Home » Langit Terbuka » Turki pertimbang mengkasi pendera kanak-kanak

Turki pertimbang mengkasi pendera kanak-kanak

Abdulhamit Gul. Foto : Anadolu

ANKARA: Kerajaan Turki, hari ini sedia mempertimbang untuk memperkenalkan hukuman pengkasian kimia ke atas pendera kanak-kanak selepas beberapa kes serangan seksual terhadap golongan itu mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Mahkamah akan memutuskan mengenai penggunaan dan tempoh hukuman itu untuk mengehadkan atau menghapuskan kehendak seksual.

“Kami harap dapat mewujudkan hukuman ini dalam masa beberapa hari lagi,” kata Menteri Kehakiman, Abdulhamit Gul, menambah kerajaan meletakkan isu itu ke dalam agenda semula.

Turki memperkenalkan langkah mengkasi secara kimia mereka yang disabitkan dengan jenayah seks pada 2016, tetapi mahkamah tertinggi menghentikan pelaksanaannya Ogos lalu, berkata definisi dan hadnya masih samar.

Dalam kes terbaru yang mencetuskan kemarahan di negara itu, seorang lelaki 20 tahun dituduh menyerang seksual kanak-kanak berusia empat tahun di Adana.

Pendakwa, hari ini menuntut hukuman penjara 66 tahun ke atas lelaki berkenaan selepas serangan di sebuah majlis perkahwinan pada 10 Februari lalu, lapor agensi berita Anadolu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Turki, Bekir Bozdag, berkata suruhanjaya menghalang penderaan kanak-kanak akan ditubuhkan dengan enam menteri termasuk Gul.

“Semua pilihan, semua langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah itu akan dibentangkan,” kata Gul, menambah suruhanjaya itu akan menilai semua langkah. – AFP

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *