurang upaya yang menghuni pusat jagaan berkenaan.

“Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia ini terletak Kampung Sungai Sikamat, Kajang dan mempunyai penghuni pusat jagaan seramai 50 lelaki dan 20 perempuan.

“Yang menyedihkan, kebanyakan mereka ini telah ditinggalkan di hospital dan tiada waris yang mahu mengambil mereka dan mereka berumur di antara 24 dan 91 tahun,’’ katanya.

Beliau berkata, pusat jagaan berkenaan dibina dan disewa di atas tanah milik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan bergantung sepenuhnya kepada sedekah dan derma dari orang ramai untuk beroperasi.

“MPWIM merasa bertanggungjawab untuk menceriakan hati warga rumah ini dan dengan sebab itu dianjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2018 bersama warga Pusat Jagaan Al-Fikrah ini,’’ katanya.

Beliau berkata, majlis berkenaan mendapat kerjasama daripada Yayasan Taqwa yang sudi memberikan sumbangan sebanyak RM10,000, sementara YADIM pula telah menyumbang barangan keperluan dan wang tunai untuk diberikan kepada penghuni berkenaan.

Yang turut hadir ialah Pengerusi MPWIM, Prof. Dato Noor Aziah Mohd Awal dan Pengurus Besar Pengurusan dan Kewangan, Redhauddin Kamaruzaman, Pengerusi Pusat Jagaan al-Fikrah, Mohd Azmi Md Zin, ahli-ahli  jawatankuasa MPWIM, pegawai dan kakitangan YADIM seramai 27 orang.

Majlis sambutan ini diserikan dengan persembahan I- BASKERAH YADIM yang menyampaikan tiga buah lagu.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *