Home » Langit Terbuka » 100 kartunis pertahan Baitulmaqdis menerusi kartun

100 kartunis pertahan Baitulmaqdis menerusi kartun

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 kartunis tempatan menzahirkan tentangan terhadap  tindakan Amerika  Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dengan melukis kartun beramai-ramai di Muzium Negara.

“Semua kartunis yang ada pada hari ini dan esok berkumpul untuk bersolidariti mempertahankan Baitulmaqdis dengan menzahirkan perasaan marah, geram dan sebagainya dalam bentuk lukisan kartun,” kata Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar atau lebih dikenali  sebagai  Juragan.

Program ‘Solidariti Kartunis Malaysia Selamatkan Baitulmaqdis’ itu dianjurkan  bersama Muzium Negara sempena Pameran Kartun dan Kita yang berlangsung di muzium itu dari 8 Dis hingga 15 April depan.

“Tujuan  program solidariti ini adalah bagi menunjukkan kepada masyarakat dan juga seluruh dunia  bahawa golongan  kartunis juga prihatin terhadap apa yang berlaku di Palestin,” kata Juragan kepada pemberita pada pelancaran program itu pada 30 Disember.

Menurut Juragan, karya yang dilukis di atas dua kanvas putih masing-masing berukuran 13 meter persegi itu akan dipamerkan sepanjang pameran kartun itu berlangsung.

Pengarah Muzium Negara Azmi Ismail pula berkata kartun antara medium yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai isu dengan cara sinikal, kritikal atau mencuit hati.

Bagi kartunis Shaari Sulong, 44, atau Aie, beliau ingin memberitahu dunia bahawa golongan kartunis sedang bersuara walaupun bukan melalui kekerasan atau peperangan.

“Kerajaan dah jalankan apa yang sepatutnya (dalam menyuarakan bantahan). Jadi usaha kita ni cuma menyambung supaya isu ini (Palestin dan Baitulmaqdis) tidak sejuk tiba-tiba.

Jadi kita gunakan kelebihan kita untuk menzahirkan secara visual dan cuba lakukan sepedas mungkin supaya sedikit sebanyak memberi kesan kepada si pelaku (pentadbiran AS),” katanya.

Aie berkata karyanya  menunjukkan watak Yoda dari filem Star Wars memberitahu karikatur  Presiden  Donald Trump yang dia malu dengan tindakan  pemimpin AS itu dan pentadbiran beliau dalam isu Palestin.

“Saiz Yoda yang kecil itu sendiri menggambarkan Trump membuli mereka yang lebih kecil daripada beliau dan tindakannya itu adalah memalukan,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *