Tasbih

0
35

UNTUK menghitung ucapan pujian kepada Allah SWT, untaian butir manik yang dinamai tasbih digunakan. Kata (tasbih) berasal daripada kata kerja sabbaha dan yusabbihu yang bererti `menyucikan’.

Dari segi istilah, kata `tasbih’ bererti `mengakui Allah SWT Maha Suci daripada sifat kekurangan atau sifat yang tidak layak bagi- Nya’.

Dari satu sudut, mengakui Allah SWT itu Maha Suci adalah dengan mengucapkan kalimat tasbih `subhanallah’ ( subhana Allah ), yang bererti Maha Suci Allah.

- advertisement -

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah (209 H/ 824 M- 273 H 887 M), kalimat atau bacaan tasbih (subhanallah) termasuk satu daripada empat bacaan yang paling disukai oleh Allah SWT.

Kalimah yang tiga lagi ialah tahmid (hamdalah), tahlil dan takbir. Bacaan tasbih biasa dibaca di dalam solat, iaitu ketika rukuk dan sujud.

Namun demikian, perintah bertasbih sebenarnya tidak hanya dalam solat tetapi juga di luar solat, seperti dinyatakan dalam firman : “Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang “ (Q.33:42).

Setelah solat lima waktu, umat Islam biasanya membaca tasbih, tahmid  (Alhamdulillah) dan takbir (Allahu Akbar), masing- masing sebanyak 33 kali, sehingga seluruhnya berjumlah 99.

Tasbih sejagat

Tasbih bukan hanya dilakukan oleh manusia. Semua makhluk Allah SWT  dalam alam semesta ini mengakui Allah SWT Maha Suci atau bertasbih kepada-Nya. Cuma, kita manusia tidak mengerti tasbih mereka (Q. 17:44). Antara makhluk hidup lain yang bertasbih dan disebutkan dalam al- Quran ialah burung (Q.21:79) dan malaikat (Q.39: 75). Makhluk yang tidak bernyawa pun bertasbih kepada Allah SWT, misalnya guruh (Q.13;13) dan gunung (Q.21:79).

Keutamaan tasbih

Dengan membaca tasbih, dosa dapat dihapuskan, sebagaimana dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. Dalam hadis lain yang juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah, dinyatakan bahawa ada dua ucapan yang ringan diucapkan tetapi berat dalam timbangan dan dicintai oleh Allah Yang Maha Pemurah, iaitu subhana Allah wa bihamdika (Maha Suci Allah dan dengan memuji- Mu) dan subhana Allah al- ‘azim (Maha Suci Allah yang Maha Agung). Tasbih atau puji- pujian kepada Allah SWT tidak hanya boleh dilakukan setelah melakukan solat, tetapi juga sambil berjalan kaki.

Solat tasbih

Melakukan solat tasbih sangat dianjurkan kepada orang mukmin untuk mendapatkan pahala besar. Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW daripada Ibnu Abbas (3S.H. 619 M- 68 H/ 687 M) dijelaskan bahawa solat sunat tasbih akan menghapuskan dosa, yang besar mahupun kecil, yang diketahui mahupun yang tidak diketahui, yang lama mahupun yang baru, dan yang sengaja mahupun yang tidak sengaja. Solat tasbih berjumlah 4 rakaat dan dalam setiap rakaat dibaca tasbih sebanyak 75 kali, sehingga seluruhnya berjumlah 300 kali.

Biji tasbih

Biji tasbih dirangkai melingkar dengan tali. Biasanya biji tasbih dibuat daripada kayu, berbentuk bulat dan sebesar hujung jari. Hari ini, banyak terdapat biji tasbih yang dibuat daripada plastik. Sebanyak 33 biji tasbih dirangkai menjadi satu rantaian berdasarkan tradisi orang Islam yang biasa membaca tasbih sebanyak 33 kali setiap akhir solat. Namun begitu, kebanyakan biji tasbih berjumlah 99 butir. Ada yang mengatakan bahawa jumlah ini disesuaikan dengan al- Asma al- Husna (99 nama indah Allah SWT).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here