Home » Langit Terbuka » 3 sel pengganas rancang serangan tumpas

3 sel pengganas rancang serangan tumpas

19 anggota militan termasuk 11 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Percubaan tiga kumpulan pengganas membabitkan sel berbeza melancarkan serangan semasa berlangsungnya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur dan sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 berjaya dipatahkan apabila 19 individu termasuk 11 warga asing diberkas dalam serbuan di empat negeri baru-baru ini.

Kesemua mereka yang disyaki terdiri daripada anggota kumpulan pengganas, Abu Sayyaf; Daesh dan Jamatul Mujahideen Bangladesh ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman dalam operasi di sekitar ibu negara, Selangor, Johor dan Kelantan bermula 4 Julai sehingga 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, hasil risikan dan maklumat, tangkapan pertama membabitkan seorang guru sementara di sebuah sekolah Maahad Tahfiz, Gombak yang disyaki terlibat dalam Jamatul Mujahideen Bangladesh pada 4 Julai lalu di Shah Alam, Selangor.

Katanya, suspek yang merupakan warga Bangladesh itu dikesan memasuki negara ini pada September tahun lalu dan orang dikehendaki di negara asalnya kerana terlibat dalam kegiatan keganasan.

Ujar Mohamad Fuzi, susulan itu, polis melancarkan serbuan di Johor Bahru pada 7 dan 9 Ogos lalu sebelum menahan tiga suspek terdiri seorang warga tempatan dan dua warganegara Maldives.

“Warga tempatan yang bekerja sebagai peniaga itu ditahan selepas disyaki menyimpan enam naskhah majalah Dabiq serta beberapa artikel berkaitan kumpulan pengganas dalam telefon bimbit miliknya.

“Dua suspek warga Maldives itu pula yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa disyaki menggunakan Malaysia dan Singapura sebagai transit sebelum merancang untuk berlepas ke Syria,” katanya dalam satu ken­yataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi memberitahu, pihaknya ber­tindak melakukan tiga lagi tangkapan membabitkan seorang warga tempatan dan dua warga Iraq di Kelantan dan Selangor pada 11 Ogos lalu.

Jelasnya, suspek warga tempatan yang merupakan pesara guru itu dikatakan aktif dalam mempromosikan kumpulan pengganas Daesh melalui dua akaun Facebook miliknya, manakala dua beradik warga Iraq yang ditahan disyaki bertindak sebagai komander kumpulan terbabit di selatan Iraq.

“Selain mereka, kita kemudiannya bertindak menahan dua lagi suspek terdiri daripada warga Palestin dan Iraq di Selangor dan ibu negara pada 15 dan 16 Ogos lalu kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Albania yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

“Berikutan itu juga, dua lagi suspek warga Indonesia yang masing-masing bekerja sebagai peniaga di Damansara, Selangor turut kita tahan pada 25 Ogos lalu di Petaling Jaya dekat sini kerana disyaki aktif dalam merekrut anggota baharu Daesh dan merancang untuk berlepas ke Syria,” ujarnya.

Tambah Mohamad Fuzi, hasil operasi khas bersama Unit Tindakhas (UTK) Bukit Aman turut berjaya lapan individu terdiri dua rakyat Filipina dan enam warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

“Hasil maklumat mendapati kesemua suspek terbabit disyaki merancang untuk melancarkan serangan semasa upacara penutupan Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan perbarisan Hari Kebangsaan Ke-60 di Dataran Merdeka.

“Kesemua suspek berusia 25 sehingga 63 tahun itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIa iaitu Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya.-www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *