Home » Lagenda » 10 Prinsip Dakwah Hassan al-Banna

10 Prinsip Dakwah Hassan al-Banna

Oleh ABDUL SALAM MUHAMAD SHUKRI

Sejarah konflik di Mesir telah bermula lebih awal lagi sejak bermula kebangkitan Islam di Mesir. Antaranya usaha dakwah yang dijalankan oleh Hassan al-Banna (1906-1949) pada mulanya secara individu sejak beliau di bangku persekolahan lagi. Seterus usaha dakwah digerakkan secara besar-besaran dengan penubuhan gerakan Ikhwan Muslilmun pada 1928 sebagai sebuah gerakan dakwah. Gerakan ini yang bersifat massa ini dan mula bertukar menjadi gerakan politik yang mencabar kepimpinan politik semasa sehingga membawa kepada pembunuhan pengasasnya Hassan al-Banna pada tahun 1949.

Hassan al-Banna merupakan salah seorang pelopor gerakan kebangkitan Islam semasa. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemikir Islam, reformis, ketua dan juga pengasas gerakan Islam, al-Ikhwan al-Muslimun di Mesir, gerakan dakwah yang berpengaruh di kurun ke-20. Kepimpinan al-Banna begitu penting dalam kebangkitan Ikhwan semasa awal 1930-an dan 1940-an. Gerakan dakwah yang diasaskan Hassan al-Banna ini akhirnya melibatkan diri dalam lapangan politik dan menerima tempias politik yang ada naik turunnya. Namun kejayaan terbesar gerakan Ikhwan ialah apabila berjaya mendapat jawatan presiden Mesir berikutan pilihan raya presiden di Mesir dengan pelantikan Muhamed Morsi sebagai Presiden Mesir pada 30 Jun 2012. Bagaimanapun, setahun selepas itu kuasa Presiden Morsi bertukar tangan dan beliau ditahan sehingga melahirkan demonstrasi dan kekacauan di Mesir atas dasar tidak berpuas hati dengan tindakan tentera pada Julai 2013. Kedudukan semasa masih kekal sehingga sekarang.

Artikel ini hanya mengkaji pendekatan teori dakwah Hassan al-Banna. Ia bermula dengan pengenalan ringkas tentang riwayat hidup Hassan al-Banna, ulasan 10 prinsip pegangan al-Banna dan huraian tentang pendekatan semasa dakwah beliau. Sebagai perbandingan pendekatan teori, dakwah Hassan al-Banna ini boleh dibandingkan dengan pendekatan teori Imam al-Nawawi menerusi kitabnya Riyad al-Salihin secara ringkas.

Latar Belakang Hidup dan Perjuangan Hassan al-Banna

Hassan al-Banna atau nama penuhnya Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna dilahirkan pada 17 Oktober 1906 di Mahmudiyyah, bahagian barat utara Kaherah. Ayahnya ialah Shaykh Ahmad al-Banna ialah imam masjid yang disegani masyarakat setempat dan juga seorang guru bermazhab Hanbali. Sejak kecil, al-Banna mendapat pendidikan di kampungnya sebelum memasuki sekolah rendah ketika berumur dua belas tahun pada 1918.

Semasa alam persekolahan lagi beliau menunjukkan prihatin terhadap gerakan dakwah dan Islam. Beliau berjaya menubuhkan Pertubuhan Mencegah Kemungkaran (Jama’at nahy al-munkar) di sekolahnya. Selain itu, beliau juga ada kecenderungan dalam politik apabila turut sertai dalam demonstrasi menentang penjajahan Inggeris di Mesiri sehingga melahirkan revolusi Mesir pertama pada 1919. Seterusnya Mesir berjaya mendapat kemerdekaan pada Februari 1922 apabila kerajaan British mengisytiharkan kemerdekaan Mesir secara satu pihak (unilateral). Walaupun begitu, pihak British masih mengekalkan kehadiran tenteranya sehingga 1954 di Mesir. Kembali kepada Hassan al-Banna, beliau juga pada awalnya melibatkan diri dengan kumpulan agama terutama Pertubuhan Tatacara Akhlak (Jama‘at al-suluk al-akhlaqiyyah) dan tariqah Sufi, iaitu tariqah Husafi sehingga menjadi ahli penuh.

Pada masa berumur 16 tahun, Hassan al-Banna berjaya memasuk Kolej Dar al-‘Ulum (sekarang Universiti Kaherah) pada tahun 1923. Semasa belajar di sana beliau menjalin hubungan baik dengan Shaykh Muhammad Rashid Rida (1865-1935) dan sentiasa meminta nasihat beliau. Beliau juga sentiasa mengikut wacana Rashid Ridha dalam majalah al-Manar (1898-1935) sehingga menjadi sebahagian sumber inspirasinya.

Menurut sumber, selama empat tahun di Kaherah mendedahkan Hassan al-Banna keadaan semasa politik di Mesir. Beliau juga melhat bagaimana masyarakat Islam terpengaruh dengan gaya hidup barat terutamanya golongan muda. Beliau merasakan bahawa pendekatan terbaik ialah untuk memenangi hati golongan muda dari terpengaruh dengan barat ialah supaya mereka mengenali kembali Islam (https://www.islamtimes.org/vdcg.79wrak97tj54a.html).

Dalam tahun 1927 semasa tahun akhir berada di Dar al-‘Ulum, Hassan al-Banna pernah menulis bahawa beliau bersedia menjadi “kaunselor dan guru” kepada golongan dewasa dan anak muda untuk mengajar mereka tentang “maqasid Syariah” dan sumber-sumber utama yang boleh membawa kebaikan dan kebahagiaan dalam hidup seseorang. Selepas tamat pengajian di Dar al-‘Ulum tahun 1927, al-Banna menjawat jawatan guru bahasa Arab sekolah rendah di bandar Isma’ilia dalam provinsi kawasan di Terusan Suez.

Seterusnya pada bulan Mac 1928, Hasan al-Banna menubuhkan Ikhwan al-Muslimun di Ismailia untuk menyebarkan ajaran Islam. Dalam tahun 1932, beliau ditukarkan ke Kaherah dari Ismailia. Ibu pejabat al-Ikhwan al-Muslimun juga berpindah ke Kaherah selepas itu dan berkembang pesat apabila masyarakat turut menyambut baik tujuan penubuhan gerakan ini sehingga berjaya meluaskan gerakannya ke seluruh Mesir di akhir 1930an.

Al-Ikhwan al-Muslimun juga memulakan penerbitan majalah tersendiri pada tahun 1933 dengan mengambilnya sendiri. Konvensyen juga diadakan sebanyak empat kali antara tahun 1933-1936. Seterusnya, gerakan Ikhwan memulakan kempen menentang pendudukan British di Mesir bermula 1936 dan mengambil sikap pro-Arab dalam menyokong gerakan Palestin menentang pendudukan Zionis di Palestin. Gerakan dakwah ini memulakan transformasi sebagai entiti politik.

Seterusnya, apabila bermula Perang Dunia Kedua pada 1 September 1939, beliau telah ditangkap oleh pihak kerajaan yang pro-British dengan alasan terlibat dalam aktiviti subversif. Pada masa yang sama, al-Ikhwan al-Muslimun mula melihat sebagai dirinya sebagai pertubuhan politik. Sekitar tahun 1940-an, al-Banna sangat aktif menentang penjajahan British di Mesir. Berikutan itu beliau dipindahkan ke Qina, Mesir (Upper Egypt) sempadan dengan Sudan pada 1941. Pada masa yang sama, konvensyen keenam Ikhwan mengambil keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya kebangsaan.

Al-Banna mengemukakan kertas pencalonannya dan mula merayu undi bagi pilihan raya tetapi menarik balik persetujuan itu selepas diminta oleh Perdana Menteri Mesir ketika itu. Ikhwan tidak menang dalam pilihan raya tersebut dan kalahkan di kebanyakan kawasan pilihan raya. Pada 8 Disember 1945 sebaik sahaja tamat Perang Dunia Kedua, Ikhwan sekali lagi mengadakan konvensyennya.

Pada tahun berikut, iaitu 1946, al-Banna merayu kepada pihak kerajaan, iaitu kerajaan baru campuran anatara Parti Sa’ad dan Parti Perlembagaan untuk meneruskan jihad menentang kuasa-kuasa British dan meminta pihak menarik balik semua hubungan ekonomi, kebudayaan dan sosial dengan British. Ikhwan mendakwa ia mendapat sokongan sejuta penduduk Mesir dengan setengah juta ahli menerusi lima ribu cawangan seluruh Mesir dan setengah juta penduduk Mesir yang bersimpati dengan perjuangannya.

Pada 26 Julai 1947, Ikhwan telah menghantar wakilnya Mustafa Mu’min bersama-sama Perdana Menteri Mahmoud Fahmi al-Nuraqshi Pasha ke Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu untuk merayu penyingkiran British dari Mesir.  Seterusnya pada tahun 1948 Ikhwan terlibat dalam penghantaran sukarelawan untuk berjuang menentang Israel di Palestin.

Selepas kekalahan Arab dalam perang Arab-Israel pertama pada tahun 1948, kerajaan Mesir membubarkan Ikhwan dan menahan ahli-ahlinya. Ini menyebabkan berlaku konflik antara kerajaan monarki yang dipimpin Raja Farouk dengan Ikhwan. Pertelingkahan antara Ikhwan dengan memuncak apabila Perdana Menteri al-Nuqrashi bertegas dalam membubarkan Ikhwan, lebih-lebih lagi apabila timbul khabar pada Disember 1940  bahawa Ikhwan merancang rampasan kuasa.

Pada masa yang sama asset Ikhwan ditahan dan kebanyakan anggotanya dihantar ke penjara. Kurang daripada tiga minggu dari itu,  seorang ahli Ikhwan telah membunuh Perdana Menteri Mesir akibat marah dengan tindakan kerajaan. Akibatnya, Hassan al-Banna sendiri ditembak pada 12 Februari 1949 di Kaherah. Sebelum itu beliau adalah di ibu pejabat Jamiyyah al-Shubban al-Muslimin bersama saudara iparnya Abdul Karim Mansur untuk berunding dengan Menteri Zaki Ali Basha yang mewakili pihak kerajaan. Bagaimanapun ia tidak berlaku dengan sebab Menteri tersebut tidak muncul. Al-Banna mengambil keputusan untuk pulang selepas jam 5.00 petang bersama iparnya. Pembunuhan itu berlaku ketika al-Banna dan adik iparnya memanggil teksi untuk pulang.

Sementara menunggu teksi, mereka ditembak oleh dua lelaki dengan al-Banna menerima tujuh das tembakan. Walaupun beliau dibawa ke hospital, rawatan lambat dibuat sehingga membawa kematian beliau. Selepas menyedari bahawa ia adalah perancangan jahat pemerintah, al-Banna berdoa supaya Raja yang memerintah jatuh. Tidak lama selepas itu Raja Farouk digulingkan oleh tentera Mesir yang diketuai oleh Kolenel Gamal Abdel Nasser Hussein (1918-1970) dalam rampasan kuasa tentera pada tahun November 1952.

Antara Pendekatan Teori Dakwah Hassan al-Banna

Secara umumnya dakwah adalah seruan agar manusia beriman kepada Allah, Rasul dan hari kiamat, dan mengamalkan ajaran Islam termasuk syariah dan akhlak dalam segenap aspek kehidupan. Imam al-Nawawi umpamanya dalam kitabnya Riyad al-Salihin mencatatkan dalam bab ke-20 tentang persoalan memberikan petunjuk kepada kebaikan dan mengajak ke arah hidayat atau ke arah kesesatan.

Beliau mengemukakan ayat al-Quran dan hadis dalam menguatkan tugas berdakwah tersebut, antaranya, “Dan berdakwahlah menuju jalan Tuhanmu.” (al-Hajj: 76) dan “Dan berdakwahlah menuju jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik.” (an-Nahl: 125).  Antara hadis Nabi ialah riwayat daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang mengajak ke arah kebaikan, maka ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dari pahala-pahala mereka yang mencontohnya itu, sedang barangsiapa yang mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka yang mencontohnya itu.” (Riwayat Muslim)

Hassan al-Banna menyedari peri pentingnya dakwah dalam kehidupan masyarakat sejak dari kecil lagi. Beliau berusaha menjalan tanggungjawabnya menerusi pertubuhan yang diasaskannya terutama al-Ikhwan al-Muslimun.

Dalam berdakwah al-Banna berpegang prinsip asas. Ia disusun sebagai 10 prinsip utama, iaitu:

(1) Perpaduan Ummah – Al-Banna menganggap perpaduan sebagai matlamat utama dan sangat penting. Setiap orang perlu berusaha supaya hasrat ini tercapai.  Beliau menasihat setiap individu supaya “Janganlah anda tidak bersetuju [untuk bersatu], kerana anda akan gagal dan hilang pedoman tanpanya.”

(2) Persetujuan tentang Perkara-Perkara Asas – Menurut al-Banna setiap insan yang mengucapkan syahadah, iaitu La ilah illa Allah, Muhammad Rasul Allah perlu diterima sebagai teman dan sebahagian daripada kumpulan Islam.

(3) Mengandaikan, yang pertamanya ialah anda yang mungkin salah dan bukan saudara seIslam anda. Dengan itu, akan anda dapat mengetahui cara yang benar-benar adil dalam mencari kebenaran.

(4) Adab-adab Untuk Perselisihan Pendapat – Apa yang penting ialah anda perlu prihatin dalam mendengar hujah-hujah orang lain sebagaimana anda memberikan keterangan dan hujah anda. Ia membawa dan menjadi menyenangkan dan tersenyum sama ada hasilnya adalah untuk anda atau terhadap anda.

(5) Mengelak Daripada Perdebatan, Merasa Diri Sentiasa Benar dan Merendahkan Orang Lain – Al-Banna berkata: “Suatu bangsa tidak akan menyimpang dari kebenaran selepas menerima hidayah kecuali selepas ia terjebak dengan kes melaknati orang lain dan perdebatan” dan “Sesorang mempunyai tempat dalam syurga apabila ia meninggalkan perdebatan selepas tahu ia sebenarnya salah dan mendapat tempat tertinggi di dalam syurga sekiranya ia meninggalkan perdebatan bila dia sememangnya benar.”

(6) Kemungkinan Adanya Pelbagai Jawapan yang Betul – Al-Banna merujuk kepada kisah Rasulukllah yang memberitahu Sahabah supaya bersolat Asar di perkampungan Bani Quraizah. Bagaimanapun, ada Sahabat yang bersolat apabila masuk waktu dan ada yang lain bersolat apabila mereka sampai di tempat Bani Quraizah walaupun sudah senja. Baginda memuji kedua-dua golongan Sahabat tersebut.

(7) Kumpulan Bersama dan Muwafakat dalam Perkara-Perkara Yang Dipersetujui dan Memaafkan Sesama Sendiri Dalam Perkara yang Khilafiyah – Al-Banna menegaskan, “Kita semua bersetuju tentang perharaman arak, perzinaan dan perjudian, begitu juga kewajipan mentadbir dan mengurus menurut al-Quran dan dengan itu mengajak kerajaan supaya melaksanakannya. Kita juga bersetujua bahawa maruah dan hormat adalah kepada orang Islam, dengan itu marilah kita sama-sama menerapkannya dalam diri setiap Muslim. Begitu juga kita bersetuju bahawa jihad merupakan wahana untuk mengangkat maruah, dengan itu marilah kita melatih individu Muslim dan mendidik anak-anak dengan keperluan rohani dan latihan fizikal.”

(8) Memikirkan Bahaya Musuh Luaran – Al-Banna mengingatkan umat Islam daripada musuh-musuh luar yang datang, tanpa melihat adanya perbezaan antara orang Islam atau melihat pandangan mereka yang berbeza atau negara asal yang berlainan. Musuh menganggap umat Islam sebagai musuh-musuh mereka, dan negara mereka sebagai hadiah yang akan dikuasai sumber-sumbernya. Beliau menekankan perlunya ada perpaduan untuk menghalang pencerobohan.

(9) Membuka Ruangan Untuk Kerja dan Produktiviti (Hasil) – Al-Banna mengiktiraf dwi tujuan ganda untuk bekerja keras, iaitu untuk menghasilkan hasil lebih banyak dan untuk kekal bebas daripada yang tabiat buruk dari kemalasan. Beliau menggalakkan ahli-ahli untuk mencapai kecemerlangan di sekolah dan pekerjaan, dan untuk mencari pendapatan dari sumber-sumber yang sah dan untuk menjauhi kemalasan dan bergantung kepada orang lain. Al-Banna menggalakkan mereka untuk mengisi tugas-tugas yang belum dikenal pasti, seperti melawat saudara yang jauh dan dekat, terlibat dalam sukarelawan, dan untuk memperuntukan masa setiap hari untuk melakukan muhasabah demi Allah.

(10) Bersimpati Dengan Mereka Yang Belum Lagi Menerima Cahaya Hidayah – Al-Banna bukannya marah dengan mereka tersebut atau mendedahkan kelemahan mereka. Beliau tidak pernah diserang dengan tuduhan dan gangguan mengenai perkara peribadi, tetapi sebaliknya meminta bantuan Allah dalam menyampai mesej hidayah Allah dengan lebih jelas kepada orang-orang yang mendengar. (https://www.islamtimes.org/vdcc.iq0a2bqisy-82.html).

Atas asas di atas, Malik Bennabi (84-86) dalam bukunya Islam in History and Society (1987) memuji pendekatan dakwah Hassan al-Banna yang menepati ciri-ciri dakwah Nabi Muhammad s.a.w yang dianggap sebagai “the first architect” dalam bidang dakwah. Hassan al-Banna berjaya menjiwai dakwah nabi Muhammad dan melaksanakannya di zaman dunia moden. Beliau bagaimanapun gugur syahid dalam usaha dakwahnya akibat kejahilan umat.  – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *