Ramadan, al-Quran, puasa dan takwa

0
61

Oleh Mat Jusoff Che Taib

BULAN Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran yang merupakan petunjuk yang mempastikan bahawa kehidupan manusia di dunia ini menjurus kepada kebenaran dan dapat menghindari dari melakukan kesalahan atau perbuatan yang menyeleweng daripada matlamat hakiki insaniah. Inilah maksud bahagian awal ayat 185 surah al-Baqarah.

Dalam bulan Ramadan jugalah difardukan ibadat berpuasa. Dan disebut pula hikmat hakiki ibadat puasa itu ialah supaya memperolehi tahap rohani yang mulia, sesuai dengan petunjuk al-Quran itu sendiri,iaitu bagi mengolah peribadi dan masyarakat manusia yang takwa.

- advertisement -

Perkataan tattaquun dalam ‘ayat 183 surah al- Baqarah, ada yang diterjemahkan sebagai ‘kamu takut’ dan ada yang terjemahkan sebagai `kamu beroleh takwa”.

`Takut’dalam bahasa Melayu memberi makna negatif sedangkan `takwa’ dalam bahasa Arab itu memberi makna positif. Ia bukan bermakna takut lalu mengelak diri, melarikan diri atau mengurung diri.

Tetapi jika sekiranya takwa itu diberi makna yang melengkapi sebagai takut putus sikap berubudiah terhadap Allah sehingga menjadi peribadi dimurkai Allah kerana tidak menjadi sumber kebaikan dan kebajikan, maka erti takut ini dapat menjadi terjemahan  yang lebih tepat.

Bulan Ramadan adalah bulan al-Quran. Maknanya ialah sebulan di bulan  itu merupakan bulan di mana seluruh umat Islam bercermin diri kepada petunjuk Allah yang dinamakan al-Quran itu. Bukan bertadarrus tanpa makna, sebaliknya memaknakan diri dengan petunjuk al-Quran.

Jadi, bulan Ramadan adalah bulan di mana setiap penganut Islam menginsafi dirinya dengan menghayati al-Quran dan memberi ruang dalam dirinya untuk dikritik, dibetulkan dan diolah semula oleh al-Quran.

Allah mengisytiharkan Ramadan sebagai bulan al-Quran. Bukan bulan pembetulan tajwid dan makhrajnya sahaja, tapi al-Quran sebagai huda, bayyinaat dan furqan.

Dan itu adalah ke arah langkah kedua, iaitu bagi mencapai motivasi diri ke arah bertakwa.Tahap takwa itulah yang dirayakan. Setelah peribadi mencapai fitrah atau ketulenan rohani melalui ibadat berpuasa bulan Ramadan. Setelah menaiktarafkan keperibadian, Muslim secara rohaniah, akliah dan tauhid melalui pembetulan nafsu ke jalan lurus.

Tapi cuba kita tanyakan, dalam sejarah setiap bangsa dan wilayah Islam, setiap generasinya, berapa langkah mereka mengulangi Ramadan dan berjaya melahirkan umat fitrah? Siapakah harus dipersalahkan daripada kelumpuhan budaya rohaniah dalam masyarakat umat yang dilengkapi sebulan dalam setahun bagi menaikkan taraf ketakwaan ini?

Jawapannya, setiap diri kita sebagai Muslim adalah bersalah dan wajib memperbetulkan makna bulan Ramadan. Makna beribadat, berpuasa yang merupakan pengemblengan untuk menaikkan taraf insaniah.

Perkataan takwa sangat penting difahami secara mendalam untuk menyempurnakan ibadat puasa. Allah mewajibkan puasa tahun demi tahun.di dalam bulan Ramadan, supaya mudah-mudahan taraf kita sebagai penganut Islam lebih bermartabat.

Supaya kembali kepada fitrah manusia. Dan fitrah  manusia kembali berada dalam kerahsiaan rohnya, manakala roh adalah urusan atau perkara Allah yang tidak boleh diselongkar secara saintifik. Tetapi ia nyata apabila hidupanya iman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Orang yang tidak ada takwa juga melakukan kebaikan dan kebajikan. Tetapi orang bertakwa melakukan kebaikan dan kebajikan berdasarkan hubungannya dengan Allah. Takwa adala beriman kepada Allah sehingga mencetuskan pelbagai aktiviti baik dan berkebajikan yang nyata diantara sesama manusia kerana adanya pertalian dengan Allah yang diikat oleh iman yang kukuh.

Takwa itu ialah memelihara diri daripada  melanggar hududullah (batas yang ditentukan oleh Allah ) Dari mana hududullah ini didapati kalau bukan daripada petunjuk Allah iaitu al-Quran.

Jadi, dengan jelas dan tegas bahawa bulan Ramadan adalah bulan al-Quran dan juga bulan beribadat dan berpuasa. Maka sesungguhnya bulan Ramadan, berpuasa, al-Quran dan pengolahan hidup bertakqwa merupakan kesatuan yang tidak boleh dipisahkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here