Home » Citra Yadim » Dr. Yusri Mohamad dilantik sebagai YDP YADIM yang baharu

Dr. Yusri Mohamad dilantik sebagai YDP YADIM yang baharu

Simbolik penyerahan tugas daripada YB Senator Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada Dr Yusri Mohamad

PUTRAJAYA 30 September – Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad hari ini secara rasminya dilantik sebagai Yang Dipertua YADIM yang baharu oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkuatkuasa 1 Oktober 2015.

Beliau menggantikan Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang kini telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri mulai 29 Julai 2015 lalu.

Majlis pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua YADIM diadakan hari ini dengan penyerahan surat lantikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B). Sejurus selepas itu diadakan majlis serah tugas daripada Dato’ Dr. Asyraf Wajdi kepada Dr.Yusri.

Dr. Yusri yang telah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua YADIM pada 15 Januari 2014 lalu, adalah seorang tokoh gerakan Islam sejak zaman pengajiannya di universiti lagi dan pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam pertubuhan-pertubuhan Islam utama di negara ini.

Beliau dilahirkan pada 15 Januari 1972 di Kota Bharu, Kelantan dan pernah memegang beberapa jawatan termasuk Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dari tahun 1995 hingga 1997, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia keenam (2005-2009) serta pernah menganggotai Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), Ahli Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Pengerusi Allied Coordinating Committee for Islamic NGOs (ACCIN) .

Beliau menerima pendidikan awal di Kota Bharu, Kelantan dan pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1985 hingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan lulus cemerlang di dalam bidang undang-undang (LL.B) pada tahun 1995 dan undang-undang (Shari’ah) (LL.B(S) ) pada tahun 1996.

Dr. Yusri kemudiannya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Undang-undang (LL.M) (pengkhususan Undang-Undang Islam) di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom dalam tahun 1997 dan kemudian menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang teori perundangan Islam di UIAM pada tahun 2010.

Di antara bidang pengkhususan akademik beliau ialah Teori Perundangan Islam, Undang-Undang Perlembagaan Malaysia, Undang-undang Perlembagaan Islam dan Undang-undang Kewangan Islam.

Beliau yang pernah bertugas sebagai pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), UIAM selama 15 tahun sehingga akhir 2011, juga dilantik sebagai perunding penasihat syariah dan motivasi kepimpinan dalam pelbagai kapasiti dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *