Home » Citra Yadim » Tabur duit kepada undi luar adalah rasuah

Tabur duit kepada undi luar adalah rasuah

DATUK Moh Samsudin Yusof (kiri) bersama Datuk Seri Zakaria Jaafar (kanan) dan moderator, Datuk Ismail Noor pada Diskusi Perdana bertemakan Rasuah...Tangisan Sebuah Keluarga'," di Dewan SPRM, Kota Bharu. - Foto Berita Harian

KOTA BHARU: Budaya menabur duit kepada pengundi luar menjelang pilihan raya untuk meraih undi boleh dianggap sebagai rasuah.

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaafar, berkata budaya itu menjadi kesalahan di pihak pemberi dan penerima.

Beliau yang juga Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), berkata, bagaimanapun kesalahan itu sukar dibuktikan jika berlaku pendakwaan di mahkamah berikutan keterangan yang tidak cukup kuat untuk disabitkan kesalahan.

“Budaya menabur duit menjelang pilihan raya semua parti buat, tidak kira apa kedudukan tapi jika terdapat aduan sekalipun ia sukar dibicarakan.

“Mereka (pemberi atau penerima) mengatakan ia hanyalah duit minyak atau saguhati bukan untuk meraih undi,” katanya ketika bercakap dalam Diskusi Perdana bertemakan Rasuah…Tangisan Sebuah Keluarga’,” di sini, hari ini.

Diskusi perdana di Dewan SPRM Kelantan itu adalah anjuran bersama Majlis Dakwah Negara (MDN)-YADIM, SPRM Kelantan serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Program terbabit menampilkan dua lagi motivator iaitu Pegawai Pembangunan Islam Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Ustaz Abd Aziz Yahya dan Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsudin Yusof.

Program dirasmikan Pengerusi MDN, Prof Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid yang turut menyampaikan ucap utama.

Sementara itu, Mahmood Zuhdi berkata pengetahuan agama berperanan penting sebagai benteng kepada umat Islam daripada terjerumus dalam perbuatan rasuah.

“Banyak berlaku perbuatan rasuah bukan hanya dalam kalangan orang biasa tapi juga ulamak dan ustaz kerana mereka hanya ada pengetahuan agama dan bukan ilmu dalam beragama.

“Biasanya ia berlaku dari segi pengurusan kuasa yang tidak betul bila mana ada yang menggunakan kuasa lebih dari sepatutnya untuk mendapatkan sesuatu faedah, dan itu boleh dianggap sebagai rasuah, malah ia turut berlaku dalam institusi keagamaan serta kebajikan,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *